fbpx

MOHO Digesa Tunjangi Syurga

MOHO Digesa Tunjangi Syurga

MOHO Digesa Tunjangi Syurga

Putrajaya, 21 Mei –  Pusatkan segala perancangan dan aktiviti hidup ke arah matlamat tunjang iaitu mencapai kenikmatan syurga.


Barulah kemanisan kehidupan benar-benar dapat dikecapi ke tahap yang maksima. Itulah pesanan Tuan Haji Rosdi Baharom, pakar kaunseling kekeluargaan kepada barisan doktor dan paramedik muda ahli Kelab Kesihatan HALUAN bersempena Seminar MOHO (Medical Officers-House Officers) 2011 di sini.

Katanya lagi, seseorang doktor atau paramedik muda seharusnya bijak mengimbangi masa yang dianugerahi Allah agar tidak keciciran dari segi pengisian rohani sepanjang mengharungi cabaran akademia atau housemanship agar fikrah Islam yang jelas tetap menjadi makanan rohani mereka buat bekalan yang berkekalan. Dengan iman yang mantap serta hubungan yang kuat dengan Allah, segala cabaran perit akan dapat diatasi dengan lebih sistematik dan mudah.

Seminar MOHO itu disertai oleh 14 peserta yang terdiri daripada pegawai perubatan dan pegawai perubatan siswazah seluruh Malaysia, bersama lapan orang pegawai/pakar perubatan senior yang bersama-sama mengikuti seminar tersebut untuk membakar semangat serta membimbing doktor-doktor muda untuk terus tega mengikuti apa jua cabaran mendatang.

Seminar bertemakan ”Tawazun Dalam Kehidupan Hari Ini” dimulai dengan perkongsian pengalaman oleh Tuan Haji Rosdi yang diterbangkan khas dari Kolej Teknologi Darulnaim (KTD), Kelantan. Ibarat orang tua mewasiatkan kepada anak-anaknya, perkongsian beliau selama tiga jam menerusi dua slot ceramah dirasakan tidak memadai. Beliau menggesa para peserta untuk fokus mencapai matlamat ke syurga dan bersedia berkorban segala-galanya demi matlamat syurga. Maka, neraca tawazun dalam kehidupan daie professional mestilah berlandaskan matlamat ke syurga dan redha Allah semata-mata.

Perkongsian mengenai tawazun dilanjutkan lagi melalui penyampaian Prof Madya Dr Nik Muktasim. Tawazun dalam realiti kehidupan diaplikasi bermula dengan mengenalpasti peranan dan tanggungjawab yang digalas; peranan wajib (mandated role) atau peranan yang boleh dipilih (elective role). Setiap peranan ditetapkan ‘minimum performance level’nya (MPL) dan intervensi mesti dibuat jika tidak mencapai MPL tadi.

Di sinilah istilah pengorbanan seringkali disalahguna menyebabkan futur (kemunduran) pada salah satu mandated role. Contohnya, pilihan untuk menghadiri kenduri kawan atau majlis ilmu yang berlangsung pada masa yang sama. Menghadiri kenduri ialah elective role manakala menghadiri majlis ilmu ialah mandated role. Malangnya, kekaburan peranan menyebabkan elective role sering mengatasi mandated role.

Selain itu, para peserta juga didedahkan dengan aspek ekonomi dan  kerjaya. Aspek ekonomi melalui ”Pelaburan Emas Dalam Islam” telah disampaikan oleh Tuan Haji Mubarak Ali, Pengurus Koperasi Perumahan KOPLIT. Aspek kerjaya pula telah membincangkan arah tuju selepas bergelar pegawai perubatan, khasnya cara-cara untuk memohon jawatan pensyarah perubatan. Ini disampaikan oleh pasangan suami-isteri Dr Rosdan Salim dan Dr Saedah Ali, pensyarah perubatan yang diterbangkan khas dari HUSM, Kubang Kerian, Kelantan. Perkongsian mereka berjaya memberikan pencerahan kepada doktor-doktor muda untuk mengembangkan kerjaya demi kepentingan Islam.

Pada sebelah malam, berlangsung acara kemuncak Seminar MOHO KKH 2011 iaitu Amanat Pengerusi KKH yang baru, Dr Wan Muhaizan Wan Mustapha, diikuti forum perkongsian pengalaman dibarisi oleh Dr Siti Mariam Sheikh Ahmad, Ir. Dr. Solehudin Shuib dan Dr Ahmad Zabidin Zakaria. Sesi forum dimulai dengan tayangan klip video selama 15 minit dan diikuti sesi soal jawab yang menarik.

Menurut Ketua Koordinator seminar Dr Diyana Abdullah, penganjuran Seminar MOHO KKH 2011 ini berjaya menyedarkan peserta bahawa seimbang itu bukan pada angka-angka tetapi jelas dan faham bahawa setiap perbuatan yang dilakukan mestilah tidak tersasar dari matlamat syurga dan redha Allah. Menurut beliau, seminar yang sama akan diulangi kemudian untuk graduan luar negara pula yang akan pulang lewat tahun ini.