fbpx

Natijah Tarbiyah Ramadhan, Meraih Keampunan Allah SWT

Natijah Tarbiyah Ramadhan, Meraih Keampunan Allah SWT

Natijah Tarbiyah Ramadhan, Meraih Keampunan Allah SWT

PERUTUSAN AIDIL FITRI 1433 H
Presiden HALUAN Malaysia

Natijah Tarbiyah Ramadhan, Meraih Keampunan Allah SWT.

Assalamualaikum Waramatullahi Wabarakatuh,

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Alhamdulillahi Rabilalamin. Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Rabb sekalian alam di atas segala nikmat dan pemberian yang telah dianugerahkan kepada kita sebagai hamba-hambaNya. Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa, noda dan kekurangan diri kita yang tidak pernah lekang dari kecuaian serta kelalaian.

Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar Rasulullah sallallhu alaihi wasallam, Rasul terakhir, petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan kesejahteraan dan juga keberkatan di dunia dan akhirat. Kepada ahli keluarga baginda, para sahabat dan seluruh para pejuang Islam yang ikhlas menegakkan syariat Islam di muka bumi Allah SWT.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita memanjatkan rasa kesyukuran dengan penuh kerendahan dan perhambaan kepada Allah SWT, kerana memberikan kesempatan untuk sama-sama kita menyambut hari kemenangan bagi ummat Islam. Aidul Fitri pada tahun ini harus disambut dengan penuh perasaan keimanan, ketaqwaan dan kegembiraan yang hakiki. Mudah-mudahan segala dosa-dosa kita diampunkan oleh Allah SWT dan semua amalan soleh kita diterima oleh-Nya.

Lafaz takbir yang bergema di pagi Syawal yang hening, menggambarkan suatu kebesaran dan keagungan kepada Allah SWT. Ia adalah simbol kemerdekaan jiwa yang bebas daripada belenggu syaitan dan hawa nafsu. Inilah hakikat sebuah kemerdekaan dan kemenangan yang kita hajati.

Hari kemenangan bagi hamba-hamba Allah SWT yang berjaya kembali kepada fitrah setelah sebulan melalui madrasah Ramadhan al-Mubarak. Madrasah latihan kejiwaan secara intensif bagi mendidik hati-hati manusia dalam meraih darjat taqwa yang sebenarnya.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah,

  1. Secara asasnya, tujuan utama kewujudan manusia di muka bumi Allah SWT ini adalah untuk beribadah dan memperhambakan diri hanya sanya kepada Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah Ad- Dzariyat ayat 56 :

51 56

Maksudnya :
“dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
Jelas daripada keterangan ayat ini, tugas asasi seorang manusia adalah memperhambakan dirinya kepada Allah SWT. Tugas ini juga disebut sebagai ubudiyah. Inilah kerangka ibadah yang harus difahami dan dilaksanakan oleh seluruh manusia dalam setiap detik kehidupan mereka bermula dari saat kelahiran sehingga menemui ajalnya. Jika tidak, fungsi kewujudannya tidak berlaku dan bahkan, kehidupannya itu disifatkan sebagai sia-sia.

  1. Seperti mana yang kita maklumi, tujuan keberadaan kita di sepanjang bulan Ramadhan ialah untuk memperolehi taqwa. Taqwa inilah yang memberikan suatu nilai dan harga kepada kita untuk mendapat tempat yang tinggi di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT: 2 183
    “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu berpuasa, mudah-mudahan kamu memperolehi taqwa.”
    Di dalam ayat yang saya bacakan tadi, Allah SWT menyebutkan bahawa hasilan yang akan diperolehi daripada amalan ibadah di bulan ini ialah taqwa. Dengannya, darjat manusia akan tertingkat mulia di sisi Allah SWT.

