
Mangsa Banjir di Rumah Panjang Paul Kibong Terima Pek Makanan
BINTULU, 12 Feb 2025 – HALUAN Malaysia terus komited dalam meringankan beban mangsa banjir di Sarawak dengan mengagihkan bantuan pek makanan kepada 49 keluarga di Rumah Panjang Paul Kibong di Daerah Tatau, Bahagian Bintulu.
Sumbangan yang dihulurkan melalui sokongan dana daripada Yayasan Hasanah ini mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, sardin, tepung, garam, gula serta keperluan dapur lain. Bantuan ini bukan sahaja memastikan bekalan makanan keluarga-keluarga terjejas tidak terputus, tetapi juga sedikit sebanyak mampu meringankan kesulitan hidup mereka.
Agihan bantuan di rumah panjang 49 pintu itu telah dilaksanakan oleh pasukan relawan HALUAN Malaysia dengan kerjasama daripada Masjid Al-Mustaqim RPR Kidurong, Bintulu.
Rumah Panjang Paul Kibong terputus hubungan apabila jalan darat utama ke pekan Tatau tidak dapat dilalui akibat dinaiki air. Proses penghantaran bantuan tertangguh kerana arus deras di kawasan laluan bot yang mengambil masa lebih lama untuk surut.
Sebahagian besar kawasan di Daerah Tatau terjejas teruk dengan banyak jalan terputus dan rumah-rumah tenggelam. Walaupun sebahagian rumah panjang terselamat kerana dibina di kawasan lebih tinggi, penduduk masih tidak dapat keluar mencari rezeki dan banyak tanaman mereka musnah akibat banjir ini.
HALUAN Malaysia amat mengalu-alukan sokongan dan sumbangan dana untuk misi bantuan ini. Orang ramai yang ingin turut membantu boleh menyalurkan sumbangan secara dalam talian melalui pautan berikut: https://www.haluan.org.my/donations/bantuan-bencana-banjir-monsun-timur-laut-2024-2025/




Laporan Mahmood Izzat Ikhwani Huzaidi
Wartawan Media HALUAN di Bintulu.