HALUANITA Sertai Diskusi Wanita Madani
SHAH ALAM, 13 Sept 2024 – HALUAN telah dijemput menyertai “Program Diskusi Wanita Madani – Wanita Cinta Negara” yang telah berlangsung di Shah Alam semalam.
Program itu bertujuan memberi kefahaman mengenai konsep cintakan negara dalam pembinaan masyarakat madani serta membentuk jaringan sinergi bagi memberdayakan wanita ke tahap optimum. Ia telah dianjurkan oleh Persatuan Wanita Anggerik Malaysia dengan kerjasama Majlis Wanita Islam YADIM (MAWIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM), dan Pertubuhan SALWA Malaysia (SALWA).
HALUAN melalui sayap wanitanya, HALUANITA, adalah ahli jawatankuasa MAWIM. Ketua Biro HALUANITA, Puan Ahlami Abdullah Akhili, dan Setiausaha Kerja Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga, Cik Nur Farhana Abdul Pata telah hadir sebagai peserta aktif dalam program ini.
Majlis dimulakan dengan ucapan Pengerusi Anggerik Malaysia, Puan Adibah Ahmad yang menekankan peranan wanita sebagai tunjang dalam membina masyarakat madani yang sejahtera. Beliau menekankan kepentingan sinergi antara pelbagai pihak untuk memberdayakan wanita ke peringkat lebih tinggi.
Sesi pertama perbincangan bertajuk Bicara Memperkasa Wanita Dalam Masyarakat Madani menampilkan ucaptama oleh Pengerusi Badan Penyelidik Inisiatif Sosial dan Ekonomi, Puan Nurul Izzah Anwar. Dalam perbincangannya, beliau menekankan pentingnya suara wanita dalam pembangunan dasar negara untuk memastikan kesinambungan dan kelestarian masyarakat madani.
Program ini telah dirasmikan oleh YDP Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datuk Seri Masdiana Muhammad. Dalam ucapan penuh semangat beliau, Masdiana menekankan pentingnya peranan wanita dalam masyarakat madani sebagai penggerak utama pembangunan negara. “Wanita Madani adalah yang bekerja kuat membangunkan negara,” katanya.
Program diteruskan dengan sesi kedua yang dinamakan Diskusi Selari Memperkasa Wanita Madani. Para peserta dibahagian dalam empat kumpulan bagi membincangkan topik-topik berikut:
Kumpulan 1 – Wanita dan Media, dipimpin oleh Ketua Unit Penyelidikan, Khazanah Ilmu dan Teknologi Semantik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Datin Dr. Roslina Othman.
Kumpulan 2 – Demokrasi dan Generasi Muda, dikendalikan oleh Pengurus Kanan Penyelidikan, Institut Darul Ehsan, Encik Khairul Ariffin Munir.
Kumpulan 3 – Demokrasi dan Kepimpinan, yang diketuai oleh Pengetua Sekolah Wanita (SWAN) Puan Yong Bazilah Abu Bakar.
Kumpulan 4 – Demokrasi dan Komuniti, yang diketuai oleh Ketua Projek Pembangunan Komuniti B40, Pusat Akar Budi, Puan Martinelli Hashim.
Program ini telah berjaya meningkatkan kesedaran mengenai peranan wanita dalam pembangunan masyarakat madani serta membuka ruang untuk perbincangan kritis dan membina mengenai isu-isu penting berkaitan wanita, demokrasi dan cintakan negara.
Laporan Nur Farhana Abdul Pata
Setiausaha Kerja Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga