fbpx

NGO & Agensi Kerajaan Mantapkan Kesiapsagaan Hadapi Bencana

NGO & Agensi Kerajaan Mantapkan Kesiapsagaan Hadapi Bencana

NGO & Agensi Kerajaan Mantapkan Kesiapsagaan Hadapi Bencana

PUCHONG, 25 April 2019 – LIMA sukarelawan HALUAN terlibat dalam Bengkel Pendekatan Kluster Dalam Pengurusan Sukarelawan Bencana di Markas SMART, Pulau Meranti anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Bengkel ini merupakan satu program yang meletakkan tugasan kepada NGO-NGO yang sesuai dengan kemampuan, kemahiran dan kesiapsagaan masing masing dalam sektor pengurusan bencana. Perlantikan penyelaras bagi setiap kluster di kalangan NGO akan memudahkan agihan tugas dan pemfokusan bagi pengurusan kerja antara kedua-dua pihak iaitu agensi kerajaan dan juga badan NGO.

Majlis Perasmian bengkel ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana), En Zahari Razali. Menurut beliau bengkel sebegini amat penting bagi memperkukuhkan hubungan kerjasama yang berfokus antara agensi kerajaan, badan NGO dan komuniti khususnya bagi tujuan penyelarasan bagi pengurusan bencana.

Menurut Setiausaha Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Encik Mohd Jamil Muda, “Lima orang sukarelawan dari HALUAN yang mewakili kluster berlainan merupakan penggerak aktiviti kluster masing masing di bawah HALUAN.”

“Adalah diharapkan dengan penglibatan sukarelawan muda dalam bengkel perancangan gerak kerja ini akan menjadikan HALUAN sentiasa berada dalam keadaan siap siaga menangani bencana dalam dan luar negara,”jelas beliau lagi.

Turut bersama Setiausaha Kerja 4 HALUAN, En Muhammad ‘Izzat Mohd Ghani, beliau berkata “Melalui bengkel ini kita (NGO) bukan sahaja dapat saling merapatkan hubungan sesama kami tetapi juga boleh membina kerjasama di lapangan dengan agensi agensi kerajaan yang berkaitan.”

HALUAN sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan semua agensi kerajaan dan badan NGO yang lain bagi memantapkan gerak kerja terutama dalam penglibatan misi-misi kemanusiaan. Hal ini penting kerana gabungan tenaga profesional, kemahiran yang tinggi dan kepakaran pelbagai agensi mampu menghasilkan prestasi gerak kerja yang berimpak tinggi sekali gus manfaat ini adalah untuk kebaikan bersama.


Laporan Fatin Athirah Abdul Sani, Setiausaha Kerja, Biro Misi Kemanusiaan