
Remaja Turkiye Teruja Tamatkan Program Pertukaran Pelajar di Malaysia
BANDAR BARU BANGI, 30 Jan 2025 – Keseronokan mengikuti aktiviti English Camp dan berinteraksi dengan pelajar-pelajar tempatan di Malaysia telah menjadi pengalaman yang amat berharga bagi 13 remaja dari Turkiye yang menyertai Student Exchange Program (STEP) anjuran HALUAN Malaysia.
Dalam majlis penutupan yang diadakan di ibu pejabat HALUAN semalam, para peserta bersama guru pengiring mereka menyuarakan rasa teruja dan semangat untuk melanjutkan penyertaan dalam program seumpama ini pada masa hadapan. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Abd Rahman, Naib Presiden HALUAN bagi Kluster Pendidikan, Prof. Dr. Ismail Ahmad, serta wakil-wakil institusi pendidikan yang terlibat dalam program ini.
Dalam ucapannya, Dr. Abdullah Sudin menyatakan bahawa program seperti ini merupakan persediaan penting dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berkualiti dan berwawasan luas. “Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan lagi hubungan pendidikan antara Malaysia dan Turkiye,” katanya. Program STEP telah berjaya mengeratkan hubungan antarabangsa sambil memberi pendedahan budaya, akademik dan kemasyarakatan Malaysia kepada semua peserta.
Seramai 13 pelajar bersama dua guru pengiring dari Fetih Sultan Mehmet Imam Hatip International School di Turkiye mengikuti program STEP yang berlangsung dari 15 hingga 30 Januari. Selain mengikuti program intensif kem Bahasa Inggeris bersama pelajar-pelajar sekolah angkat HALUAN Malaysia, mereka turut berpeluang mengunjungi beberapa lokasi utama seperti Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Pulau Langkawi, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini termasuk lawatan ke sekolah-sekolah, kunjungan ke universiti-universiti tempatan, eksplorasi budaya, serta lawatan ke tempat-tempat bersejarah dan kawasan rekreasi alam semula jadi.
Peserta Cherim Muhammed, 14 tahun, berasa bertuah dapat menyertai program ini. “Saya sangat gembira dapat menyertai program ini. Ia merupakan pengalaman yang luar biasa kerana saya bukan sahaja dapat mempelajari budaya Malaysia tetapi juga berinteraksi dengan pelajar tempatan dan memahami sistem pendidikan di sini,” kata beliau. “Kenangan di Langkawi dan aktiviti English Camp benar-benar memberi inspirasi kepada saya. Terima kasih kepada HALUAN Malaysia kerana menjayakan program ini."
Sementara itu, guru pengiring Kenan Askoy meluahkan keterujaan beliau selepas mengunjungi institusi pendidikan tinggi. “Sebagai seorang guru, saya melihat bagaimana program ini memberi impak positif kepada pelajar kami. Mereka bukan sahaja mendapat pengalaman baru, tetapi juga membina jaringan persahabatan yang luas. Pengalaman berinteraksi dengan institusi pendidikan seperti Universiti Malaysia Perlis, Universiti Utara Malaysia dan Albukhary International University amat berharga,” ujarnya. “Kami berharap program ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan."






—
Laporan Syahidan Kamarudin
Setiausaha Student Exchange Program (STEP) 2025