HALUAN Sertai Forum Serantau YAPEIM 2024
PUTRAJAYA, 2 Okt 2024 – HALUAN telah menyertai Forum Serantau YAPEIM 2024 (FSY2024) yang berlangsung di sini bertujuan membincangkan cabaran ekonomi semasa dalam konteks ekonomi Islam serta merancang strategi bagi memperkasakan ekonomi umat.
Forum dua hari bermula 1 Oktober itu dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan ditaja oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
FSY2024 turut menampilkan tiga sesi pleno, lapan sesi selari dan lima masterclass yang berfokus kepada isu-isu penting dalam ekonomi Islam. Objektif utama forum ini termasuk merangka pendekatan berkesan untuk membantu kerajaan membangunkan ekonomi Islam serta menghubungkan jaringan ekonomi antara negara-negara serantau dalam usaha memperkukuhkan sinergi ekonomi ummah.
Majlis perasmian forum disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menegaskan keperluan kolaborasi antara kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat dalam memajukan ekonomi Islam. Beliau juga menekankan bahawa pendekatan menyeluruh diperlukan bagi memastikan umat Islam di rantau nusantara tidak ketinggalan dalam arus globalisasi ekonomi. FSY2024 dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuhkan sinergi ekonomi serantau.
Forum berkenaan diakhiri dengan ucapan penutup oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang menyeru semua pihak untuk terus komited dalam memperkasakan ekonomi ummah melalui tadbir urus yang baik dan strategi berkesan.
FSY2024 berjaya mencapai objektif utamanya dalam merangka pendekatan ekonomi yang mampan serta mengukuhkan hubungan ekonomi di kalangan negara-negara serantau.
—
Laporan Nur Farhana Abdul Pata
Setiausaha Kerja Wanita dan Pembangunan Keluarga