fbpx

Perginya Seorang Murabbi dan Dai – Syeikh Abu Ammar

Perginya Seorang Murabbi dan Dai – Syeikh Abu Ammar

Perginya Seorang Murabbi dan Dai – Syeikh Abu Ammar

Hari ini, 27 Ogos 2024 bersamaan 22 Safar 1446H dunia Islam kehilangan seorang dai dan murabbi ketika Allah SWT telah memanggil pulang hamba-Nya Abdul Mun’im Soleh Al Ali al Izzi atau dikenali juga sebagai Muhammad Ahmad Ar Rashid dalam usia 86 tahun.

Abu Ammar – begitulah beliau lebih dikenali selain nama sebenarnya. Selama lebih 70 tahun mendambakan diri dalam kerja-kerja dakwah dan tarbiah. Namanya mungkin kurang dikenali di negara ini, namun di luar sana ia sangat disegani terutamanya oleh pertubuhan-pertubuhan dakwah Islam sedunia.

Beliau banyak berkongsi pengalaman dalam bidang dakwah dan tarbiah dengan pertubuhan-pertubuhan dakwah di seluruh dunia. Memberi tunjuk ajar tanpa jemu, mengorbankan kerjaya, tenaga, kewangan dan sebagainya demi kesinambungan dakwah dan tarbiah agar ia tidak terhenti di pertengahan jalan.

Beliau banyak menulis buku-buku untuk menjadi panduan dan pengajaran kepada sesiapa yang menghayatinya. Di usia yang sudah lanjut masih tekun menulis dan membantu. Di akhir-akhir hayat beliau, semasa di Wad ICU Hospital Pusrawi Kuala Lumpur lebih sebulan lalu, beliau masih memberikan pesanan-pesanan yang sangat bernilai untuk dihayati dan dilaksanakan.

HALUAN Malaysia sangat dekat dengan almarhum Syeikh Abu Ammar melalui susur galur bahawa beliau merupakan insan yang banyak membantu pengasas HALUAN Malaysia, almarhum Dato Kaya Bakti Ustaz Dahlan Mohd Zin dan rakan-rakannya sepanjang mereka menyambung pengajian di Iraq pada tahun 1960-an. Hubungan ukhuwah tersebut berterusan apabila almarhum Ustaz Dahlan dan rakan-rakannya tamat pengajian dan pulang ke Malaysia. Bahkan almarhum Syeikh Abu Ammar semasa berada di Malaysia, kerap menziarahi almarhum Ustaz Dahlan dan rakan-rakannya di sini. Beliau turut hadir semasa pengebumian jasad Ustaz Dahlan pada tahun 2010.

HALUAN Malaysia merasa terharu dan penuh penghargaan bilamana Syeikh Abu Ammar telah mewasiatkan agar pengurusan jenazah beliau diselia oleh HALUAN. Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman diamanahkan untuk menjadi imam solat jenazah.

Umpama permata yang bercahaya, sinarnya akan terus berkilau. Segala pengajaran, kitab-kitab karangan dan tunjuk ajar almarhum Syeikh Abu Ammar akan terus berkembang dengan izin Allah SWT.
Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa beliau dan ditempatkan bersama-sama para nabi dan orang-orang yang soleh.


Setiausaha Agung
HALUAN Malaysia