fbpx

Lebih Ramai Orang Asli Tertarik Dengan Pertanian Komersial

Lebih Ramai Orang Asli Tertarik Dengan Pertanian Komersial

Lebih Ramai Orang Asli Tertarik Dengan Pertanian Komersial

TASIK BANDING, GERIK, 17 Ogos 2024 – Kejayaan awal pengeluaran dan pemasaran serai peha ayam dan buah limau nipis dari projek pertanian komersial Rancangan Penempatan Semula (RPS) orang asli di bawah bimbingan HALUAN telah menarik minat lebih ramai penduduk kampung Sungai Raba dan Air Banun untuk berkebun secara komersial dan terancang.

Di sebalik keghairahan ini, pemasaran hasil pertanian untuk menjamin pendapatan secara tetap merupakan satu cabaran dan ujian yang harus dihadapi. Justeru HALUAN sebagai sebuah NGO yang cakna dengan gerak nadi masyarakat daif terus membantu mereka untuk memasarkan hasil pertanian tersebut.

Untuk tujuan itu, relawan HALUAN kesekian kalinya telah turun padang ke RPS Air Banun untuk membantu proses penuaian dan pembungkusan serai dan limau. Menurut Ketua Biro Kebajikan HALUAN, Encik Abdul Halim Khudri, serai dan limau nipis yang telah dibungkus kemudiannya dihantar ke pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Bukit Mertajam, Seberang Perai.

Kami juga menyeru para pemborong sayuran dan buah-buahan untuk membeli secara pukal hasil pertanian penduduk orang asli di sini. Sokongan ini akan dapat meningkatkan semangat mereka untuk hidup lebih komited dan berdikari, bahkan membantu meningkatkan ekonomi serta keperluan bekalan makanan kepada masyarakat sekitar,” ujar Abdul Halim.

Katanya lagi, tanah yang subur di rimba Belum sebenarnya membolehkan mereka bertani dan menjual hasil pertanian tanpa perlu terokai hutan mencari dan menjual rotan, buluh dan herba untuk sesuap rezeki. Malah serai tanaman mereka segar-bugar dan mutu limau nipis juga mendapat pujian daripada peraih di pekan Gerik. Konsep yang diperkenalkan oleh HALUAN akan membolehkan mereka bertani berhampiran kampung sendiri dan menjual hasilnya kepada peraih. Sekaligus ini akan dapat mengurangkan risiko ancaman keselamatan ke atas mereka kerana binatang buas seperti harimau belang dan kumbang semakin banyak di rimba berkenaan.

Kami sedang dalam rangka memperluaskan kawasan tanaman pertanian dengan diversiti tanaman lain seperti cili burung dan seumpamanya agar mereka akan sentiasa boleh mencari rezeki saban minggu. Mereka miskin malah lebih rendah daripada golongan B40 dan punyai ramai saraan. Pertanian secara tersusun yang HALUAN perkenalkan sejak 10 tahun ini akan mampu melonjakkan kehidupan mereka ke arah yang lebih baik,” jelas Encik Halim.

Mereka yang ingin membantu usaha pemasaran hasil pertanian ini boleh menghubungi Encik Abdul Halim di talian 019 4644 357. Khusus untuk pemasaran limau nipis berkualiti, mereka boleh berhubung terus dengan petani orang asli kaum Jahai iaitu Encik Sani Dalong di talian 013-817 4514, manakala bagi pemasaran serai dan buah roselle melalui Encik Naim Itam di talian 016-364 8975.

HALUAN sentiasa mengalukan sumbangan derma awam untuk membolehkan kami terus menyantuni projek kebajikan orang asli di Gerik ini. Para dermawan boleh menyumbang ke akaun:
Maybank No. 5572 5006 2982 atas nama “Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia“, dengan notasi “Orang Asli Banun”.


Laporan Biro Kebajikan HALUAN