fbpx

Miskin iman dan taqwa perlu dibimbangi

Miskin iman dan taqwa perlu dibimbangi

Miskin iman dan taqwa perlu dibimbangi

Kota Kinabalu, Sabah Dis 16 –  Usahawan yang sebenar adalah seseorang yang memecah keringat mencari rezeki dan kekayaan demi meraih sebanyak pahala mungkin dalam merintis jalan ke syurga. Sementara kemiskinan sebenar adalah bilamana seseorang itu amat berjaya di dunia tetapi muflis di akhirat.


Menurut Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman, berdasarkan definisi tersebut, semua individu yang secara sedar mengakui dirinya sebagai seorang usahawan Muslim akan terasa bahawa ia terlebih dahulu adalah seorang usahawan dengan Allah SWT kerana Allah telah menawarkan semua yang ia miliki dengan ditukarkan dengan janji syurga. Di dalam ucaptama beliau bertajuk Memantapkan Dana ke Arah Pembangunan Ekonomi Ummah semasa merasmikan Seminar Usahawan dan Profesional HALUAN di sini, beliau berkata setiap usahawan mestilah merasai hakikat ini demi mengikatkan dirinya sentiasa kepada iman dan taqwa sepanjang masa.

“Hakikinya, kita bukanlah hendak mencari duit untuk kaya semata-mata. Itu menjadi proses kepada matlamat yang lebih besar supaya apa yang kita raih akhirnya adalah untuk Islam, menukarkan duit ringgit kepada pahala yang berkekalan. Itulah usahawan yang sebenarnya. Kalau tak, kita akan terhenti di perjalanan tanpa menyusuri marhalah yang lebih panjang di mana keredhaan Allah itulah yang sedang kita cari dan hajati sebenarnya,” kata Dr Abdullah Sudin lagi.

Oleh itu, kemiskinan yang harus ditakuti oleh setiap usahawan Muslim adalah miskin iman dan taqwa yang sepatutnya mendorong mereka ke jalan keredhaan Allah yang hakiki. Usahawan itu harus pintar agar tidak tertipu dan tidak menipu dirinya sendiri, selain menjaga perniagaannya agar berada di landasan yang syarak.

Dr Abdullah Sudin telah mengajak peserta seminar mengimbau realiti ekonomi dunia. Katanya ¼ daripada penduduk dunia adalah umat Islam. Namun umat Islam meminjam sebanyak US$600 bil dengan sistem kewangan dunia walaupun ada US$1 trillion simpanan umat Islam dengan sistem kewangan di barat. Yang lebih menyedihkan, tiada satupun negara Islam yang dikategorikan sebagai negara maju.

“Allah memberi umat Islam rezeki melimpah ruah tetapi kita dipimpin dan dimanipulasikan oleh ideologi barat yang tidak akan mahu lihat Islam itu bangun dan memimpin. Inilah dia bila dikatakan kita miskin iman dan taqwa kerana tidak yakin kepada sistem Islam,” tambah beliau.

Dalam konteks Malaysia dengan aliran kekayaan aset sekitar RM127.3 bil milik sedozen orang terkaya negara, orang-orang Melayu Islam hanya menguasai 4.7% sahaja berbanding masyarakat Cina 74.1% dan India 21.2%. Dr Abdullah Sudin mengajak para usahawan Muslim agar berusaha gigih untuk melipatgandakan perniagaan mereka untuk lebih berdaya saing sambil tidak melupakan tanggungjawab mereka kepada Islam.

Menurut pengarah seminar Tn Haji Rosli Adam, kekuatan ekonomi itu sangat penting bagi Islam dan ianya suatu sunatullah sepertimana yang telah ditunjuki oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda. Seminar tiga hari itu dihadiri sekitar 100 orang usahawan dan profesional HALUAN daripada seluruh negara.