fbpx

Pahala Berdakwah Itu Pada Usaha, Bukan Pada Hasil

Pahala Berdakwah Itu Pada Usaha, Bukan Pada Hasil

Pahala Berdakwah Itu Pada Usaha, Bukan Pada Hasil

Dakwah adalah satu tugas yang sukar. Ia adalah tugas para rasul Allah. Justeru, pelbagai mehnah dan tribulasi akan ditempuhi oleh para du’at.

Antaranya, kurangnya sambutan manusia di atas dakwah yang dibawa oleh mereka. Justeru, janganlah kita merasa kecewa di atas kurangnya penerimaan ini kerana bukan kita orang pertama yang menghadapi masalah ini, tetapi ia pernah terjadi pada para rasul terdahulu.

Salah Faham

Kaedah ini membetulkan beberapa salah faham yang menjalar dikalangan kebanyakan orang, iaitu ganjaran bagi dakwah itu bergantung kepada natijah duniawi. Mereka menyamakan amalan dunia yang boleh dilihat itu dengan hasil-hasil yang boleh dilihat juga. Sekiranya dakwah juga disamakan seperti itu, nescaya para anbiya a.s dikira gagal di dalam dakwah mereka. Ini kerana, terdapat dikalangan mereka yang hanya dapat ‘menarik’ sedikit sahaja dikalangan manusia untuk menyertai dakwah mereka.

Ini dapat dilihat pada dakwah yang dilakukan oleh Nabi Nuh a.s yang telah menyeru kaumnya selama 950 tahun. Firman Allah swt yang bermaksudnya :

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah ia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka).” (Surah Al-Ankabut : 14)

Imam Ibnu Kathir mengatakan dalam Tafsir Al-Quran Al-Azim:

“ Ayat ini secara zohirnya menunjukkan bahawa, Nabi Nuh a.s tinggal dan bersama-sama dengan kaumnya dan mendakwahi mereka kepada Allah selama 950 tahun.”

Walaupun dengan jangka masa yang lama ini, hanya sedikit sahaja dikalangan kaumnya yang beriman. Firman Allah swt :

Maksudnya :

(Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: “Bawalah Dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang Yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya) , juga bawalah orang-orang beriman”. dan tidak ada orang-orang Yang beriman Yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja (Surah Hud : 40) .

Jika diperhatikan di dalam ayat, terdapat pengecualian selepas ayat ( وَمَنْ آمَنَ ) menunjukkan bahawa bilangan orang yang menyambut dakwah Nabi Nuh adalah sedikit. Firman Allah (( وَمَا آمَنَ مَعَهُ إِلاَّ قَلِيْلٌ .

Malah, terdapat dikalangan nabi-nabi yang mana apabila dibangkitkan di Hari Kiamat nanti, hanya mempunyai beberapa orang pengikut sahaja. Ada yang seorang, dua orang, atau tiga. Ada juga yang langsung tidak mempunyai pengikut. Ibnu Abbas telah berkata :

Ketika mana Nabi s.a.w dibangkitkan nanti, ada nabi-nabi yang berjalan dengan baginda, dan bersama mereka satu kaum, dan juga nabi-nabi yang hanya ada satu rahd ( الرهط) – iaitu antara 3-10 orang. (Malah), ada diantara mereka yang langsung tidak mempunyai pengikut walaupun seorang pun. (Hadis riwayat Imam Tarmizi, Hadis Hasan Sahih)

Oleh itu, Allah swt telah menyuruh Nabi saw untuk keluar berdakwah tanpa menharapkan natijahnya. Firman Allah swt :

Maksudnya :

“Oleh itu, jika mereka berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutusmu (Wahai Muhammad) sebagai Pengawas terhadap mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (Apa Yang diperintahkan kepadamu)”. (Surah Asy-Syura : 48)

Maksudnya :

“ . . Bukankah Rasul-rasul semuanya tidak bertanggungjawab selain daripada menyampaikan (kehendak dan hukum Allah) Dengan cara Yang jelas nyata?” (Surah An-Nahl : 35)

Maksudnya :

“ . . dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah Dengan penjelasan Yang terang nyata”. (Surah An-Nur : 54)

Dan adapun berkenaan dengan hidayah, ia berada di dalam genggaman Allah swt. Firman Allah swt :

Maksudnya :

“ Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang Engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah Yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ; dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” (Surah Al-Qashash : 56)

Hilangnya Tekanan

Daripada kaedah ini, kita dapat lihat bahawa tiada desakan atau tekanan pada diri, jika ada diantara manusia yang menolak dakwah ini atau tiada siapa yang menyambutnya. Sesungguhnya, Allah swt telah menghilangkan tekanan dari nabi-Nya, dan hanya membebani baginda dengan apa yang dia mampu sahaja. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Tidaklah Engkau Diwajibkan (Wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah Yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) .” (Surah Al-Baqarah : 272)

