fbpx

NADMA Jemput HALUAN Latih Kaunselor Tangani Bencana

NADMA Jemput HALUAN Latih Kaunselor Tangani Bencana

NADMA Jemput HALUAN Latih Kaunselor Tangani Bencana

CYBERJAYA,13 Nov 2017 – – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri telah meminta HALUAN memberikan tunjuk ajar misi kemanusiaan baru-baru ini.

HALUAN dijemput berkongsi pengalaman sebagai sebuah NGO yang berpengalaman luas dalam pengurusan bencana dan pelancaran misi kemanusiaan di dalam dan luar negara.

Bengkel Penyelarasan dan Pentadbiran Critical Incident Stress Management Team (CISM TEAM) di Institut Pendidikan Guru Malaysia di sini telah menghimpun guru-guru kaunselor daripada Pejabat Pelajaran Daerah seluruh negara yang sedang dilatih untuk mengendalikan kaunseling dan motivasi terhadap mangsa-mangsa yang terlibat apabila berlaku sesuatu bencana alam.

“Pihak kami turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia kerana menjemput aktivis berpengalaman yang juga Setiausaha Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Encik Mohd Jamil Muda untuk berkongsi pengalaman kami dalam menangani krisis bencana,” berkata Ketua Bironya Dr. Baharudin Suri.

Dalam pembentangan beliau, Mohd Jamil telah memperincikan penglibatan HALUAN dalam pelbagai misi kemanusiaan di dalam dan luar negara bermula daripada bencana tsunami 2005 hinggalah HALUAN berkembang membantu di segenap pelosok tanahair seperti semasa banjir besar, tanah runtuh serta bencana lain di negara luar seperti gempabumi, letupan gunung berapi, krisis pelarian perang saudara dan sebagainya.

Spektrum penglibatan HALUAN tersebut bermakna banyak sumber perlu dimobilisasikan dan ia tidak akan berjaya tanpa cakna dan keprihatinan masyarakat awam Malaysia dan sukarelawan, termasuklah para kaunselor yang amat diperlukan untuk pengurusan trauma.

“Bagi pihak HALUAN, saya amat berharap agar sesi latihan dan pertemuan serta perbincangan sebegini akan dapat menarik lebih ramai sukarelawan yang boleh membantu kami di saat yang memerlukan. Kita bukan hanya perlu menghantar sukarelawan ke medan bencana atau peperangan tetapi kita juga memerlukan mereka yang boleh menguruskan logistik, gudang, juga sumber manusia serta carian dana di Malaysia. Saya yakin bengkel ini, akan menjalinkan satu bentuk kerjasama yang lebih baik -di antara pihak HALUAN, NADMA dan KPM demi menyantuni semua mangsa bencana dan peperangan. Sesi saya berserta para pendidik jurusan kaunseling sekolah ini adalah suatu usaha yang harus dipuji kerana kaunselor sekolah sudah terlatih dalam seni mendengar, menenangkan dan menasihati mangsa bencana. Semoga mereka akan terus dapat memahami realiti pengurusan bencana dan berfungsi dengan efektif di masa depan.”

Dr Baharudin menambah bahawa HALUAN bersedia memberikan khidmat baktinya lagi sekiranya diminta oleh pihak NADMA.

Anda yang ingin membantu usaha murni kami membantu mangsa bencana tetapi tidak dapat menyertai kami bolehlah berkongsi pahala dengan menderma seikhlas hati ke tabung kami, yang mensasarkan bantuan ke seluruh pelosok kawasan bencana dalam dan luar negara.


Laporan Fatin Athirah Abdul Sani, Setiausaha Kerja, Biro Misi Kemanusiaan