fbpx

Nikah Orangasli Dijayakan Empat HALUAN Negeri

Nikah Orangasli Dijayakan Empat HALUAN Negeri

Nikah Orangasli Dijayakan Empat HALUAN Negeri

TASIK BANDING, PERAK, 21 Jan 2018 – Lebih 500 tetamu orangasli suku Jahai di daerah ini diraikan dalam satu majlis kenduri pernikahan lima pasangan serentak semalam yang dianjurkan oleh HALUAN. Upacara tersebut berlangsung di surau Kampung Sungai Raba di kawasan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun, sekitar satu jam perjalanan dari Gerik, Perak.

Pernikahan utama adalah di antara anak perempuan Tok Batin kampung berkenaan Encik Ali Bah Pintu bernama Maryana dengan Mohd Haris Tanggulau@Abdullah, seorang mualaf Kadazan Dusun dari Kota Belud, Sabah. Mereka adalah bekas pelajar kepada penggerak dakwah Biro HALUAN Fitrah, Ustaz Mohd Naim Islam semasa mereka belajar di Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA), Sungai Petani, Kedah.

Selain pasangan tersebut, empat pasangan orangasli lain bersama keluarga mereka turut diraikan. Mereka datang dari Kampung Banun, Kampung Semelor dan Kampung Sungai Raba. Seramai 23 orang sukarelawan lelaki dan wanita HALUAN dari negeri Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang telah berkampung sehari awal pada hari Jumaat di sini untuk persiapan menjayakan projek pernikahan ini.

Pada malam sebelum pernikahan tersebut, para sukarelawan teruja kerana telah dilawati secara mengejut oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah, Encik Harulnizam Abd Rahman. Beliau sempat memantau kerja-kerja persiapan tapak untuk majlis kenduri dan bersolat maghrib berjamaah diimamkan oleh Ustaz Askee Ali, anak sulung Tok Batin kampung berkenaan. Beliau memuji usaha pernikahan dan kenduri yang dilakukan oleh HALUAN serta mengalu-alukan kerjasama yang lain di masa depan. Turut serta menjayakan aktiviti tersebut adalah Ustaz Mohd Bahari Latif selaku penggerak utama dakwah Jabatan Agama bagi daerah RPS Air Banun.

Pada malam berkenaan juga, pasukan pemuda HALUAN telah menghiburkan secara tarbawi kumpulan anak-anak orangasli kampung berkenaan dengan tayangan video serta kuiz bertemakan kepentingan menjaga kebersihan diri. Jurulatih rekreasi bertauliah Pemuda HALUAN, Encik Shahrul Anwar Rahmad telah berganding bahu dengan Dr. Ikhwan Subberi. Pada hari kenduri pula, para hadirin turut dihiburkan oleh pasukan qasidah Ashabul Thoha dari Grik, Perak.

Menurut YDP HALUAN Kedah, Cikgu Mohammad Basri Husain, usaha dakwah gabungan antara empat buah negeri tersebut membangkitkan semangat kesukarelawanan yang tinggi di kalangan ahli HALUAN veteran dan yang muda.

“Mereka telah berganding bahu sehari lebih awal dengan mendirikan khemah tambahan, melakukan kerja pembersihan tapak memasak, dewan terbuka, surau dan tandas, menyusun kerusi meja, menghias dewan, memasang banner, menyiapkan bekas hantaran serta memastikan siaran siaraya berfungsi dengan baik agar program anjuran HALUAN ini berjalan lancar. Ada sepasukan yang memasuki hutan meredah pacat rimba untuk mendapatkan umbut pokok bayas untuk dimasak. Ada yang membersihkan daging ayam, kawah serta pinggan mangkuk. Keesokkannya awal-awal lagi persiapan memasak oleh Ustaz Bahari dibantu oleh pasukan kami. Pendeknya, setiap relawan dan penduduk kampung ada saja tugasan masing-masing. Terasa sungguh suasana ukhuwah terjalin dengan penduduk tempatan sini serta pasukan penggerak dakwah lokaliti yang sama-sama membantu projek kami kali ini,” jelas beliau.

Biro HALUAN Fitrah (BHF) turut melafazkan ucapan terima kasihnya kepada penderma masyarakat umum yang membolehkan projek ini berjalan lancar. “Sejak November lepas, BHF telah melancarkan tabung khas untuk projek pernikahan ini. Dan alhamdulillah kami mendapat sumbangan masyarakat melebihi RM5,000. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penderma, dan kami berharap anda akan terus menyokong usaha dakwah yang kami lakukan di masa depan. Kami juga ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada agensi yang telah membantu kami seperti Jabatan Kemajuan Orangasli (JAKOA) Perak, pengetua Sekolah Kebangsaan RPS Air Banun, Kelab Mubaligh Islam Perak serta Tok Batin dan penduduk kampung. Terima kasih kami juga kepada semua sukarelawan HALUAN empat negeri yang telah turun berbakti,” berkata Ketua BHF, Dr. Basir Towil.


Laporan Biro HALUAN Fitrah

Relawan bawa umbut bayas dari dalam hutan
Jamuan kenduri bermula selesai akad nikah
Barisan buffet tak putus-putus dikunjungi jemputan tua dan muda
Para relawan sibuk melayani bahagian minuman
Marina menerima maskahwinnya daripada Harris
Bersama pasangan pengantin lain yang turut diraikan
Pengantin Mohd Harris (duduk dua dari kanan) dan Maryana bersama Tok Batin Ali (kanan) dan isteri. Berdiri Ustaz Mohd Naim
Cikgu Basri santuni bayi kecil jemputan menanti ibubapa mereka makan
Pengarah JAKOA Encik Hairulnizam (dua dari kiri) sempat singgah di lokasi
YDP HALUAN Kedah Cikgu Basri sampaikan hadiah khas pernikahan kepada Mohd Harris