fbpx

Misi Food Flotilla For Myanmar Dilancar

Misi Food Flotilla For Myanmar Dilancar

Misi Food Flotilla For Myanmar Dilancar

foodflotilla-berlepas-1PORT KLANG, 3 Feb 2017 — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Kapal Flotilla Food For Myanmar, yang belayar dengan membawa muatan kira-kira 2,300 tan bantuan makanan dan ubat-ubatan di Terminal Boustead Cruise Centre di sini.

Bahan bekalan yang disasarkan untuk mangsa perang saudara keturunan Rohingya di negeri Rakhine itu telah dimuatkan ke dalam kapal Nautical Aliya menuju ke Myanmar. Usaha ini adalah inisiatif bersama di antara Kelab Putera 1Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan NGO-NGO dari 13 buah negara yang mengambil bahagian.

Pelayaran selama 20 hari ini membawa kira-kira 230 sukarelawan termasuk 20 doktor dan 10 pasukan perubatan untuk memberi bantuan kepada pelarian Rohingya.

Dalam ucapannya, Najib berkata Malaysia tidak boleh berdiam diri sahaja daripada membantu Rohingya yang dalam kesusahan.

“Masalah mereka, kesusahan mereka dan penderitaan mereka tidak akan dibiarkan oleh kita,” kata Najib.

Turut hadir bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Sementara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, “Kami akan belayar menerusi Langkawi, Thailand dan ke Laut Andaman dan menuju ke Pelabuhan Yangon.”

HALUAN telah diwakili oleh dua sukarelawan iaitu Encik Abd Bashir Abd Ghani dan Dr Ahmad Fardhi Sulaiman.

Menurut Ketua Biro Misi Kemanusian HALUAN, Dr Baharudin Suri, “Misi bertujuan menyampaikan mesej kepada Myanmar untuk menghentikan penindasan ke atas etnik Rohingya dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada kelompok terjejas di wilayah Rakhine.”

Anda masih lagi boleh menyumbangan. Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun di bawah:-

Nama Akaun: Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN
Akaun No.: 5622 6350 2611
Bank: Maybank

Sila email slip/resit sumbangan dengan tajuk [Rohingya] ke unit.kewangan@haluan.org.my


Laporan Fatin Athirah Abdul Sani, Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan