Orang Asli Air Banun Kembangkan Aktiviti Pertanian Dalam Ternakan Ikan
TASIK BANDING, GERIK, 2 Sept 2024 – Kejayaan awal pengeluaran serai peha ayam dan buah limau nipis dari projek pertanian komersial RPS Orang Asli Air Banun telah menarik minat komuniti di situ untuk mengembangkan lagi usaha mereka dengan menceburi sektor ternakan ikan air tawar.
Untuk merealisasikan rancangan tersebut, Ketua Biro Kebajikan HALUAN, Encik Abd Halim Khudri bersama pasukannya serta relawan Encik Md. Shater Zakaria telah membuat tinjauan di lokasi bagi mengkaji kesesuaian tapak untuk membina kolam ikan yang akan diusahakan bersama Koperasi Air Banun. Encik Md. Shater merupakan mantan penyelidik di Institut Biosains Universiti Putra Malaysia dalam kepakaran bidang akuakultur atau ternakan air. Beliau kini bertugas sebagai Pengerusi Koperasi Pendidikan Inovatif Pulau Pinang.
Sebelum ini, terdapat dua buah kolam ternakan ikan air tawar yang diusahakan secara individu di kawasan Air Banun namun tidak mencapai ke tahap komersial dengan peliharaan ikan tilapia, baung dan kelah. Pengerusi Koperasi Air Banun, Encik Askee Ali mengharapkan HALUAN dapat memberi bimbingan dan seterusnya membantu penduduk menjana pendapatan secara konsisten tanpa mereka perlu keluar mencari hasil hutan, dengan mengembangkan lagi projek ternakan itu.
Dengan kepakaran dan pengalaman yang digembleng bersama relawan dan agensi berkaitan, HALUAN akan terus membantu komuniti orang asli ini, yang rata-rata hidup dalam keadaan lebih daif daripada golongan B40, untuk bekerja secara tetap dan seterusnya memasarkan hasil titik peluh mereka secara lebih terancang dan efektif.
Dalam kesempatan berkunjung ke Kampung Sungai Raba di sana pada kali ini, relawan HALUAN turut membawa pulang 200 kilogram serai paha ayam hasil tananam penduduk di situ untuk dipasarkan di Pulau Pinang.
Para peraih pertanian, peniaga serta orang ramai yang ingin turut membantu usaha ini dialu-alukan untuk membeli atau memasarkan hasil pertanian orang asli seperti serai peha ayam, buah limau nipis serta buah roselle. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Encik Abd Halim di talian 019 4644 357, atau terus kepada orang asli sendiri, Encik Sani Dalong di talian 013-817 4514 bagi hasil limau nipis, dan Encik Naim Itam di talian 016-3648 975 untuk pembelian serai dan buah roselle.
HALUAN sangat memerlukan sokongan dan sumbangan orang ramai untuk menjamin kelangsungan projek-projek swadaya dalam kalangan masyarakat orang asli. Infak ikhlas anda boleh disalurkan melalui akaun berikut:
Nama Bank: Maybank Berhad
No. Akaun: 5572 5006 2982
Nama Akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia
Nota Rujukan: Orang Asli Banun
Laporan Biro Kebajikan HALUAN