fbpx

Meriah Penyerahan Sumbangan Gaza Di Kunak

Meriah Penyerahan Sumbangan Gaza Di Kunak

Meriah Penyerahan Sumbangan Gaza Di Kunak

KUNAK, SABAH 5 Jan 2013 – Masyarakat setempat telah memberikan sambutan hangat kepada Majlis Makan Malam Amal “Gaza Kami Bersama Mu” yang telah dianjurkan oleh sukarelawan Kelab Siswa HALUAN cawangan Negeri Sabah dan Kelab Belia KARISMA Kunak di Dewan Masyarakat Sri Kunak, Sabah pada 5 Januari 2013. Majlis tersebut telah dihadiri hampir 350 orang terdiri daripada kakitangan kerajaan, kakitangan swasta, dan masyarakat setempat.

Ia dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri N. 51 Kunak, YB Datuk Nilwan Kabang dan disertai oleh Pemimpin Kemajuan Rakyat daerah Kunak, dan Ketua Polis daerah Kunak.

Majlis ini dianjurkan rentetan daripada program Jualan Amal Palestin “Gaza Kami Bersama Mu” yang telah berlangsung selama tiga minggu berturut-turut sebelum ini. Ia sebagai program kemuncak dalam menyerahkan replika cek kepada Tabung Palestin HALUAN sebanyak RM6,391 yang telah disempurnakan oleh YB Datuk Nilwan dan diterima oleh Ustaz Muhammad Taqiyuddin Abdullah Thaidi, wakil Biro HALUAN Palestin.

Ustaz Taqiyuddin juga menyampaikan ceramah Palestin ketika menghadiri majlis makan malam tersebut. Selain itu, lapan orang usahawan dan AJK Sukarelawan telah menerima sijil penghargaan di atas penglibatan mereka dalam program Jualan Amal Palestin. Majlis diserikan lagi dengan persembahan seperti pentomen Palestin, deklamasi sajak, dan persembahan akustik yang dijayakan oleh belia dan beliawanis Daerah Kunak.

Secara keseluruhannya, majlis makan malam amal ini telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pemimpin serta seluruh masyarakat Daerah Kunak. Program ini bukan sahaja berjaya dilaksanakan dengan baik bahkan telah mampu membuka minda dan memberi kesedaran kepada masyarakat setempat mengenai isu Palestin dan peranan yang boleh mereka mainkan untuk membantu rakyat Palestin yang tertindas di tanahair mereka sendiri.


Laporan oleh Jumat Mat Salleh, Pengerusi Kelab Siswa HALUAN Sabah