Relawan HALUAN Bantu Mangsa Banjir di Kedah
CHANGLUN, KUBANG PASU, 30 Sept 2024 – Relawan HALUAN bergandingan membantu keluarga mangsa bencana banjir yang terpaksa menumpang di beberapa buah pusat penempatan sementara (PPS) dalam daerah Kubang Pasu sejak minggu lalu.
Hampir dua minggu sejak bencana banjir melanda wilayah utara negara, lebih 400 keluarga masih terkesan bencana banjir yang melanda beberapa daerah di negeri Kedah susulan gelombang kedua.
Semalam, HALUAN dengan kerjasama Yayasan Hasanah telah mengagihkan keperluan asas termasuk set kebersihan diri (hygiene kit), makanan kering dan air mineral kepada keluarga mangsa di PPS SMK Changlun dan PPS SK Bandar Baru Darulaman.
Pasukan medikal HALUAN turut menjalankan pemeriksaan kesihatan dalam kalangan penghuni PPS SMK Changlun, melibatkan pemeriksaan dan rawatan umum serta ujian gula. Seorang mangsa dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, peralatan membersih rumah telah diserahkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Pendang untuk diagihkan kepada keluarga mangsa.
Awal minggu lalu, pasukan peninjau bencana termasuk Pengurus Pembangunan Program merangkap Pengarah Operasi Bantuan HALUAN, Encik Mohd Jamil Muda, dan Setiausaha HALUAN cawangan Kedah, Encik Mohd Fuad Razali, telah berkunjung ke PKOB di Pejabat Daerah dan Tanah Pendang bagi mendapat maklumat situasi semasa. Penolong Pegawai Daerah, Cik A’in Shahira Abdul Wahab, telah bersetuju membenarkan relawan HALUAN untuk menyantuni mangsa-mangsa banjir di semua PPS di daerah tersebut.
Di samping itu mereka turut mengadakan perbincangan dengan Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Hakim Ariff Md Noor, serta mengagihkan makanan untuk petugas yang berkhidmat di PKOB Daerah Kota Setar.
Menurut Mohd Jamil, HALUAN merancang untuk menggerakkan pasukan relawan membantu membersihkan rumah-rumah mangsa, masjid, surau dan sekolah apabila keadaan banjir semakin pulih dan penduduk dibenarkan pulang ke rumah mereka.
—
Laporan Media HALUAN