Firman Allah swt lagi dalam Al Quran yang bermaksud:

“Maka Jangan-jangan pula Engkau (Wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.” (Surah Al-Kahfi : 6):

“ . . . oleh itu, janganlah Engkau membinasakan dirimu (Wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan apa Yang mereka kerjakan.” (Surah Fathir : 8)

“ . . . dan janganlah Engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, . . .” (Surah An-Nahl : 127)

Jadi ayat-ayat di atas tadi membuatka hati Nabi saw menjadi lapang, kerana baginda telah berusaha untuk menyampaikan kebaikan dan hidayah kepada kaum musyrikin, tetapi mereka telah memekakkan telinga mereka dan membutakan mata mereka (dari menerima dan mendengar dakwah baginda saw).

Dan adapun hati yang sensitif itu akan merasa sedih jika melihat manusia meraung-raung di dalam neraka. Begitu jugalah halnya dengan Nabi saw. Firman Allah swt :

Iaitu ; janganlah engkau menghancurkan diri engkau kerana merasa kecewa di atas penolakan mereka pada Al-Quran Al-karim. Qatadah telah berkata :

“(Janganlah) engkau membunuh diri kerana marah atau sedih di atas (penolakan) mereka.”

Kata Mujahid pula : “(membinasakan diri) kerana gelisah.”

Iaitu, janganlah bersedih di atas (penolakan) mereka tetapi (teruskanlah) menyampaikan risalah Allah swt (kepada mereka). Sesiapa yang mendapat hidayat, maka hidayah itu adalah (berguna) pada dirinya sendiri. (Manakala) sesiapa yang sesat, maka celakalah (rugilah) dia. (14)

Begitu jugalah dengan para du’at dikalangan umat Nabi Muhammad saw. Mereka tidak akan terbeban atau bersalah jika tidak mampu memberikan hidayah kepada manusia, atau jika mereka tidak menyambut dakwah selepas para du’at mengerahkan sepenuh tenaga yang ada. Ini kerana, Allah tidak akan membebani manusia melainkan di atas kemampuan mereka.

Terburu-buru

Kaedah ini telah memperbaiki kefahaman daie-daie yang terburu-buru yang mengharapkan natijah duniawi. Malah menjadikannya sebagai syarat untuk terus kekal di atas jalan dakwah. Hakikatnya, ia adalah satu salah faham dan bertentangan dengan kaedah-kaedah dakwah yang telah disebutkan dengan jelas di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Sesungguhnya Al-Quran Al-Karim telah menegaskan bahawa tiadanya hubungkait antara dakwah dan penerimaan manusia. Boleh jadi dia telah berusaha bersungguh-sungguh sehabis tenaga, namun tidak ada orang yang menerimanya melainkan hanya orang yang menentangnya. Al-Quran telah menyebutkan beberapa fasa di dalam dakwah yang akan ditempuhi oleh para du’at, iaitu berdasarkan firman Allah swt :

Maksudnya :

“ (orang-orang Yang mendustakan ugama Allah itu telah diberi tempoh Yang lanjut sebelum ditimpakan Dengan azab) hingga apabila Rasul-rasul berputus asa terhadap kaumnya Yang ingkar dan menyangka Bahawa mereka telah disifatkan oleh kaumnya sebagai orang-orang Yang berdusta, datanglah pertolongan Kami kepada mereka.” (15)

Beberapa fasa yang dapat dilihat di dalam ayat ini :

  1. Rasa putus asa
  2. Dituduh sebagai pendusta
  3. Datangnya pertolongan Allah

Ibnu Kathir telah berkata :

“Allah swt menyebutkan bahawa pertolongan Allah swt turun ke atas para rasul-Nya ketika kesempitan dan mereka menantikan pertolongan tersebut (agar dapat menghilangkan kesulitan di atas jalan dakwah ini), sebagaimana firman Allah swt :

Maksudnya :

“Serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman Yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” (16) (17)

Kesimpulannya, bukanlah dimaksudkan dengan kaedah ini bahawa para du’at tidak perlu berusaha keras dan menggunakan sebaik-baik cara dan wasilah dakwah, tetapi perlu mahir dalam seni berdakwah itu sendiri.

Wallahu’alam.

RUJUKAN

Qowaidud Dakwah ila Allah oleh Dr. Hammam Abdul Rahim, terjemahan oleh Naqib Hamdan (Mahasiswa Universiti Al Azhar Mesir)