fbpx

Menteri Berjumpa NGO Rakan NADMA

Menteri Berjumpa NGO Rakan NADMA

Menteri Berjumpa NGO Rakan NADMA

PUCHONG, 16 Dis 2022 – Satu sesi perjumpaan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Amrizan Mohd Ali dengan Rakan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) telah berlangsung , di Markas Pasukan SMART, Puchong, Selangor pagi semalam.

Majlis yang disertai 72 rakan-rakan daripada 36 kumpulan NGO itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, dan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Kesiapsiagaan Bencana (Dasar), Encik Jamil Derus Ahmad. Dr Baharudin Suri, selaku Naib Presiden 4 Kluster Kebajikan Dan Kemanusiaan turut hadir mewakili HALUAN dalam perjumpaan tersebut.

Menteri dalam ucapannya telah menzahirkan penghargaan kepada setiap ahli keluarga Rakan NADMA atas kerjasama yang telah diberikan sejak penubuhannya pada tahun 2017. Kata beliau, Rakan NADMA telah terbukti menjadi satu platform penting dalam mengembleng usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana bukan sahaja semasa banjir malah bencana-bencana lain seperti ketika negara berhadapan pandemik COVID-19.

Kerjasama yang terbentuk ini terbukti berkesan ketika negara dilanda bencana banjir pada MTL 2021/2022 yang lalu di mana seramai 26,989 orang sukarelawan telah dikerah di seluruh negara. Mereka telah secara aktif membantu mangsa banjir dalam beberapa aspek seperti penyaluran bantuan makanan dan keperluan asas, pembersihan pasca bencana, perkhidmatan bantuan kesihatan dan perubatan, bantuan logistik dan pengangkutan serta perkhidmatan komunikasi alternatif.

Tambah beliau lagi, di pihak kerajaan, perjumpaan seperti yang diadakan itu membuka ruang untuk penambahbaikan hubungan kerjasama kerajaan dan badan-badan sukarela serta dapat memperkemaskan kaedah penyampaian perkhidmatan a agar lebih baik demi membantu meringankan beban serta menjaga kebajikan mangsa yang terjejas akibat bencana.

“Impak bencana yang besar memerlukan kerjasama semua pihak. Pendekatan ‘complement one another’ merupakan pendekatan yang diguna pakai bagi kerjasama kerajaan dan NGO dalam pengurusan bencana di negara kita ini,” tegas beliau.

Rakan NADMA diwujudkan sejak 2017 sebagai satu platform kerjasama antara NADMA dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam pengurusan bencana, malahan menjadi katalis perhubungan untuk pelbagai NGO bekerjasama antara satu sama lain bawah payung NADMA.

NADMA bersama-sama dengan agensi kerajaan lain telah merancang persediaan rapi bagi memastikan semua jentera kerajaan dapat diselaras dan digerakkan bagi membantu mangsa yang terjejas semasa banjir. Namun begitu, tindak balas agensi kerajaan semata-mata tidak akan lengkap tanpa bantuan serta kerjasama erat di antara agensi kerajaan dan badan-badan sukarela serta pihak swasta.

Budaya kesiapsiagaan di kalangan rakyat perlu melibatkan kerjasama bersepadu semua agensi kerajaan bermula daripada peringkat pusat, negeri dan daerah serta pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuklah orang perseorangan.

HALUAN sebagai sebuah NGO yang memfokuskan gerak kerja Kebajikan, Kemanusiaan dan Pendidikan sentiasa berkordinasi dengan NADMA, agensi kerajaan dan Kerajaan Tempatan dalam melaksanakan aktiviti bantuan bencana khasnya dalam negara sejak menganggotai NADMA pada tahun 2017.

Di akhir sesi pertemuan tersebut, Dr Baharudin semasa memberikan kad nama serta mengucapkan tahniah kepada YB Menteri yang baharu dilantik, sempat menyatakan bahawa HALUAN sejak 2003 bergiat aktif dalam menyantuni masyarakat Bajau Laut dan Orang Tiada Dokumen di Sabah khususnya daripada aspek pendidikan dan sosioekonomi. Beliau turut memaklumkan bahawa HALUAN terlibat aktif dalam misi-misi kemanusiaan dan bencana dalam dan luar negara sejak sekian lama.


Laporan Fatin Athirah Abdul Sani, Setiausaha Kerja Kemanusiaan & Kebajikan