fbpx

Memperkasakan HALUAN, Menerajui Masyarakat

Memperkasakan HALUAN, Menerajui Masyarakat

Memperkasakan HALUAN, Menerajui Masyarakat

UCAPTAMA OLEH PRESIDEN HALUAN SEMPENA SEMINAR & MESYUARAT PERWAKILAN TAHUNAN (MPT) HALUAN 2007

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamu’alaikum wbth.


Pengerusi Majlis, EXCO HALUAN Pusat, perwakilan, pemerhati dan hadirin sekalian,

Pertama-tamanya marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana di atas keizinan-Nya dan limpah kurnia-Nya maka mesyuarat agong HALUAN kali yang ke 18, 2007 dapat diadakan. Selawat dan salam kita tujukan kepada junjungan besar kita kekasih kita Nabi Muhammad saw, keluarga Baginda, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat. Rasulullah saw yang merupakan rasul da’wah dan tarbiyyah. Peribadi Rasulullah saw adalah peribadi contoh yang terbaik sepanjang zaman

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

Sebelum membicarakan dengan lebih lanjut lagi, saya ingin mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran barisan exco HALUAN sesi 2006-2007, para perwakilan negeri, para pemerhati dan seterusnya ingin mengucapkan jazakumullahu khairan kasira serta merakamkan jutaan terima kasih di atas komitmen dan pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh ahli-ahli HALUAN. Semoga pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang telah dicurahkan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah swt.

Sidang perwakilan yang dikasihi,
Pertambahan penduduk Malaysia dari 23.27 juta pada tahun 2000 kepada 26.13 juta pada tahun 2005 memberi implikasi yang sangat signifikan terhadap peranan HALUAN di dalam masyarakat pada hari ini. Daripada jumlah ini, sebanyak 32.6 peratus berumur dari 0 hingga 14 tahun, 63.1 peratus berumur dari 15 hingga 64 tahun manakala 4.3 peratus adalah penduduk yang berumur 65 tahun dan ke atas. Bilangan penduduk yang bertambah ini harus menjadi fokus kepada ahli-ahli HALUAN supaya aktiviti dan program yang dirancang akan selari dengan keperluan dan kehendak masyarakat, khususnya masyarakat Islam. Pemecahan secara terperinci penduduk Malaysia ditunjukkan dalam carta di bawah (sumber: Perangkaan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat 2005).

Para perwakilan budiman,
Melihat kembali senario perkembangan masyarakat Islam di Malaysia terhadap pelaksanaan sistem hidup berlandaskan Islam, keadaannya semakin hari semakin baik dan menunjukkan trend kesedaran yang meningkat. Sebagai contoh, kesedaran terhadap barangan halal dan perbankan Islam secara mendadak meningkat. Kepekaan halal dan haram sesuatu produk sangat membanggakan sehingga kerajaan semakin sensitif terhadap keperluan menyediakan barangan halal kepada masyarakat Islam. Laman web Jakim umpamanya telah dilawati sebanyak 4,769,081 kali sejak dilancarkan pada 16 Disember 1996 dan mendapat penarafan yang tertinggi bagi agensi kerajaan. Pemantauan di dalam media dan perbualan orang ramai turut memberi tekanan kepada kerajaan untuk menubuhkan Hab Halal Serantau dengan menjadikan Malaysia sebagai focal point bagi merealisasikan hasrat ini.
 
Kesedaran masyarakat Islam terhadap sistem perbankan Islam dimulai dengan penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada awal tahun 1980-an, pengenalan perlindungan Takaful dan terkini, menjadikan Malaysia sebagai pusat perbankan Islam serantau. Kebanyakan bank tempatan menawarkan perbankan Islam sebagai pilihan di samping perkhidmatan konvensional. Standard Chartered Bank dan Hong Kong and Shanghai Bank (HSBC) malah Citibank Berhad turut menawarkan produk perbankan Islam di Malaysia. Keadaan berlumba-lumba bank-bank tempatan dan asing untuk menjadikan perbankan Islam sebagai salah satu instrumen dalam produk perniagaan mereka tidak terjadi begitu sahaja. Sebaliknya ia amat berkaitan dengan kesedaran dan keperluan masyarakat untuk berada dalam sistem kewangan yang bebas daripada unsur riba, penindasan dan ketidakadilan. Aspek-aspek sebeginilah yang seharusnya disedari oleh ahli-ahli HALUAN betapa perubahan sangat pantas dan kita harus peka dengan perubahan ini.

Para perwakilan sekalian,
Masyarakat Islam di Malaysia adalah sebuah masyarakat yang cepat dan mudah berubah khususnya yang menyentuh amalan hidup mereka. Perubahan yang sangat ketara ialah kesedaran wanita Islam terhadap keperluan syariat bagi mengenakan pakaian yang menutup aurat ketika berada di luar kawasan rumah. Jika tahun 1980-an dahulu, mereka hanya mengenakan tudung kepala yang separuh menutup rambut, keadaan sekarang telah berubah. Jika dahulu memakai seluar pendek di sekolah adalah lumrah, kini pelajar-pelajar Islam di sekolah lebih selesa memakai seluar panjang. Dan bagi aktivis-aktivis Islam di dalam masyarakat, imej pakaian kurang terurus dan memakai pakaian “kitar semula” semakin ditinggalkan dan diganti dengan imej pakaian kemas, bersih dan menampilkan ciri-ciri moden. Perubahan-perubahan ini berlaku kerana masyarakat semakin berpendidikan dan mendapat maklumat dengan mudah kerana perkembangan teknologi maklumat yang semakin pesat.

