fbpx

Merumahkan Mangsa Banjir Kelantan

Merumahkan Mangsa Banjir Kelantan

Merumahkan Mangsa Banjir Kelantan

KUALA KRAI, 15 Februari 2015 — Sejarah bencana alam yang ditakdirkan Allah SWT pada hujung tahun 2014 lalu benar-benar meruntun perasaan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Banjir besar berkenaan memusnahkan sebahagian besar kawasan rendah di Kelantan dengan merosakkan serta menghanyutkan ribuan buah rumah penduduk serta punca rezeki di situ.

Tidak kurang pelbagai agensi dan badan NGO yang berusaha turun padang untuk menyelami kesukaran, meringankan beban dan menghulurkan bantuan, termasuklah pihak HALUAN. Selain berusaha membantu membaik pulih sepenuhnya sebuah surau serta kebanyakan rumah-rumah mangsa banjir, pihak HALUAN telah membina sebanyak sepuluh buah rumah baru sementara di beberapa kawasan di Kuala Krai.

Antara beberapa kawasan yang berjaya dibina adalah di Kampung Aur Duri sebanyak tiga buah rumah, di Kampung Pasir Kelang sebanyak empat buah rumah dan sebuah setiap satu di Kampung Kenor Kampung Ghucil dan Kampung Tok Bok. Pemilihan pembinaan rumah sementara untuk mangsa banjir ini adalah mengikut kelayakan Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai. Selain itu mangsa banjir yang merupakan ibu tunggal dan keluarga miskin yang mempunyai tanggungan ramai diberikan keutamaan untuk mendapat bantuan rumah sementara ini.

Struktur Asas Rumah Sementara

  1. Tapak konkrit
  2. Kerangka besi
  3. Atap zink dari jenis dek logam
  4. Dinding daripada papan lapis dan papan simen
  5. Saiz: 16 kaki x 24 kaki
  6. DUA bilik dan SATU ruang tamu
  7. Kos RM13, 000 per unit rumah

Apakah kelebihan rumah sementara yang dibina HALUAN ini? Ia mempunyai kelebihan tersendiri iaitu ketahanannya di jangkakan sehingga dua tahun dan boleh di naik taraf ke rumah separuh kekal serta saiznya juga boleh dibesarkan. Selain itu, sistem pengudaraan rumah sementara ini juga bagus dan tidak panas.

Sokongan Banyak Pihak Dalam Menjayakan Misi Pasca Banjir

Alhamdulillah, berkat sokongan daripada banyak pihak, Misi Bantuan Pasca Banjir Kelantan 2014/2015 oleh HALUAN ini dapat dijayakan. Jutaan terima kasih diucapkan kepada Ketua Jajahan Kuala Krai, YM Tengku Azmi Tengku Jaafar, para penghulu di setiap kampung yang terlibat, penghulu tanpa mukim, para imam masjid, Angkatan Tentera Malaysia, seluruh penduduk Kuala Krai yang turut membantu, para penyumbang tenaga dan wang ringgit daripada dalam dan luar negara, para relawan HALUAN dari seluruh negara yang turun memerah keringat, kontraktor iaitu Encik Kamal Sharin, keluarga Encik Nik Zainal Rashid (Ahli HALUAN Kuala Krai), Cikgu Rahimah Harun yang berkhidmat di Pusat Pengagihan Bantuan Banjir, serta ahli-ahli HALUAN amnya dari seluruh negara yang menyumbang sama ada berbentuk tenaga, buah fikiran dan kewangan.

Majlis Tautan Ukhuwah dan Penyerahan Kunci

Perasmian Majlis Tautan Ukhuwah dan Penyerahan Kunci telah dirasmikan oleh YM Tengku Azmi Tengku Jaafar) pada 14 Februari 2015 yang lalu turut dihadiri oleh YDP HALUAN Kelantan dan Terengganu iaitu Ustaz Mohd Nor Awang Kechik dan Encik Ishak Yusof, para VIP, para ahli HALUAN dan orang kampung. Program yang di bawah Pengurus Projek, Encik Mohd Jamil Muda yang merupakan orang utama yang menjayakan projek ini, mendapat sambutan yang baik daripada orang kampung dan semua pihak, serta mampu merapatkan lagi persaudaraan sesama Islam, sesuai dengan motto HALUAN, Berakhlak, Mendidik dan Berbakti.

Ustaz Mohd Nor dalam ucapannya berkata, “Hari ini kita ditautkan atas dasar sebagai hamba Allah SWT. Tiada yang lebih, kurang atau hina. Islam menggalakkan kita untuk saling bermuafakat dan tolong-menolong atas dasar kebaikan dan takwa. Si penerima tidak perlu merasa hina dengan menerima dan si pemberi tidak perlu merasa hebat dengan memberi. Dalam keadaan kita saling diuji, marilah kita bermuafakat untuk sama-sama mengagungkan Allah SWT dan jauhilah perbalahan yang mengundang murka Allah SWT.”


Laporan oleh Encik Mohd Jamil Muda, Pengurus Projek Rumah Sementara Pasca Banjir 2014/2015