fbpx

NKEI Fokus Kepada Pendidikan Anak-Anak Somalia

NKEI Fokus Kepada Pendidikan Anak-Anak Somalia

NKEI Fokus Kepada Pendidikan Anak-Anak Somalia

BANGI, 5 Mac 2012 — Kemelut kemanusiaan yang melanda Somalia hanya dapat diselesaikan dengan memberi pendidikan yang menyeluruh meliputi bidang agama dan duniawi.

Hasil penjajahan yang terancang oleh kuasa-kuasa Barat telah melahirkan generasi yang terpinggir daripada pendidikan dan kemajuan, dan berterusan di dalam perbalahan.

Pengerusi Northern Kenya Empowerment Initiative (NKEI,) Sheikh Yakub Farah Hassan, dalam taklimatnya sempena majlis resepsi di Pejabat HALUAN di sini berpendapat bahawa penyelesaian jangka panjang bagi melahirkan komuniti yang bebas daripada kebergantungan bantuan luar adalah dengan melaksanakan sistem pendidikan yang holistik dari peringkat akar umbi lagi. Beliau bagaimanapun tidak menafikan keperluan mendesak kepada bantuan makanan asasi dan perubatan akibat bencana kebuluran dan penghijrahan rakyat Somalia daripada krisis di negara tersebut.

NKEI merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang didaftarkan di Kenya bagi menjaga kebajikan dan membantu pelarian-pelarian Somalia yang berhijrah ke negara-negara jiran, terutamanya di Kenya, Ethiopia dan Djibouti, juga penduduk-penduduk Somalia di wilayah sempadan. Pertubuhan ini telah sekian lama berganding bahu dengan NGO-NGO antarabangsa mengendalikan bantuan kemanusiaan di wilayah tersebut. NKEI juga memberi fokus bagi menghidupkan kembali sistem pendidikan bagi anak-anak pelarian, bermula daripada usaha menghidupkan semula dan memperbaiki sistem pondok yang dipanggil dugsi, sehinggalah kepada penubuhan sebuah sekolah tinggi yang turut menawarkan kursus-kursus di peringkat diploma dalam bidang teknikal yang diiktiraf oleh kerajaan Kenya.

HALUAN telah menghantar beberapa pasukan perubatan dan kemanusiaan bersama ubat-ubatan dan bahan makanan ke kem-kem pelarian di dalam sempadan Kenya dengan kerjasama NKEI, Alliance of International Doctors (AID) dan Insani Yardim Vakfi (IHH) dari Turki pada tahun 2011. Sumbangan rakyat Malaysia turut disalurkan bagi membina sekolah-sekolah pondok (dugsi) yang lebih kondusif untuk anak-anak pelarian, di mana mereka dapat belajar al-Quran dan ilmu hadis. HALUAN juga telah melaksanakan ibadah korban Aidil Adha tahun lepas dengan 1,500 ekor kambing dan unta hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin dengan kemelut yang melanda masyarakat Islam di sana.

Turut hadir dalam majlis resepti tersebut adalah Naib Presiden HALUAN, Prof Madya Dr Nik Muktasim Nik Abdul Rahman dan Sr Hj Sabbri Yudin, Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Dr Hj Baharudin Suri dan juga ahli dan relawan HALUAN Selangor.

Sheikh Yakub Farah Hassan dijadualkan menjelajah Malaysia dalam rangka menjalin kerjasama pendidikan dan menjelaskan keadaan kebuluran dan kemarau yang sedang melanda Somalia. Anda boleh ikuti jadual ceramah beliau di laman web dan facebook HALUAN.

Warga prihatin boleh membantu usaha murni dengan menyalurkan sumbangan ikhlas melalui Tabung Kemanusiaan HALUAN, iaitu akaun

HALUAN
Akaun No. 14-023-01-002571-8
(BIMB).

Semoga sedikit sumbangan ikhlas kita untuk pembangunan pendidikan umat Islam Somalia ini menjadi saham wakaf yang mendapat ganjaran Allah SWT secara berterusan, insyaAllah.