Mega Street Dakwah Semai Nilai Islam Demi Keharmonian Multikultural
SEREMBAN, 21 Dis 2024 – HALUAN cawangan Negeri Sembilan telah melaksanakan Program Mega Street Dakwah di sekitar kawasan Seremban 2 termasuk City Park, Palm Mall, dan Terminal One Seremban. Program ini bertujuan memperkenalkan ajaran Islam kepada masyarakat bukan Islam secara mesra, menggunakan pendekatan Street Dakwah yang menghargai dan menyentuh hati pelbagai lapisan masyarakat.
Program berkenaan adalah gandingan kerjasama antara organisasi bukan kerajaan (NGO) Multiracial Reverted Muslims (MRM) dan 12 NGO dakwah termasuk HALUAN, International Islamic Information & Dawah Centre (IIDAC), Hidayah Centre, Gabungan Dakwah Malaysia (GDM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan PERKIM. Melalui usahasama ini, maklumat benar tentang Islam disampaikan dengan cara yang bersederhana dan penuh kasih sayang, sesuai dengan semangat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
Seramai 18 peserta daripada HALUAN Negeri Sembilan dan lapan sukarelawan Hidayah Centre Negeri Sembilan turut serta dalam program ini. Mereka dibahagikan kepada tujuh kumpulan kecil, setiap satu terdiri daripada tiga orang sukarelawan. Tugas utama mereka adalah untuk mengedarkan risalah dakwah dengan tema “Brothers in Faith” (Saudara Seiman) dan memperkenalkan konsep kenabian dalam tiga bahasa; Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin. Program dimulakan dengan pendaftaran di Pejabat HALUAN cawangan Negeri Sembilan pagi itu, diikuti dengan bacaan doa dan taklimat oleh Setiausaha Biro HALUAN Fitrah (BHF) negeri, Dr. Zainab Aman.
Dr. Zainab menekankan bahawa dalam menyampaikan dakwah, adalah penting untuk menjaga adab, kesopanan, dan menghormati perasaan orang lain. Beliau mengingatkan para peserta bahawa dakwah bukanlah untuk memaksa atau berdebat, tetapi untuk menyampaikan mesej Islam dengan hikmah dan sabar.
"Hak untuk memberi hidayah adalah sepenuhnya milik Allah, sementara tugas kita adalah menyampaikan, mencari titik persamaan sebagai pembuka perbualan, dan membina perbincangan yang positif dengan individu yang bukan muslim,” ujar beliau.
Sepanjang program, banyak pertemuan menarik berlaku, termasuk penganut agama Buddha dan Hindu. Walaupun ramai di antara mereka tidak mendalami ajaran agama mereka sendiri, mereka menunjukkan keterbukaan untuk berbincang mengenai Islam. Ini menandakan bahawa pendekatan dakwah yang penuh kesabaran, berilmu dan penuh hormat berpotensi untuk mewujudkan suasana harmoni yang lebih mendalam dan membuka ruang untuk lebih banyak interaksi antara komuniti berbilang agama.
Kesimpulannya, Program Mega Street Dakwah ini telah berjaya mencapai matlamat utamanya, iaitu memperkenalkan Islam kepada masyarakat bukan Islam di Seremban dalam suasana yang penuh toleransi dan keharmonian.
"Program ini bukan sahaja tentang menyampaikan ajaran Islam, tetapi juga mewujudkan ruang untuk dialog dan pertukaran budaya, di mana nilai-nilai Islam dapat dipahami dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat. Melalui usaha yang penuh kasih sayang ini, kita bukan sahaja menyebarkan kebenaran Islam, tetapi juga membina hubungan yang lebih harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama,” jelas Ketua BHF negeri, Encik Noor Azmi Ahmad Khariry.
Dengan pendekatan yang penuh kesabaran, adab, dan rasa hormat, dakwah dapat dijalankan dengan lebih berkesan, sambil memperkukuhkan semangat keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama tanpa mereka merasa tertekan atau terpaksa.
Laporan Dr. Zainab Aman
Setiausaha Biro HALUAN Fitrah
HALUAN cawangan Negeri Sembilan