HALUAN Dihargai atas Usaha Pengurusan Mualaf di Negeri Sembilan
SEREMBAN, 21 Nov 2024 – Usaha gigih dan komitmen HALUAN Cawangan Negeri Sembilan dalam menyantuni mualaf telah mendapat penghargaan daripada kerajaan negeri, khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Penghargaan tersebut telah disampaikan dalam majlis perasmian Konvensyen Mualaf Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang berlangsung di Hotel Royale Chulan di sini, semalam.
Ketua Biro HALUAN Fitrah Cawangan Negeri Sembilan, Noor Azmi Ahmad Khariry, hadir mewakili HALUAN untuk menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun.
Sebanyak 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang berdaftar di bawah JHEAINS, termasuk HALUAN, telah menerima penghargaan dalam kategori Pengurusan Saudara Baru Islam Negeri Sembilan. Penghargaan ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kerjasama mereka dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan aktiviti dalam bidang pendidikan, latihan, dan pemantapan ekonomi untuk saudara-saudara baru di beberapa daerah di negeri tersebut. Pengiktirafan ini diharapkan dapat memacu usaha berterusan dan memperkukuh kerjasama antara NGO dengan JHEAINS dalam menguruskan hal ehwal mualaf di Negeri Sembilan.
Konvensyen yang dianjurkan oleh JHEAINS dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysian Revert Association (MRA) itu diadakan buat julung kali ini, dengan tema “Transformasi Al-Falah: 5 Tahun Memperkasa Kemandirian Mualaf“. Dalam majlis yang sama, YAB Menteri Besar turut meluncurkan tiga buah buku yang yang berkaitan, iaitu Prosiding Konvensyen Mualaf Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, Modul Mualaf Negeri Sembilan dan Al-Maw’izah: Bimbingan Pendakwah.
Beberapa sesi pembentangan kertas kerja telah diadakan pada hari kedua konvensyen, termasuk “Transformasi Mualaf Dunia AI” oleh Pensyarah Kanan Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam UKM, Dr. Khazri bin Osman; “Al-Falah Keusahawanan Kemandirian Mualaf” yang disampaikan oleh Pengerusi PERKIM Negeri Selangor, Haji Muhammad Fitri Abdullah; dan juga “Pemantapan Pendidikan Mualaf” oleh Pegawai Eksekutif Bahagian Pendaftaran Mualaf dan PIBK Majlis Agama Islam Selangor, Ustaz Che Mohamad Noor Lee bin Abdullah Lee. Pengerusi Islamic Propagation Society International (IPSI), Dato’ Haji Kamaruddin bin Abdullah, turut berkongsi pengalaman dalam sesi bertajuk “Dakwah Kepada Bukan Islam”.
—
Laporan Shahruddin Shafri
Setiausaha HALUAN Cawangan Negeri Sembilan