fbpx

Menteri Besar Perlis serikan Malam Untukmu Gaza

Menteri Besar Perlis serikan Malam Untukmu Gaza

Menteri Besar Perlis serikan Malam Untukmu Gaza

Arau, 27 Februari 2009 – Sekretariat Haluan Palestin dengan kerjasama Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan Jabatan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Negeri Perlis telah menjayakan program Malam Untukmu Gaza di Dewan Utama Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau Perlis.


Majlis tersebut telah dimeriahkan dengan kehadiran hampir 4 ribu orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat di negeri Perlis, meliputi jemputan khas yang terdiri daripada barisan Exco Kerajaan Negeri Perlis yang diketuai oleh YAB Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Dr Md Isa bin Sabu, Ahli Dewan Negara, Pengarah-Pengarah dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Perlis, termasuklah Pengetua-Pengetua, Pegawai-Pegawai Masjid serta Imam-Imam seluruh negeri dan barisan JKKK kampung-kampung di negeri Perlis.

Majlis yang bermula pada pukul 9.00 malam telah dimulakan dengan persembahan drama oleh pelajar-pelajar Politeknik yang memaparkan kezaliman regim Zionis, diikuti oleh persembahan nasyid daripada Jabatan Kesenian dan Warisan Negeri Perlis. Majlis juga dimeriahkan dengan penyampaian sajak oleh kakitangan Politeknik dan diikuti oleh ucapan aluan daripada Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Tuan Haji Md Noor bin Baharum.

Majlis seterusnya diserikan dengan ucapan oleh YAB Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Dr Md Isa bin Sabu, yang nyata terharu dengan keprihatinan rakyat Perlis terhadap isu Palestin, malah menggesa supaya memboikot barangan keluaran Yahudi. Acara kemuncak pada malam tersebut ialah sesi penyampaian dan penerangan isu-isu Palestin oleh Pengerusi Sekretariat Haluan Palestin, iaitu Tuan Haji Norazman Samsuddin. 
 
Ribuan yang hadir pada malam tersebut nyata memberikan tumpuan sepenuhnya pada sesi penyampaian tersebut yang diselang-selikan dengan tayangan multimedia mengenai keganasan oleh rejim Zionis yang bukan sahaja meliputi peristiwa serangan di Gaza, malah meliputi permasalahan utama yang menimpa bumi Palestin.

YAB Menteri Besar Perlis seterusnya menyampaikan replika cek sumbangan terkumpul iaitu sebanyak RM 7,250.25 kepada Pengerusi Sekretariat Haluan Palestin.

Sekretariat Haluan Palestin juga turut mengadakan pameran Palestin dan kaunter khas HALUAN yang nyata mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung yang hadir pada malam tersebut.