fbpx

Pasukan HALUAN Selamat Tiba di Kabul

Pasukan HALUAN Selamat Tiba di Kabul

Pasukan HALUAN Selamat Tiba di Kabul

KABUL, AFGHANISTAN, 12 Nov 2015 — Dua sukarelawan HALUAN yang berlepas ke Afghanistan dalam misi bantuan kemanusiaan gempa bumi yang berlaku 26 Oktober lepas telah selamat tiba di ibu negara berkenaan setelah menempuh perjalanan hampir 24 jam dari Malaysia.

Pasukan HALUAN yang menyertai gabungan NGO-NGO Malaysia tersebut selamat mendarat di Lapangan Terbang K. Rawash, Kabul setelah terpaksa transit di Lapangan Terbang Antarabngsa Indira Ghandhi, New Delhi India selama hampir 15 jam demi mengurangkan kos misi berkenaan. Menurut Encik Safiuddin Suruji masa yang terluang itu digunakan sebaik mungkin untuk membincang strategi perlaksanaan misi secara teliti dan lebih tersusun di kalangan ahli rombongan. NGO terlibat selain HALUAN adalah Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care, Mapim dan Kerdau Care.

Gegaran gempa tersebut berlaku di utara Afghanistan pada skala 7.5 Richter kira-kira 250 kilometer dari ibu negara Kabul. Ia berpusat berhampiran Jurm, Taizabad, di timur laut Afghanistan di pergunungan Hindu-Kush pada kedalaman 132 batu.

Pasukan NGO Malaysia tiba di Kabul 5.15 petang disambut oleh angin dingin musim salji. Bantuan Kemanusiaan Mangsa Gempa bumi Afghanistan ini bermula 10hb hingga 19hb November. Pasukan 10 orang tersebut terdiri daripada dua orang doktor perubatan, enam orang paramedik dan dua orang penterjemah. Pasukan tersebut membawa 500 kilogram baju tebal untuk musim sejuk yang mendatang, ubat-ubatan yang telah disumbangkan oleh pihak yang prihatin dari tanah air serta bantuan makanan dan khemah untuk perlindungan.

Semasa di sana, dua orang doktor dan pembantu perubatan dijangka berpecah untuk meneruskan rawatan perubatan di lapangan sekitar empat hari di kawasan seperti Jalalabad, Kunar, Badakhsan dan lain-lain, tujuh jam perjalanan dari Kabul.

“Segala penat lelah kami selama ini terubat sebaik sahaja menatap wajah ayah, ibu dan anak-anak Afghan di Kabul. Suasana suram yang menyelubungi Kabul membakar semangat kami untuk membawa sinar baharu kepada mereka. Semangat kami semakin membuak untuk menyatakan kepada warga Kabul bahawa masih ada sinar terang menanti mereka di hujung sana,” tambah Encik Abdullah Abrar Haron.

Menurut laporan berita tempatan, sehingga kini lebih 400 nyawa terkorban di Pakistan dan Afghanistan dan ribuan lagi cedera yang kebanyakannya di wilayah Pakistan dan utara Kabul. Manakala itu, puluhan ribu bangunan dan rumah telah runtuh dan memangsakan ratusan ribu penduduk yang terjejas.

Pihak berkuasa Afghanistan mengesahkan setakat ini 78 rakyat mereka disahkan mati serta ratusan yang lain tercedera dalam kira-kira enam daripada 34 wilayahnya. Kerajaan Afghanistan telah mengalukan kemasukan bantuan kemanusiaan antarabangsa sambil puak bersengkata berjanji akan berkerjasama dan memberikan perlindungan kepada kumpulan kemanusiaan. Kedatangan musim salji serta konflik di antara puak pemberontak dan kerajaan menyukarkan lagi penyaluran bantuan kemanusiaan ke kawasan terbabit.

Wilayah sempadan Afghanistan-Pakistan itu berada di lingkaran sempadan rekahan benua yang sering terkena bencana gempa bumi. Pada September 2013, gempa skala 7.7 Richter meletus di wilayah Balochistan membunuh kira-kira 800 orang. Pada 1998, dua kejadian gempa membunuh 8,500 orang dan memusnahkan puluhan ribu kediaman di wilayah Takhar dan Badakhshan.

HALUAN sebagai sebuah NGO berdaftar yang sentiasa terkehadapan membantu mangsa musibah ingin mengajak tuan-puan untuk turut membantu kami menyantuni mangsa di sana yang bakal menghadapi musim salji. Sumbangan ikhlas tuan-puan kepada mereka yang memerlukan boleh disumbangkan melalui:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad

*Sila emel slip/resit sumbangan ke unit.kewangan@haluan.org.my

Hubungi kami untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut:
✔Hotline: +60182401141 (Call/SMS/Whatsapp) – 24jam
✔Phone: +60389268892
✔Fax: +60389266892
✔Email: info@haluan.org.my

Semoga sumbangan anda dirahmati Allah SWT.


Laporan oleh Muhammad Shakir Sabarudin, Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan HALUAN.