fbpx

OIC Cadang Jawatankuasa Khas Tangani Krisis Rohingya

OIC Cadang Jawatankuasa Khas Tangani Krisis Rohingya

OIC Cadang Jawatankuasa Khas Tangani Krisis Rohingya

KUALA LUMPUR, 3 OGOS 2012 — Dua jawatankuasa khas telah dicadangkan bagi menangani permasalahan yang sedang dialami oleh masyarakat Rohingya di Arakan, Myanmar. Cadangan itu merupakan hasil mesyuarat Perundingan Kemanusiaan di bawah Organisation of Islamic Cooperation (OIC) yang telah dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Agong OIC, Atta El-Manan Bakhit di sini.

HALUAN Malaysia telah diwakili oleh Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Dr Baharudin Suri, bagi mendapatkan maklumat dan membincangkan pelan tindakan bantuan jangka pendek dan jangka panjang bersama-sama 30 badan NGO Islam dan media antarabangsa dan juga United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA).

Jawatankuasa Kemanusiaan dan Pembangunan Sosial telah dicadangkan bagi menerajui pelan tindakan mengkaji keperluan bantuan yang menyeluruh, di samping menjalin kerjasama dengan NGO antarabangsa dan juga pertubuhan berkaitan seperti Red Crescent, PBB dan ASEAN.

Sementara sebuah lagi jawatankuasa akan bertanggungjawab dalam mengumpul dana bantuan bagi pemulihan wilayah Arakan di bawah naungan OIC. Mereka juga ditugaskan untuk membawa kempen kesedaran tentang permasalahan ini kepada masyarakat dunia.

Bagi Dr Baharudin, mesyuarat tersebut telah berjaya menjalin pelan kerjasama bersepadu di kalangan NGO terbabit. “Melalui mesyuarat ini, kita telah mendapat maklumat yang jelas dan menyeluruh tentang permasalahan Rohingya dan apa yang sedang berlaku pada masa ini. Segala resolusi mesyuarat akan dibawa ke mesyuarat tertinggi OIC di Makkah pada minggu ini, dan kita juga akan memberi desakan diplomatik kepada pemerintah Myanmar melalui PBB, ASEAN dan OIC,” jelas beliau.

Di antara perkara yang telah bincangkan termasuklah kaedah membawa masuk bantuan ke wilayah Arakan yang masih bergolak, di mana sehingga kini bantuan hanya dapat disampaikan kepada mangsa-mangsa yang berhijrah ke kem-kem pelarian di sempadan Bangladesh. Kehidupan pelarian menjadi lebih sukar dan usaha membawa bantuan menjadi lebih mendesak kerana musim tengkujuh kini sudah tiba. Oleh itu, bantuan kemanusiaan perlu disampaikan dengan kadar segera.

Menurut Dr Baharudin lagi, HALUAN Malaysia turut bercadang untuk bekerjasama dengan rakan NGO yang lain seperti IHH Turki, MERCY Malaysia dan beberapa NGO Indonesia dan Thailand dalam usaha memberi bantuan kepada masyarakat Rohingya secara bersepadu dan efektif.

Sebarang sumbangan ikhlas untuk membantu masyarakat Rohingya ini bolehlah disalurkan melalui “Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN” di Maybank bernombor 5622 6350 2611.