fbpx

HALUAN dan SEAHUM Bantu Mangsa Banjir Mindanao

HALUAN dan SEAHUM Bantu Mangsa Banjir Mindanao

HALUAN dan SEAHUM Bantu Mangsa Banjir Mindanao

MAGUINDANAO DEL NORTE, FILIPINA, 28 Julai 2024 – HALUAN melalui gabungan NGO dalam Southeast Asia Humanitarian Committee (SEAHUM) telah mengagihkan bantuan kecemasan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di beberapa perkampungan di Maguindanao del Norte, iaitu daerah Bangsamoro dalam Wilayah Autonomi Islam Mindanao.

Hujan lebat monsun barat daya yang berterusan sejak awal Julai disusuli dengan taufan Gaemi menyebabkan bencana banjir dan tanah runtuh di Filipina, sehingga sebahagian besar rumah musnah dan penduduk terputus hubungan. Di Maguindanao del Norte sahaja, sekurang-kurangnya 40 orang dilaporkan meninggal dunia manakala 94,395 keluarga terkesan di mana rumah-rumah dan infrastruktur awam seperti jalan raya musnah.

Kerja agihan bantuan SEAHUM dijalankan selama empat hari, tertumpu di kawasan sekitar Maharlika Highway, Matanog. Sebanyak 504 buah keluarga telah menerima bantuan asas termasuk pakej kebersihan dan barangan sanitasi, tuala, tikar, pakaian malong dan selipar.

Seterusnya dalam agihan fasa kedua, bantuan sumbangan rakyat Malaysia melalui HALUAN bernilai RM5,000 telah diagihkan oleh pasukan relawan Philippine Humanitarian Care kepada 220 keluarga yang terjejas di Barangay Poblacion, Balabagan Lanao del Sur.

Memandangkan mangsa dijangka berada di pusat evakuasi sehingga beberapa bulan lagi, SEAHUM merancang untuk meneruskan bantuan dalam bentuk kemudahan dapur memasak berpusat, di samping meneruskan bantuan sanitasi dan kebersihan bagi mengelak wabak penyakit.

HALUAN bersama rakan NGO di bawah SEAHUM akan turut membantu menghulurkan bahan-bahan pendidikan untuk anak-anak keluarga yang terkesan, serta membaik pulih surau (musalla) atau pusat komuniti yang rosak. Sebanyak RM10,000 dana diperlukan untuk tujuan tersebut.

HALUAN menyeru masyarakat prihatin Malaysia untuk terus membantu menjayakan misi bantuan ini, di mana penduduk minoriti Islam Bangsamoro amat memerlukan dukungan bagi membina semula kehidupan. Anda boleh salurkan bantuan melalui capaian berikut:
https://www.haluan.org.my/donations/bantuan-kecemasan-banjir-kilat-di-filipina/


Laporan Fatin Athirah Abdul Sani
Setiausaha Kerja Kluster Kemanusiaan dan Kebajikan HALUAN