fbpx

Memperkasakan Identiti, Membangunkan Ummah

Memperkasakan Identiti, Membangunkan Ummah

Memperkasakan Identiti, Membangunkan Ummah

UCAPAN DASAR PRESIDEN DI DALAM MESYUARAT TAHUNAN PERWAKILAN KE 22

Terima kasih Saudara Pengerusi Majlis,
Barisan Kepimpinan HALUAN Pusat dan Negeri,
Dif-dif Kehormat dan Para Tetamu Jemputan,
Ahli-ahli HALUAN sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

  1. Para perwakilan, pemerhati dan hadirin yang dihormati sekalian, Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan, supaya kamu menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu…” (Surah al-Baqarah: Ayat 143)
  2. Terlebih dahulu saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN kali ke-22 ini. Mudah-mudahan dengan kehadiran tuan/puan bertambah lagi nikmat dikurniakan Allah SWT.
  3. Tidak lupa juga, saya merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada kepimpinan HALUAN Pusat dan juga HALUAN Negeri-negeri yang telah memberikan kerjasama bagi menjayakan Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN kali ini.
  4. Kepada HALUAN Pulau Pinang yang menjadi tuan rumah pada kali ini, saya merakamkan tahniah dan jutaan terima kasih atas usaha-usaha yang dibuat bagi menjayakan Mesyuarat Tahunan Perwakilan pada tahun ini.
  5. Kepada para tetamu jemputan, kehadiran saudara/i telah menambahkan lagi seri majlis ini dan semoga pertemuan kali ini sudah pasti mengeratkan lagi hubungan sesama kita pada hari ini dan seterusnya pada masa-masa yang akan datang. Terima kasih saya ucapkan.

MUKADDIMAH
Tuan-tuan dan Puan-puan Sidang Hadirin Sekalian,

  1. HALUAN kini sudah menjangkau usia 22 tahun. Satu tempoh yang panjang dan telah mencapai kematangannya. Kewujudan HALUAN dipersada masyarakat di Malaysia khususnya dan dunia amnya, tidak lain daripada bertujuan melaksanakan tuntutan amar makruf dan nahi mungkar. Firman Allah SWT yang bermaksud: “dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran : 104)
  2. HALUAN laksana sebatang pokok yang akarnya bertunjang ke bumi. Alhamdulillah berdirinya dengan teguh. Manakala dahan-dahan dan dedaunnya subur menjulang ke langit. Dedaunnya menjadi tempat berteduh para musafir, dedahannya menjadi tempat burung-burung menghinggap. Kewujudannya laksana pengimbang antara langit dan bumi. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, Yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa Dengan izin Tuhannya. dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).”(Surah Ibrahim : 24 – 25)
  3. Sejak penubuhan HALUAN, kita telah melalui pelbagai fasa. Antaranya fasa pembinaan organisasi dan ahli, diikuti dengan fasa pengukuhan dalaman dan seterusnya fasa menerokai khidmat kemasyarakatan. Banyak yang telah kita pelajari sepanjang perjalanan yang panjang ini. Suatu yang sangat berharga dan tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Pengalaman yang dilalui ini menjadi aset utama dan penting serta menjadi titik tolak untuk kita terus memandang ke hadapan dengan penuh keyakinan.

PENTERJEMAHAN HALUAN
Tuan-tuan dan Puan-puan Sidang Hadirin Sekalian,

  1. Moto HALUAN dahulunya ”Mendidik dan Berbakti” dan kini adalah ”Berakhlak, Mendidik dan Berbakti.” Perubahan ini selaras dengan gerakerja kita mendidik dan berbakti berlandaskan kemurnian akhlak dan bukan kepada asas-asas yang lain. Akhlak yang mulia merupakan teras kepada kejayaan kerja. Contoh akhlak yang terbaik dan terunggul adalah akhlak Rasulullah SAW yakni akhlak al-Quran. Kita percaya bahawa beramal dengan akhlak ini memampukan kita untuk menghadapi pelbagai cabaran dan halangan dalaman mahupun luaran semasa melaksanakan kerja-kerja mendidik dan berbakti kepada masyarakat.
  2. Kita juga meyakini bahawa khidmat bakti berasaskan amal soleh pasti menjuruskan kita kepada hubungan langsung dengan Pencipta kita, Allah SWT. Kita juga percaya bahawa semua orang berhak mendapat khidmat bakti ini tanpa mengira batasan kaum maupun geografi.

