fbpx

HALUAN Pulau Pinang Anjur Pengajian Sirah Bersiri

HALUAN Pulau Pinang Anjur Pengajian Sirah Bersiri

HALUAN Pulau Pinang Anjur Pengajian Sirah Bersiri

SEBERANG PERAI, 12 Ogos 2024 – HALUAN cawangan Pulau Pinang telah melancarkan program bersiri bersemuka Pengajian Kitab Al-Raheeq Al-Makhtum, sebuah kitab yang menjelaskan sirah perjalanan hidup Rasulullah SAW sebagai langkah memantapkan lagi kaedah penyampaian ilmu dalam Kuliah Duha Bulanan.

Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh YDP HALUAN Pulau Pinang, Encik Iznan Husainy Hasbullah di Sekolah Menengah Agama Ibrah (SMA Ibrah), Tanjung Putus di sini semalam. Turut hadir adalah Mudir SMA Ibrah, Encik Rozaini Kassim.

Kitab unggul ini ditulis oleh Syeikh Sofiy Al-Rahman Al-Mubarakfuri daripada Universiti al-Salafiah, India dalam bahasa Arab dan Urdu. Ia telah memenangi hadiah pertama dalam “Sayembara Buku Sirah Nabawiah” anjuran Rabithah Al-Alam Al-Islami yang berlangsung di Pakistan pada tahun 1979, mengalahkan 170 manuskrip lain.

Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Ustaz Mohd Darus Senawi Ali pada tahun 2011. Pembaca disajikan dengan kajian ilmu yang terperinci berpandukan hadis-hadis sahih secara kronologi, bermula daripada latar belakang geografi dan sosial masyarakat Arab, keturunan baginda, seluruh fasa kehidupan sehinggalah wafatnya baginda SAW.

Pengajian kitab ini disampaikan oleh pensyarah Kolej Komuniti Seberang Jaya lulusan Universiti Al-Azhar, Ustaz Muhammad Rahimi Abdul Rahman. Ia terbuka kepada penyertaan semua masyarakat awam, ahli HALUAN, pelajar serta waris pelajar SMA Ibrah. Jadual pengajian adalah dari jam 10.00 hingga 11.30 pagi setiap hari Ahad minggu pertama setiap bulan. Sempena program ini, pihak sekolah turut membuka gerai jualan amal.

Dalam ucapan perasmian beliau, Encik Iznan Husainy merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak SMA Ibrah kerana menyediakan kemudahan tempat serta fasiliti untuk mengadakan program ini. Sementara itu, mudir Rozaini turut berterima kasih kepada HALUAN kerana program pengajian ini bakal membuka peluang kepada para pelajar sekolah memantapkan lagi ilmu dan kefahaman mereka tentang sirah Rasulullah SAW.


Laporan Abd Halim Khudri
Biro Media HALUAN Pulau Pinang