fbpx

Operasi Pemulihan dan Pembersihan Pasca Banjir 2021 Pahang

Operasi Pemulihan dan Pembersihan Pasca Banjir 2021 Pahang

Operasi Pemulihan dan Pembersihan Pasca Banjir 2021 Pahang

KUANTAN, 07 Jan 2021 – Operasi pemulihan dan pembersihan pasca banjir giat dilaksanakan oleh HALUAN cawangan Pahang dengan dibantu sukarelawan HALUAN Terengganu di Taman Maran Jaya, Maran.

Operasi berkenaan turut dipantau oleh YB ADUN Luit, YB. Encik Mohd Sofian Abd Jalil dan Pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Maran (Qadhi Daerah), Ust. Nik Ibrahim Nik Abdullah.

Tugasan pertama pasukan seramai 15 orang tersebut ialah membersihkan surau taman yang rosak teruk diliputi lumpur tebal berbau. Pihak AJK Surau sangat terharu dan terhutang budi atas khidmat sukarelawan HALUAN ini kerana mereka tidak mampu membersihkannya sendiri kerana keadaan surau yang sangat teruk. Di samping itu, mereka juga tertumpu kepada rumah mereka masing-masing yang turut perlu dibersihkan.

“Jumlah penduduk taman ini dianggarkan seramai 1,000 orang. Sedihnya, 100% rumah teres kediaman mereka tenggelam antara paras pinggang hingga ke bumbung. Sudah pasti ia merosakkan semua harta benda hingga ada keluarga yang tiada lagi pakaian salinan. Keadaan sangat menyayat hati dengan timbunan barang-barang rosak dan lumpur berbau yang selubungi rumah mereka,” berkata sukarelawan HALUAN Pahang, Encik Abd Bashir Abd Ghani ketika membantu operasi di lokasi.

Memandangkan kepada kondisi yang teruk itu, pasukan operasi HALUAN akan meneruskan aktiviti pembersihan di taman berkenaan hingga keadaan pulih untuk penduduk mendiami semula rumah-rumah mereka. Aktiviti ini dilaksanakan secara bergilir termasuk membersihkan rumah penduduk tempatan.

Pihak AJK dan pegawai surau taman tersebut merayu sumbangan derma bagi menggantikan karpet dan alat siaraya yang sudah musnah bagi membolehkan mereka mengimarahkan kembali surau mereka.

Tuan-puan jangan ketinggalan dalam menyumbang derma untuk membantu mangsa banjir serta operasi banjir HALUAN di Pahang. Mana tahu, satu hari nanti kita pula mungkin diuji Allah dengan musibah sedemikian. Teruskan sumbangan anda ke tabung di bawah ini.

Nama akaun – Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN
No akaun – 5622 6350 2611
Nama bank – Maybank Berhad

Pihak kami juga merayu kepada sesiapa yang ingin menjadi relawan membantu mangsa banjir untuk tampil bersama kami. Ini kerana mangsa banjir yang terjejas kehidupan mereka dan memerlukan bantuan sangat ramai dan sedang menanti-nanti bantuan kita. Daftar di sini :- Sertai Sukarelawan HALUAN.

Semoga kita menjadi warga yang prihatin dan berkasih sayang membantu sesama insan di saat mereka amat memerlukannya.

Bantuan Banjir Monsun Timur Laut

Thank you to all our donors, we have met our fundraising goal.


Laporan mediaHALUAN