fbpx

Meski Sedih, Majlis Penutup i-JDK Zon 1 Tetap Ceria

Meski Sedih, Majlis Penutup i-JDK Zon 1 Tetap Ceria

Meski Sedih, Majlis Penutup i-JDK Zon 1 Tetap Ceria

SINTOK, KEDAH, 23 Dis 2018 – Kursus Jati Diri & Kesukarelawanan Remaja (i-JDK) 2018 akhirnya melabuhkan tirai setelah sembilan hari berlangsung di enam lokasi seluruh negara. Majlis Penutup i-JDK 2018 Zon 1 yang diadakan di Kem PLKN Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini telah bermula jam 11.00 pagi dengan nanyian lagu Negara Ku, March HALUAN, lagu tema dan disempurnakan dengan bacaan Al-Quran oleh Ashraf Hakimi Faisal.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan wakil peserta lelaki, Alif Helmi Munir dari Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI). Alif Helmi berharap program i-JDK ini diteruskan setiap tahun dan lebih ramai yang akan hadir. Dalam ucapan penuh semangatnya juga, Alif Helmi menyeru teman-temannya, “Wahai pemuda-pemudi – berdiri dan sedarlah bahawa anda adalah harapan Islam!” Tidak kurang juga semangatnya wakil peserta perempuan iaitu Nurul Asyiqin Amran dari SMK Dato’ Sheikh Ahmad. Kegembiraan dan detik-detik indah bersama fasilitator dan kawan-kawan tidak akan pernah dilupakan dan akan sentiasa dikenangi, katanya lagi. Semoga lebih ramai pejuang panji Islam dapat dilahirkan dengan menyertai program i-JDK ini, katanya mengakhiri ucapan.

Maahad Tahfiz Sains Darul Muttaqin (MASDAR) telah menjadi tuan rumah bagi i-JDK kali ini. Encik Mohd. Diah Hamdan sebagai pengarah kursus berkata dalam ucapan akhir beliau, matlamat kursus ini adalah untuk melahirkan kualiti insan yang mempunyai daya tahan dan semua modul telah dirangka oleh ahli profesional dan asatizah daripada HALUAN. Beliau juga berharap para peserta i-JDK boleh menjadi insan yang ikhlas membantu masyarakat.

Majlis penutup ini telah dirasmikan oleh Ketua Eksekutif Pejabat Zakat Daerah Kubang Pasu, Encik Sofiyuddin Ismail. Beliau menyampaikan ucapan penutup dengan penuh nasihat kepada para peserta i-JDK. Encik Sofiyuddin telah memberi penekanan terhadap kepentingan menjadi orang yang bermanfaat kepada masyarakat. Menjadi individu yang bermanfaat boleh dilakukan dengan pelbagai cara iaitu pertama, berkongsi ilmu, kedua, menyumbangkan harta dan akhirnya menyumbangkan tenaga, ucap beliau lagi sambil memetik hadis Rasulullah SAW.

Majlis Penutup i-JDK Zon 1 akhirnya disempurnakan dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada setiap peserta, barisan fasilitator dan urusetia. Beberapa anugerah turut diberikan kepada peserta yang telah menunjukkan akhlak yang baik dan nilai sosial yang terpuji. Anugerah Peserta Terbaik Lelaki telah dibawa pulang oleh Abu Bakar Mohd Zaini dari MRSM Taiping dan Nurul Asyikin Amran bagi peserta perempuan. Manakala, Mohamad Hazim Mohammad Fadzli dan Nurul Aina Azlan telah membawa pulang Anugerah Peserta Harapan. Cik Nur Hanim Johari telah diberi Anugerah Fasilitator Terbaik dan ia merupakan satu kejutan terakhir majlis penutup i-JDK Zon 1 pada tengahari itu.

Majlis yang dikendalikan sepenuhnya oleh para peserta ini diakhiri dengan tayangan video montaj kursus dan mereka bersalam-salaman sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing. Kami turut berharap dan akan sentiasa berdoa agar para peserta pulang dengan semangat yang tidak pernah pudar untuk sama-sama membantu masyarakat mencari kebenaran dan keberkatan Allah SWT.


Laporan Urusetia i-JDK Zon 1