Projek Pertanian Orang Asli Air Banun Mula Membuahkan Hasil
TASIK BANDING, GERIK, 29 Julai 2024 – Hasil tanaman serai skala komersial oleh orang asli di Kampung Sungai Raba di sini telah berjaya dituai dan dipasarkan buat julung kalinya semalam setelah enam bulan menunggu.
Turut berjaya dipasarkan buat kali kedua adalah hampir 20kg limau nipis keluaran petani masyarakat orang asli berdekatan di Kampung Air Banun, Gerik. Kesemua mereka dibimbing oleh HALUAN yang berusaha untuk memperkasa sosio-ekonomi dan pendidikan mereka sejak lebih daripada 10 tahun dahulu.
Projek penanaman serai yang dilaksanakan melalui Biro Kebajikan HALUAN itu bermula Oktober tahun lalu dengan kerja pembersihan tapak dan pembajaan tanah kebun serta menyelesaikan masalah pengairan dan menghalang pencerobohan haiwan liar.
Bagi aktiviti tuaian hasil pada peringkat pertama ini, Ketua Biro Kebajikan HALUAN, Encik Abd Halim Khudri bersama tiga sukarelawan dan lima penduduk kampung menuai 30 perdu serai seberat 100 kilogram. Tuaian tersebut telah berjaya dipasarkan di pasar awam Gerik dan juga di kawasan Seberang Perai. Keseluruhannya, sebanyak 300 perdu serai telah ditanam.
“Serai spesis peha ayam orang asli ini sihat dan saiznya besar, sekaligus memberikan kepuasan kepada pembeli. Konsultan pembimbing Akademi Tarbawi telah mengajar mereka kaedah penanaman serta penjagaan yang betul agar serai tumbuh sihat dan bernilai komersial. Pembajaan, pengairan dan penggemburan dipantau. Kami masih memiliki banyak lagi serai dan kami mengalu-alukan pembeli untuk hubungi kami untuk pembelian secara pukal dari 10kg ke atas,” jelas beliau.
Pada masa yang sama, sekumpulan lagi sukarelawan HALUAN bersama tuan tanah telah menuai 20kg buah limau nipis di Kampung Air Banun berdekatan. Petani orang asli, Encik Sani Dalong berkata buah limau kebunnya sekarang bersaiz besar dan jusnya banyak.
“Kami berterima kasihlah kepada HALUAN atas bimbingan yang kami dapat sejak lapan tahun lalu bagaimana menanam limau nipis hingga berjaya masuk ke pasaran. Buah-buah yang kami pilih untuk dijual semuanya adalah bersaiz besar dan memenuhi citarasa pembeli. Setelah mengumpul buah ke dalam guni, kami jual kepada pemborong di pasar awam Gerik,” jelas beliau. Ini merupakan pemasaran kedua yang diuruskan sendiri oleh masyarakat orang asli, melalui bimbingan sukarelawan HALUAN yang turut sama turun ke lokasi kebun dan pasar untuk menemukan petani orang asli dengan pembeli borong hasil pertanian mereka.
Abd Halim menyeru semua pihak yang berminat untuk turut membantu usaha murni ini dengan membeli hasil pertanian keluaran orang asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun ini. Buat masa sekarang, HALUAN membantu mereka menjaga dan menuai serai dan buah limau nipis secara komersial demi kelangsungan hidup mereka mencari rezeki.
“Kami juga mengalukan pihak pembeli borong termasuk peniaga pasar borong, hypermarket, pemborong pertanian bergerak, serta agensi kerajaan seperti FAMA dan sebagainya,” berkata Abd Halim.
Sebarang pertanyaan mengenai pembelian bolehlah dicapai melalui Encik Abd Halim di talian 019-4644 357 atau Encik Sani Dalong di talian 013-817 4514 (untuk limau nipis) dan Encik Naim Itam di talian 016-3648 975 (untuk pembelian serai dan buah roselle).
Semoga sokongan tuan-puan ini dapat meningkatkan lagi sosio-ekonomi dan pendidikan orang asli yang jauh terpinggir, sekaligus membebaskan masyarakat terbabit daripada arus kemiskinan bahkan menyumbang kepada pembangunan negara.
HALUAN masih memerlukan derma orang ramai untuk kelangsungan projek-projek swadaya dalam kalangan masyarakat orang asli di sini, terutamanya untuk bidang pertanian secara komersial serta pendidikan asas akademik dan agama anak-anak kecil orang asli. Kami berbesar hati seandainya tuan-puan sanggup membantu dengan berinfak ke akaun:
Maybank No. 5572 5006 2982 atas nama “Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia, dengan notasi “Orang Asli Banun”.
Laporan Biro Kebajikan HALUAN