Siswa UPSI Santuni Orang Asli Melalui EduConnect@Air Banun
GERIK, 15 Dis 2024 – Seramai 60 orang siswa dan siswi daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah turun padang bersama sukarelawan HALUAN Malaysia dalam satu program khidmat bakti yang memberi impak besar kepada komuniti orang asli di Kampung Air Banun dan Kampung Sungai Raba di sini semalam.
Program “EduConnect@Air Banun” berkenaan merupakan salah satu modul khidmat masyarakat HALUAN bertujuan mentransformasikan kehidupan masyarakat Orang Asli yang terpinggir jauh di dalam belantara. Melalui program ini, komuniti Orang Asli suku Jahai di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun telah diberi peluang untuk berinteraksi dengan golongan sukarelawan dan penyumbang dari pelbagai latar belakang.
Di bawah bimbingan Dr. Nurazimah Asalal dan Dr. Nilavathi Balasundram, para siswa telah melaksanakan pelbagai aktiviti yang melibatkan semua peringkat umur komuniti. Aktiviti yang dijalankan termasuk permainan sukaneka untuk kanak-kanak, bengkel praktikal cara-cara membuat baja kompos untuk golongan muda, kempen kesedaran mengenai kitar semula, serta majlis jamuan tengah hari yang melibatkan seluruh komuniti.
Tok Batin Kampung Air Banun, Encik Cheknekleg, meluahkan rasa gembira dan terima kasih atas aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan UPSI. Beliau berharap program seperti ini akan diteruskan di masa hadapan demi kebaikan masyarakat di kampung tersebut.
Mewakili UPSI, Dr. Nurazimah mengucapkan terima kasih atas sambutan hangat yang diberikan oleh penduduk kampung. Beliau menegaskan bahawa siswa UPSI komited untuk terus melaksanakan aktiviti kebajikan pada masa akan datang.
Sementara itu dalam ucapan penutup beliau selaku Ketua Biro Kebajikan HALUAN Malaysia, Encik Abd. Halim Khudri menjelaskan bahawa peranan HALUAN Malaysia sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan akan terus menjadi penghubung antara pihak penyumbang dan golongan yang memerlukan, khususnya di kalangan masyarakat asnaf dan Orang Asli. “Relawan-relawan HALUAN Malaysia sentiasa bersedia untuk membantu menjayakan inisiatif seperti ini,” ujar beliau.
Namun begitu, usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan berterusan daripada orang ramai dan golongan korporat. HALUAN menyeru orang ramai untuk terus memberikan komitmen dalam memastikan kelangsungan projek-projek swadaya yang memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli.
Mereka yang ingin turut serta dalam usaha ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun berikut:
No. Akaun: 5572 5006 2982
Nama Akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia
Nama Bank: Maybank Islamic Berhad
Nota Transaksi: Orang Asli Banun
WhatsApp makluman ke: Tel. +60 19-464 4357
Marilah kita bersama-sama menyumbang ke arah membina masa depan yang lebih baik bagi komuniti Orang Asli agar dapat melahirkan generasi yang prihatin serta berjiwa besar.
Laporan Abd. Halim Khudri
Ketua Biro Kebajikan HALUAN Malaysia