Misi Korban HALUAN 2024 di Filipina
MINDANAO, FILIPINA, 24 Jun 2024 – Buat kesekian kali HALUAN membuka peluang kepada masyarakat Muslim Malaysia untuk melaksanakan korban di luar negara dan semestinya HALUAN memilih negara-negara Muslim yang miskin dan bergolak untuk ibadah korban ini.
Pada 14 hingga 21 Jun baru-baru ini, HALUAN beserta rakan strategik iaitu Persatuan Cakna Umat Malaysia (PACU) telah berkolaborasi untuk menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh masyarakat Muslim Malaysia untuk ibadah korban di Mindanao.
Pasukan misi korban Mindanao tahun ini yang disertai dua orang ahli HALUAN dan tujuh orang ahli PACU telah berlepas dari KLIA ke Mindanao pada 14 Jun. Mereka telah disambut oleh Mudir “Revert Islamic Dakwah Centre” Mati City, (RIDC) Davao Mindanao, Esmael L Timosa sebagai tuan rumah.
Hari Raya Aidiladha di Mindanao disambut pada Ahad 16 Jun. Selesai solat Aidiladha, ibadah korban dilaksanakan di RIDC di mana lapan ekor lembu dan dua ekor kambing telah dikorbankan.
Pada keesokannya, ibadah korban telah dilaksanakan di daerah Lupon di mana seekor lembu dikorbankan. Manakala sebanyak dua ekor lembu dikorbankan di daerah Pikit yang perjalanannya mengambil masa tujuh jam dari RIDC.
Pada hari ketiga, pasukan misi meneruskan ibadah korban di daerah Cotabato dengan seekor lembu dan empat ekor kambing pula dikorbankan di daerah Sultan Kudarat. Lokasi terakhir adalah di daerah Zamboanga di mana seekor lembu telah dikorbankan.
Selain aktiviti korban, pasukan misi juga telah membantu mudir RIDC dalam aktiviti mengIslamkan orang-orang tempatan Mindanao yang telah tertarik dengan ajaran Islam. Mereka dengan rela hati menghadirkan diri ke RIDC untuk sama-sama menyaksikan ibadah korban dan mendengar penerangan dan syarahan tentang Islam.
Sesungguhnya misi korban di Mindanao ini sangat bermakna kepada saudara-saudara seIslam kita yang daif di sana selain dapat menjadi tarikan penduduk tempatan untuk mengenali Islam.
Kami berharap penyertaan dan sumbangan masyarakat Muslim Malaysia dalam misi korban di Mindanao ini dapat diteruskan untuk masa hadapan.
Laporan disediakan oleh Dr. Kursiah Mohd Razali
Ketua Biro HALUAN Fitrah cawangan Perak