fbpx

Modul Intervensi Anak Yatim Lahir Modal Insan Seimbang

Modul Intervensi Anak Yatim Lahir Modal Insan Seimbang

Modul Intervensi Anak Yatim Lahir Modal Insan Seimbang

BANDAR BARU BANGI, 26 Ogos 2015 — HALUAN dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU, Jabatan Perdana Menteri) julung-julung kalinya telah mengadakan Program Intervensi Anak Yatim pada 22 hingga 23 Ogos 2015 yang lalu bertempat di Ibu Pejabat HALUAN, Bandar Baru Bangi. Program ini mendapat sambutan yang baik dengan penyertaan seramai 30 putera dan 19 puteri anak yatim yang berumur 13 hingga 15 tahun.

Modul motivasi merupakan siri modul yang pertama daripada enam modul yang akan dilaksanakan sehingga penghujung Disember ini menjadi titik mula kepada perlaksanaan program Intervensi Anak Yatim ini. Objektifnya adalah ingin melahirkan modal insan yang seimbang dari aspek jasmani, aqli dan spiritual di samping memberi kesedaran betapa pentingnya ilmu serta kemahiran. Selain itu juga, intipati modul ini diharapkan dapat memupuk semangat berdaya saing dalam kalangan remaja meskipun dalam keadaan serba kekurangan.

Di awal-awal program lagi, peserta sudah mula kelihatan gembira dan bersemangat menjalani slot ice breaking dan pembahagian kumpulan. Seterusnya peserta diberikan taklimat program dan mengisi borang maklumat diri. Slot pengisian pertama yang dibentangkan oleh En Mohd Razali Maarof bertajuk Mengenal Potensi diri telah membuka minda peserta bahawa semua orang mempunyai potensi diri yang perlu digilap.

Seterusnya, pada hari berikutnya aktiviti dimulakan dengan latihan dalam kumpulan (LDK) sesi satu. Peserta telah membincangkan semula intipati penting di dalam slot Mengenal Potensi Diri dan merumuskannya. Kemudiannya, para peserta disajikan pula pengisian jiwa bertajuk “Karakter Nobel” oleh Saudara Afdholul Rahman Che Ani, kolumnis Langitlahi.com dan seorang penulis buku. Beliau menceritakan tentang 10 Muwasafat Tarbiyah dengan penerangan yang jelas dan mudah difahami oleh setiap para peserta.

Aktiviti diteruskan dengan sesi perbincangan LDK yang menjuruskan kepada peranan dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan oleh para peserta di dalam kehidupan seharian mereka. Sesi sebegini bertujuan untuk menggalakan lontaran idea serta pandangan para peserta di samping menonjolkan keberanian peserta sebagai salah kaedah pendidikan.

Majlis Penutup Intervensi Anak Yatim Siri Satu disampaikan oleh Encik Mohd Razali Maarof dengan harapan tinggi agar para peserta berpegang teguh terhadap segala ilmu yang mereka peroleh sepanjang program dan besar juga hasrat agar berjumpa mereka lagi pada modul ke dua yang bakal diadakan pada bulan September ini.

Ketua Biro HALUANITA, Puan Alfiah Samingan juga dijemput untuk memberi ucapan sempena acara penutup. Beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama peserta sepanjang program. Para peserta menyanyikan lagu tema program dan ‘Salam Semut’ dengan fasilitator menandakan berakhirnya program.

AJK Media sempat menemuramah wakil HALUANITA juga salah seorang AJK program, Puan Mahmudah Samingan. Beliau berpendapat bahawa program ini penting sebagai pencetus semangat kepada peserta untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Selain itu, menurut beliau, program ini dapat memotivasikan diri mereka dan mengubah pandangan peserta daripada memikirkan nasib malang yang menimpa kepada seseorang yang menjadi harapan agama dan negara.

Salah seorang fasilitator, Wan Nusrah Wan Mansor, 20, pula berpendapat program ini dapat menggilap potensi para peserta ke arah kecemerlangan bukan sahaja dunia malah akhirat. Malah beliau mengagumi semangat luar biasa yang ditunjukkan para peserta.

Bagi peserta pula, program ini menyeronokkan. Menurut Sharifah Mohd Ashraf, 13 dari Klang, “Kakak-kakak dan abang-abang fasi sangat awesome. Saya akan datang lagi ini untuk modul ke 2.”

“Saya mengharapkan program ini dapat diteruskan dan melibatkan lebih ramai anak yatim menyertai program ini. Semoga berjumpa lagi,” ujarnya lagi.


Laporan oleh Ummu Hani Mohd Nasaruddin & Fatimah Badri