HALUAN Sertai Latihan Pengurusan Bencana RANDEX 2024
BUKIT FRASER, 30 Okt 2024 – Sembilan wakil Biro Misi Kemanusian HALUAN telah menyertai latihan empat hari pengurusan bencana Rakan NADMA Disaster Emergency Exercise (RANDEX) 2024 di sini bermula 27 Oktober lepas. HALUAN Malaysia diketuai oleh Pengurus Pembangunan Program, Encik Mohd Jamil Muda, sebagai koordinator utama merangkap “subject matter expert” bagi kursus ini.
RANDEX merupakan kursus pengukuhan kefahaman yang telah dianjurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui wadah Rakan NADMA dan Yayasan TM. Kursus berbentuk kuliah teori dan latihan simulasi ini melibatkan 111 peserta daripada 52 organisasi terdiri daripada NGO, institusi pengajian tinggi, syarikat berkaitan kerajaan, agensi kerajaan, pertubuhan kebajikan dan badan korporat.
Kursus ini telah disertai oleh wakil-wakil dari semua negeri di seluruh Malaysia. Selain itu, terdapat juga peserta antarabangsa dari Jepun yang telah berkongsi perihal langkah keselamatan dan evakuasi terhadap bencana gempa bumi. Program ini secara keseluruhannya bertujuan menambah baik aspek tata kelola dan memperkemas aspek perancangan serta mekanisme misi kemanusiaan di masa hadapan. Dengan adanya program seperti ini, jaringan dan kerjasama antara pelbagai agensi dan pertubuhan turut dapat dibentuk bagi menambah baik respon terhadap bencana dalam dan luar negara.
Majlis perasmian program RANDEX 2024 telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial yang mewakili Ketua Pengarah NADMA, Encik Abdul Raof Zahari. RANDEX 2024 juga telah melibatkan kerjasama strategik antara NADMA dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), bersama Yayasan Telekom Malaysia selaku penaja, dan Red A sebagai pelaksana.
Antara modul dan topik yang telah didedahkan kepada peserta dalam kursus empat hari ini termasuklah mekanisme pengurusan bencana di peringkat Malaysia, rantau Asia Tenggara, dan peringkat dunia. Pendedahan ini penting bagi memastikan pengurusan bencana dapat dilakukan dengan berkesan dan menepati kaedah pengurusan standard. Peserta juga didedahkan kepada tajuk-tajuk yang khusus dan spesifik seperti proses mendirikan hospital lapangan, klinik bergerak, serta proses mendirikan dan mengurus kem-kem pelarian.
Teras utama dalam pengurusan yang baik adalah perancangan dan keputusan yang dihasilkan melalui data-data yang dikumpul dengan tepat. Peserta telah didedahkan dengan kaedah pengumpulan data bencana menggunakan sumber-sumber primer dan sekunder. Selain itu, peserta juga dibekalkan dengan teori-teori asas kepimpinan.
“Perkara ini penting dalam melahirkan pekerja lapangan yang mampu menguruskan pasukan dan juga mengawal krisis yang berlaku di medan. Selain latihan berbentuk teori, peserta juga didedahkan dengan simulasi bencana sebenar yang dipimpin oleh Pengarah RANDEX 2024, Datin Azura Ibrahim. Simulasi ini amat penting bagi memastikan peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang telah mereka perolehi di lapangan,” jelas Encik Jamil.
Antara subjek-subjek lain yang diperkenalkan termasuklah etika dalam pengurusan bencana, kaedah pengurusan air dan sanitasi, serta bantuan psikologi awal kepada mangsa-mangsa bencana. Pendedahan terhadap metodologi pengurusan bencana ini adalah berdasarkan standard dan dokumen antarabangsa seperti yang digariskan antaranya oleh The Sphere Handbook.
Wakil-wakil HALUAN negeri yang hadir ke program tersebut adalah Syed Ahmad Fathi Syed Mohd Khair dan Wan Mohamed Yusfi Mohd Abdoh dari Kedah; Mohamad Syahmi Mohamad Bakri dari Kelantan; Muhammad Ridhwan Abdul Rahman, Abdullah Hilmy, dan Hilmi Mahmood dari Perak; serta Naeem Siddiqi dari Melaka.
Dengan penganjuran program latihan pengurusan bencana RANDEX 2024 ini, para aktivis dan sukarelawan HALUAN telah dididik untuk menjadi pekerja lapangan yang lebih profesional dan berpengetahuan. Pelbagai pembinaan jaringan turut dapat dijalinkan antara peserta bersama organisasi-organisasi lain.
Laporan Syed Ahmad Fathi Syed Mohd Khair
Naib Yang Dipertua 4 (Kluster Kebajikan dan Kemanusiaan)
HALUAN cawangan Kedah