fbpx

Komuniti Orang Asli Sg. Choh Terima Sumbangan dan Sokongan Pendidikan

Komuniti Orang Asli Sg. Choh Terima Sumbangan dan Sokongan Pendidikan

Komuniti Orang Asli Sg. Choh Terima Sumbangan dan Sokongan Pendidikan

GERIK, 6 Okt 2024 – HALUAN telah mengadakan program kunjungan kasih ke kampung orang asli Sg. Choh di Ulu Kinta, dengan menyampaikan sumbangan berupa beras dan peralatan mengajar untuk kanak-kanak. Program ini disambut meriah oleh penduduk kampung, yang turut menyatakan penghargaan terhadap komitmen HALUAN membantu meningkatkan sosio-ekonomi mereka.

Kunjungan ini diketuai oleh Ketua Biro Kebajikan HALUAN, Abd Halim Khudri, bersama Pengarah Program Sejuta Barakah Ramadan (SBR), Dr. Asmawati Desa. Program SBR yang diadakan setiap tahun bertujuan menggalakkan masyarakat menyumbang kepada golongan asnaf, termasuk komuniti orang asli yang memerlukan. Sebahagian sumbangan daripada program SBR tahun ini telah diagihkan kepada penduduk Sg. Choh.

Dalam majlis dialog yang diadakan sempena agihan bantuan, penduduk kampung menyuarakan harapan agar HALUAN dapat terus memberikan bimbingan serta membantu meningkatkan taraf pendidikan anak-anak mereka. “Mereka ingin melihat anak-anak kampung ini menjadi pewaris yang mampu memajukan komuniti, selaras dengan pembangunan negara dan menuju kejayaan di dunia serta akhirat,” kata Abd Halim.

HALUAN turut menyeru para pemborong sayur, buah-buahan, dan pengusaha kedai makan untuk menyokong pembangunan sosio-ekonomi orang asli dengan membeli hasil pertanian mereka secara pukal.

Sebagai komitmen untuk membantu komuniti ini, HALUAN merancang pelbagai projek pembangunan swadaya untuk memastikan mereka mampu berdikari dan mencapai kemajuan. Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun berikut:
Nama Akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia
No Akaun: 5572 5006 2982
Nama Bank: Maybank Islamic Berhad
Nota Transaksi: Orang Asli Banun

Semoga usaha ini terus mendapat sokongan padu daripada masyarakat.


Laporan oleh Abd Halim Khudri
Ketua Biro Kebajikan HALUAN Malaysia