KONSEP DAN PRINSIP PERJUANGAN
Tuan-tuan dan Puan-puan Sidang Hadirin Sekalian,

  1. ”Kota Rom tidak dibina dalam satu hari.” Rasulullah SAW menyempurnakan risalahnya sehingga terbentuk sebuah negara mengambil masa lebih 20 tahun. Kita percaya bahawa untuk berubah ia tidak mungkin berlaku dalam sekelip mata. Ia perlukan kepada satu proses yang panjang dan pengorbanan yang tinggi.
  2. Perubahan yang kita hajatkan adalah perubahan yang menyeluruh, meliputi seluruh aspek dalam kehidupan di alam nyata ini. HALUAN percaya bahawa proses tarbiyah (pendidikan) dan Dakwah (khidmat bakti) adalah perkara utama untuk menuju kepada perubahan yang dicita-citakan. Tanpa keduanya perubahan yang berlaku akan hanya bertahan untuk suatu jangka masa yang singkat, rapuh dan tidak akan mampu bertahan apatalah lagi mengharungi pancaroba dunia serba canggih ini.
  3. Kita mengatakan bahawa kita ’peneraju perubahan’. Kita yakin dengan kemampuan yang kita miliki. Kita yakin dengan jalan ini yang bersumberkan panduan Rabbani dalam rangka meraih keredhaan Ilahi. Dalam masa yang sama kita mengharapkan pertolongan dan hidayah Allah SWTSWT. agar terus dilimpahi kekuatan rohani, aqli, emosi dan fizikal untuk terus menabur bakti. Sesungguhnya kerja-kerja ini adalah kerja-kerja yang sangat mulia. Sabda Rasulullah SAW “Barangsiapa yang bergembira atas kebaikannya dan bersedih atas keburukannya maka dia adalah seorang Mukmin” (Riwayat At-Thabrani dari Abu Musa r.a)

HURAIAN TEMA
Tuan-tuan / Puan-puan sidang hadirin sekalian,

  1. Kita memilih tema ”Memperkasakan Identiti, Membangunkan Ummah” sesuai dengan peredaran masa, gerak kerja dan usia kita. Sebuah organisasi umpama satu bangunan yang teguh berdiri dari susunan batu bata yang kukuh lagi kualiti. Kita berkeyakinan bahawa dengan ’memperkasakan identiti’ bagi setiap ahli akan kesan langsung dalam memperkasakan organisasi itu sendiri. Kita mahukan ahli-ahli yang memiliki dan menghayati sifat-sifat yang mencakupi pembangunan sahsiah mukmin bermula dengan pembaikan diri sehinggalah memiliki aqidah yang sejahtera, ibadah yang soheh, tubuh badan yang sihat dan kuat, akhlak yang ampuh, pemikiran berilmu, mampu berdikari, mujahadah melawan nafsu, menjaga masa, tersusun segala urusan dan bermanfaat kepada orang lain.
  2. Susunan batu bata akan memperlihatkan reka bentuk sesebuah bangunan, teguh dan kukuh atau sebaliknya. Oleh itu, ”Membangunkan Ummah” yang kita maksudkan adalah membangunkan masyarakat dengan mengambil model/rekabentuk unggul, model ummah yang telah dibentuk oleh Rasulullah SAW. Ummah yang disifatkan oleh as-Syahid Sayyid Qutb sebagai ’Generasi al Quran yang unik’.
  3. Ummah yang dicita-citakan adalah ummah yang mendapat keberkatan, sanjungan pertolongan serta rahmat dari Yang Maha Berkuasa. Firman Allah SWT yang bermaksud: “dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah al A’raf : 96)

PERKEMBANGAN SEMASA
Tuan-tuan dan puan-puan sidang hadirin sekalian,

  1. Mengimbas kembali gerak kerja HALUAN pada tahun 2010, banyak program telah dilaksanakan samada secara bersendirian maupun dengan kerjasama agensi-agensi tertentu. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana sepanjang tahun 2010 kita telah melaksanakan pelbagai program dalam dan luar negara antaranya:

Simposium Pembangunan Ummah – Kerjasama dengan JAKIM
Kursus Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja – Kerjasama dengan JAKIM
Misi Kemanusiaan Banjir di Kedah/Perlis
Program Kesihatan Sekolah – Kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pemeriksaan Kesihatan – Kerjasama Majlis Agama Islam Selangor.
Lawatan/MOU dengan USIA Sabah.
Lawatan/MOU dengan HIKMAH Sarawak
Program Remaja – Kem Minda Kreatif, KASEH, Kem Pesona
Lifeline For Gaza/Perhimpunan Perdana Palestin
Konvoi Kemanusiaan Gaza Kapal Mavi Marmara
Misi Kemanusiaan Merapi Indonesia (Letusan Gunung Berapi)
Ibadah Korban di Vietnam, Kemboja dan Bangladesh
Ziarah Dakwah ke Kemboja

  1. Penyertaan HALUAN melalui Biro HALUAN Palestin bersama dengan Kapal Mavi Marmara dalam Konvoi Kemanusiaan Gaza pada Mei 2010 telah menarik perhatian yang luas peringkat nasional maupun internasional. Penyertaan ini membuktikan bahawa HALUAN telah mula mengorak langkah untuk kerja-kerja khidmat kemasyarakatan dengan begitu serius.
  2. Kita mengharapkan lebih banyak lagi aktiviti-aktiviti dapat dilaksanakan di tahun-tahun akan datang serta memberi impak yang tinggi kepada masyarakat umum.

[..akan bersambung dalam bahagian ke-2]