Taqwa menjadi penanda aras kemuliaan manusia oleh Pencipta manusia itu sendiri, Allah SWT. Perbezaan manusia dan kemuliaan manusia ditentukan oleh nilai dan kadar ketaqwaan yang ada di dalam dadanya. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hujurat ayat ke-13:

49 13

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya.”
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  1. Kenapakah Allah SWT memerintahkan kita berpuasa sepanjang bulan Ramadhan? Mengapakah di bulan Ramadhan ini, terdapat banyak galakan untuk melipat gandakan amalan soleh yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada kaum muslimin? Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
    “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan dan mencari pahala (di sisi Allah SWT), diampunkan Allah SWT baginya dosa-dosa yang terdahulu, dan barangsiapa berdiri (yakni, beribadah) pada malam qadar kerana keimanan dan mencari pahala (di sisi Allah SWT), diampunkan Allah SWT baginya dosa-dosa yang terdahulu.”
    (Hadis Bukhari)

Dalam hadis yang lain juga disebut:
“Barangsiapa yang mengerjakan solat di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mencari pahala (di sisi Allah SWT), diampunkan Allah SWT baginya dosa-dosa yang terdahulu.”
(Hadis Bukhari dan Muslim)

Dan sebuah hadis juga telah diriwayatkan dari Aisyah RA yang bertanya kepada Rasulullah SAW, katanya, “Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan?” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Ucapkanlah Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan Mencintai orang yang meminta ampunan maka ampunilah aku.”
(Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Daripada hadis-hadis ini, boleh kita fahami bahawa perkara pokok yang menjadi tunjang amalan soleh di bulan Ramadhan adalah untuk meraih keampunan daripada Allah SWT. Bukankah ini merupakan suatu cita-cita yang sangat besar bagi orang-orang yang beriman?

Seharusnya, antara perkara yang kita perolehi di pagi syawal yang barakah ialah keampunan daripada Allah SWT. Inilah hasilan yang terbesar daripada proses ibadah yang kita lalui sepanjang madrasah Ramadhan.

Dan inilah juga kemenangan, kejayaan dan kemerdekaan yang wajar kita perolehi setelah bersungguh-sungguh melalui bulan Ramadhan al-Mubarak.

Sekiranya berlalu bulan Ramadhan tetapi kita masih di tahap lama, tiada apa-apa perubahan kepada diri kita dan tidak terampun segala dosa kita, ternyata kita adalah manusia yang sangat-sangat rugi. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda : “ Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar.”
Maka kamipun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin.
Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kamipun bertanya: “ Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.”
Lalu baginda menjawab: “Sesungguhnya Jibrail AS telah membisikkan doa kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut.
Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya.
Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya.
(HR Al-Hakim dan Sanadnya Sahih)

Jelas kepada kita, salah satu golongan yang disifatkan sebagai celaka dan rugi ialah manusia yang memperolehi Ramadhan dalam kehidupannya tetapi apabila Ramadhan berlalu, dosa-dosanya tidak terampun.

Oleh hal yang demikian, dapatlah kita simpulkan di sini antara perkara yang besar dalam agenda kita di bulan Ramadhan ialah untuk bersungguh-sungguh dengan segala kudrat yang ada untuk memohon keampunan daripada Allah SWT.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan Allah,

  1. Magfirah (keampunan) daripada Allah SWT adalah impian dan harapan kita di pagi syawal ini. Keampunan inilah yang akan memberikan nilai dan harga diri kita di sisi Allah SWT. Tiada kemuliaan dan kegembiraan bagi seseorang hamba Allah SWT melainkan dirinya diampunkan segala-gala kesilapan, kesalahan dan dosa-dosanya yang menggunung.

Keampunan daripada Allah SWT tidak akan menjadi kenyataan kecuali kita melaksanakan tiga perkara ini :
Pertama, kita perlu memperbanyakkan kebajikan melalui pelbagai cara. Di dalam Al-Quran, Allah SWT memberikan galakan kepada orang-orang yang beriman untuk berlumba-lumba untuk menginfak rezeki mereka, memberi sedekah dan membantu golongan-golongan yang miskin serta yang memerlukan bantuan.

Justeru, hari ini terpampang luas di hadapan kita peluang dan ruang untuk memberikan bantuan dan menggerakan misi kemanusiaan kepada saudara-saudara seaqidah dengan kita di seluruh dunia. Mereka yang ditimpa musibah dan kesusahan seperti di Selatan Thailand, Kemboja, Myanmar, Somalia, Palestin dan sebagainya harus dibantu semaksima mungkin agar mampu menjalani kehidupan seharian sebaiknya. Dengan kebajikan sebeginilah, kita akan semakin dekat dan hampir dengan Allah SWT serta membuka pintu keampunan-Nya kepada kita.

Kedua, kita perlu hapuskan kesemua dosa-dosa dan maksiat kita. Bagaimanakah caranya? Rasulullah SAW menganjurkan untuk kita memperbanyakkan istighfar, berdoa, mendirikan solat, membaca Al-Quran dan selalu memuhasabahkan diri kita. Dan pakej ini telah disusun secara lengkap, intensif dan menyeluruh di dalam bulan Ramadhan.

