Sukarelawan HALUAN Sertai Kursus Intervensi Bencana dan PFA
BANDAR BARU BANGI, 9 Dis 2024 – Seramai 33 orang aktivis dan sukarelawan kemanusiaan terdiri daripada 16 lelaki dan 17 wanita telah mengambil bahagian dalam Kursus Intervensi Bencana dan Psychological First Aid (PFA) yang diadakan di Kolej Teknologi Darulnaim Kuala Lumpur (KTDKL) semalam.
Kursus tajaan Yayasan TM (YTM) ini dianjurkan bersama oleh HALUAN Malaysia dan KTDKL. YTM bekerjasama dengan HALUAN dalam pelbagai inisiatif bantuan bencana termasuk melalui latihan kemahiran Rakan NADMA Disaster Emergency Simulation Exercise (RANDEX). HALUAN juga mendapat dukungan YTM dalam melaksanakan bantuan bencana banjir yang sedang melanda negara.
Para peserta kursus terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti ahli akademik, pegawai kesihatan, mahasiswa, serta pelajar dari seluruh negara. Antara yang turut hadir pada kursus ini adalah Naib Presiden 6 HALUAN (Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga), Dr. Zurina Muda, serta Ketua II Biro HALUAN Fitrah, Profesor Madya Dr. Suhaida Abdul Kadir.
Kursus ini dimulakan dengan sesi pertama yang membincangkan pengurusan bencana, disampaikan oleh Pengurus Pembangunan Program dan Pengarah Operasi Bencana HALUAN, Encik Mohd Jamil Muda. Mohd Jamil yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan bencana dalam dan luar negara berkongsi pengalamannya dalam pelbagai misi bencana di negara-negara seperti Indonesia, Kenya, Somalia, Lubnan, Syria dan Jordan.
Dalam perkongsiannya, beliau menelusuri sejarah pengurusan bencana di Malaysia, merangkumi peristiwa-peristiwa penting seperti keruntuhan Highland Towers pada 1993, banjir besar di Kuala Krai pada 2014, gempa bumi di Sabah pada 2015, dan pencemaran Sungai Kim Kim pada 2019. Menurut beliau, peristiwa-peristiwa tersebut telah memberi banyak pengajaran yang menguatkan kapasiti negara dalam menangani dan menguruskan bencana. Sebagai contoh, langkah-langkah penting yang diperkenalkan selepas kejadian-kejadian tersebut termasuk Arahan MKN20 pada tahun 1997 serta penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada tahun 2015. Kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga memainkan peranan penting dalam memberi bantuan kepada mangsa bencana.
Encik Mohd Jamil turut memberi penekanan terhadap persiapan yang perlu dilakukan sebelum bertugas di medan bencana, termasuk kelengkapan peralatan dan kesiapsiagaan untuk menyesuaikan diri dengan kondisi lokaliti dan cuaca setempat. Beliau juga mengingatkan peserta mengenai kepentingan mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di kawasan bencana bagi memastikan operasi bantuan berjalan dengan lancar, selamat dan teratur.
Sesi kedua kursus ini tertumpu kepada bantuan psikologi awal (PFA) yang disampaikan oleh Ketua Biro Pendidikan HALUAN yang merupakan seorang kaunselor berdaftar, Encik Engliman Roslan. Beliau menerangkan teknik komunikasi yang berkesan antara petugas bantuan dan mangsa bencana. Peserta diperkenalkan kepada metodologi PFA, termasuk teknik “Look, Listen, Link” yang bertujuan untuk membantu petugas memberikan sokongan psikologi yang berkesan kepada mangsa bencana.
Selain itu, peserta juga didedahkan kepada kaedah untuk menenangkan mangsa, menilai keperluan mereka, serta memberikan sokongan emosi yang diperlukan. Encik Engliman turut memperkenalkan soal selidik “Depression, Anxiety, and Stress Scale” (DASS) yang digunakan untuk mengenal pasti keadaan emosi dan psikologi mangsa bencana.
Kursus sehari penuh berkenaan mendapat respon yang sangat positif daripada para peserta. Ramai yang menyatakan bahawa mereka memperoleh pemahaman yang lebih mendalam mengenai pengurusan bencana dan bantuan psikologi. Sebahagian besar peserta juga menyatakan hasrat untuk menyertai siri kedua kursus ini pada masa hadapan. Dengan kejayaan penganjuran kursus tersebut, diharapkan agar para peserta akan lebih bersedia dan berpengetahuan dalam melaksanakan tugas mereka di lapangan, serta dapat memberi perkhidmatan yang lebih teratur dan profesional dalam menghadapi bencana.
Kursus ini juga berfungsi sebagai platform penting dalam membentuk kelompok petugas yang tidak hanya cekap dalam pengurusan bencana tetapi juga peka terhadap keperluan emosi dan psikologi mangsa bencana, sekali gus memperkukuhkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran kemanusiaan di masa hadapan.
HALUAN mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YTM yang terus komited dan proaktif dalam meningkatkan kesediaan komuniti, keupayaan bertindak balas, serta daya tahan dalam menangani bencana.
Laporan Syed Ahmad Fathi Syed Mohd Khair
Naib Yang Dipertua 4 (Kluster Kebajikan dan Kemanusiaan)
HALUAN cawangan Kedah