fbpx

HALUAN & JHEAINS Anjur Program Kesedaran Halal Kalangan Saudara Baru

HALUAN & JHEAINS Anjur Program Kesedaran Halal Kalangan Saudara Baru

HALUAN & JHEAINS Anjur Program Kesedaran Halal Kalangan Saudara Baru

PAROI, 11 Ogos 2024 – HALUAN cawangan Negeri Sembilan bergandingan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengadakan program kesedaran halal dan cara sembelihan untuk kalangan saudara baru di Pusat Dakwah Islamiah di sini semalam.

Seramai 74 orang peserta saudara baru dari pelbagai daerah hadir mendapatkan ilmu tentang pengurusan halal serta mendapatkan pencerahan kaedah-kaedah sembelihan yang betul menurut syariat Islam. 

Melalui program ini para peserta didedahkan dengan ilmu pengetahuan tentang halal dan haram dalam makanan, kaedah sembelihan, kaedah sertu (samak) serta beberapa lagi isu berkaitan. Mereka turut diajar secara teori kaedah penyembelihan menurut syariat di mana sebanyak 70 ekor ayam dan dua ekor kambing telah disembelih.

Program yang diadakan buat julung kali ini telah di rasmikan oleh Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JHEAINS, Ustaz Tengku Nor Iftah Tengku Jamil. Turut hadir menjayakan program ini adalah Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Dakwah JHEAINS, Ustaz Mohd Zamri Samsuddin, Naib Presiden HALUAN bagi Kluster Dakwah, Ustaz Mohd Ashrof Lukman, Timbalan YDP HALUAN Negeri Sembilan, Encik Abd Halim Ahmad, serta mantan YDP HALUAN Negeri Sembilan, Ir. Jailani Yusoff.

Perkongsian tentang konsep halal, pengurusan halal dan kaedah sertu telah disampaikan oleh Pensyarah Diploma Pengurusan Halal di Kolej Profesional MARA Bandar Melaka, Puan Nabilah Mansor.

 Majlis penutup telah disempurnakan oleh Ir. Jailani serta diakhiri dengan penyampaian hadiah ayam segar sebagai kenangan untuk semua peserta.

HALUAN merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Unit Dakwah JHEAINS atas sokongan dan kerjasama menjayakan program ini. Tahniah diucapkan kepada Ketua Biro HALUAN Fitrah Negeri Sembilan, Encik Noor Azmi Ahmad Khariry, serta setiausaha biro, Dr. Zainab Aman atas usaha berterusan menyantuni saudara baru.


Laporan Biro HALUAN Fitrah cawangan Negeri Sembilan