Dengan terhakisnya dosa-dosa yang menggelapkan hati kita, ia akan membawa kita ke suatu darjat golongan yang bertaqwa yang akan dimuliakan Allah SWT dengan balasan syurga dan keredhaan-Nya.

Ketiga, kita perlu banyak meminta keampunan dan bertaubat kepada Allah SWT secara bersungguh-sungguh dan istiqamah. Tadahan tangan bermunajat, merintih dan merayu-rayu di hadapan Allah SWT di waktu-waktu mustajab doa adalah suatu tanda kesungguhan kita untuk memohon keampunan daripada-Nya.

Justeru, Ramadhan yang berlalu perlu dinilai, disemak dan diperhalusi dengan aspek-aspek ini agar natijah yang sebenarnya dapat kita perolehi dengan keizinan Allah SWT.

Hal ini jelas dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran pada Surah Ali Imran ayat 133 sehingga 135 :

3 133

3 134

3 135

“dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga Yang bidangnya seluas Segala langit dan bumi, Yang disediakan bagi orang-orang Yang bertaqwa;

Iaitu orang-orang Yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang Yang menahan kemarahannya, dan orang-orang Yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang Yang berbuat perkara-perkara Yang baik; dan juga orang-orang Yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada Yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji Yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”

Ketiga-tiga hal ini, kita laksanakan dengan dua sifat yang utama iaitu, dengan sifat (khauf) penuh ketakutan kepada Allah SWT dan (raja’) penuh pengharapan kepada Allah SWT.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  1. Keampunan inilah yang akan membantu kita untuk melaksanakan tugas asasi kita kepada Allah SWT kelak. Dengannya, kita akan merasai kemanisan iman dan menyerahkan diri untuk Islam. Jika Ramadhan yang lalu dilalui dengan keimanan dan penuh perhitungan, insyaAllah di bulan Syawal ini kita akan merasai sesuatu perubahan yang sangat membahagiakan jiwa kita.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 135 yang menggambarkan salah satu ciri orang-orang bertaqwa:

“dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji Yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”

Keampunan daripada Allah SWT, tentunya akan memberikan kesan yang besar kepada hati dan jiwa kita secara lahiriyah dan batiniyah. Dalaman kita lebih bersih dan jernih, dan akhirnya kita akan lebih dekat dan hampir dengan Allah SWT.

Aidil Fitri pada tahun ini akan memberikan suatu makna dan erti yang besar jika kita perolehi peningkatan ketaqwaan. Kita benar-benar merasai perubahan di dalam diri kita ini, bahkan kita terus menerus berusaha meneruskan segala amalan soleh yang kita lakukan di sepanjang bulan Ramadhan.

Di samping menyambut hari yang mulia ini, janganlah kita lupakan keadaan saudara-saudara seaqidah kita yang malang yang berada di dalam negara mahupun di luar negara seperti yang saya sebutkan tadi di Selatan Thailand, Rohingya di Burma, Syria, Palestin, Somalia dan lain-lain lagi agar skop ibadah itu dapat diperluaskan dalam bentuk yang lebih menyeluruh dan direstui oleh Islam.

Saya menyeru semua ahli HALUAN dan masyarakat yang prihatin supaya terus memberikan perhatian terhadap permasalahan masyarakat Islam seluruh dunia yang kurang bernasib baik ini dengan menghulurkan bantuan dalam bentuk penyebaran maklumat, derma, bantuan kemanusiaan dan juga doa ikhlas kita untuk mereka.

Di sambutan aidil fitri ini, marilah sama-sama kita saling bertakbir membesarkan Allah, berbalas-balas senyuman, mengucapkan tahniah, ziarah-menziarahi bagi memperkukuhkan hubungan silaturahim dan bersama-sama menyatakan rasa kesyukuran dan kegembiraan di hari lebaran yang mulia ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah SWT,

  1. Sebagai mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri al Mubaarak kepada semua ummat Islam di Malaysia dan juga seluruh dunia. Semoga kita benar-benar menyambut hari kemenangan ini dengan cahaya keampunan dan hidayah daripada Allah SWT.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar

Walillahil Hamd

Assalamualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh

Dr Hj Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden
HALUAN Malaysia
1 Syawal 1433H