Sejak merdeka pada 31 Ogos 1957, Malaysia telah mengalami pertumbuhan yang sangat pesat dari segi pembangunan. Bandar-bandar besar dan baru telah dibina dan dibuka. Kesan pembangunan di bandar telah melimpah ke kawasan pinggir bandar dan di luar bandar. Kesan pembangunan telah mengubah purata saiz isi rumah dan kadar jenis isi rumah yang berlaku di seluruh negara.

Pembangunan yang pesat juga mengundang pelbagai jenis imigran dari pelbagai negara termasuk Indonesia, India, Pakistan, Nepal, Mynmar, Vietnam dan lain-lain untuk bekerja di Malaysia. Begitu juga dengan sektor pendidikan tinggi negara, ramai pelajar dari negara-negara Asean, China, Iran, Timur Tengah malah Eropah dan Amerika Utara yang menjadikan Malaysia sebagai pilihan untuk mereka melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah, masters dan doktor falsafah. Bilangan pelajar tempatan juga semakin meningkat dan bertambahnya bilangan institusi pengajian tinggi awam tempatan  kepada 20 buah dan kelak akan bertambah lagi apabila kolej universiti kini dinaiktaraf kepada universiti adalah petanda jelas kepada kita bahawa penduduk Malaysia semakin berpendidikan.
 
Dekad 1990-an menyaksikan perubahan ketara dalam fokus pendidikan Malaysia iaitu perubahan dari ekonomi berasaskan pengeluaran kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan  globalisasi. Matlamat dan kaedah pendidikan juga berubah selari dengan perkembangan aliran pendidikan dunia. Konsep sekolah juga turut mengalami perubahan definisi dan peranan yang ketara. Golongan pelajar boleh pergi ke sekolah semasa mereka berada di rumah dengan bantuan alat perhubungan terkini iaitu Internet.

Pun begitu keadaan umat Islam di Malaysia jauh lebih terkebelakang dari bangsa lain.  Walau pun dari segi jumlah komposisi bukan Islam hanya lebih kurang 1/3 penduduk negara, namun kekuatan ekonomi, intelek dan sosial dan lain-lain mereka jauh kehadapan.  Mengapakah keadaan ini terjadi sedangkan Allah menjanjikan kepimpinan alam ini kepada orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Al-Quran menjelaskan:

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman diantara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.  Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada menpersekutukan sesuatu apapun dengan Aku.” (An-Nur 24: 55)

Ini bermakna jika sesiapa benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain kepimpinan bumi ini akan diserahkan kepadanya.  Jika tidak maka kemenangan akan hanya ditentukan oleh kekuatan kebendaan dan fisikal semata-mata.

Sidang perwakilan HALUAN,
Sehingga kini, kita membicarakan mengenai perubahan (change). Kita harus sedar bahawa masa sedang beredar dan kita tidak boleh duduk berpeluk tubuh dan bergerak terlalu perlahan untuk memberi reaksi terhadap perubahan berkenaan. Setiap aspek dalam masyarakat sekarang, jika diteliti, adalah perubahan. Dan perubahan yang sangat ketara ialah pemikiran atau paradigma. Perkataan paradigma berasal dari perkataan Yunani (Greek) paradeigma, asalnya adalah satu istilah sains tetapi telah menjadi satu kebiasaan di mana penggunaannya hari ini membawa maksud persepsi, andaian, teori, rangka tujuan ataupun lensa dari mana kita melihat dunia ini. Ia adalah seperti sebuah peta sesuatu kawasan ataupun sebuah bandar. Sekiranya tidak tepat, segigih manapun ahli-ahli HALUAN berusaha ataupun positif macam mana sekalipun kita berfikir, ia tidak akan membawa sebarang perbezaan – kita masih ketinggalan atau sesat. Sekiranya ianya tepat, ketekunan dan sikap yang betul akan membawa makna.

Kejayaan melakukan anjakan paradigma telah diimplementasi dengan baik oleh Rasululah Saw ketika mendidik para sahabat. Banyak bantahan awal yang diterima oleh baginda Saw telah dapat diatasi dan akhirnya telah dapat meyakinkan para sahabat mengenai ketauhidan, keesaan Allah swt dan perlunya untuk hidup secara Islam.

Kita tidak mahu membentuk sebuah organisasi yang buta kepada kepincangan diri kita sendiri. Menderita bukan disebabkan tidak boleh menyelesaikan masalah sendiri tetapi kerana tidak dapat melihat masalah sendiri. Justeru itu, paradigma yang harus diketahui oleh ahli-ahli HALUAN ialah empat dimensi yang sentiasa menjadi tumpuan: minda, fizikal, hati dan jiwa. Kempat-empat dimensi inilah yang bakal memperkasa HALUAN bagi menerajui masyarakat. Jika kita sendiri tidak meningkatkan kualiti ahli-ahli HALUAN, organisasi kita tidak akan bertahan lama.

Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sebelum kaum itu mengubah apa yang ada pada dirinya sendiri. (Surah Ar-Raa’d 13: 11)

Kualiti Minda

Kualiti minda ialah keupayaan untuk menggunakan akal bagi mendapatkan ilmu. Takrif ilmu pula, seperti yang diketengahkan oleh Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas ialah seperti yang berikut :
“Merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu.”

Takrif Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas ini ringkas, kemas dan menepati tujuannya. Ianya amat lengkap dan membayangkan peranan Allah Swt sebagai sumber sebenar ilmu, serta diri manusia, sebagai makhluk aktif dalam usaha mendapatkan ilmu. Ahli-ahli HALUAN seharusnya berlumba-lumba mengejar ilmu dalam bidang pengkhususan masing-masing dan tidak mengabaikan kemahiran yang diperlukan bagi menjayakan misi mendidik dan berbakti. Kemahiran berunding, komunikasi, kepimpinan, teknik melayan dan mendengar hendaklah dipelajari dan dikuasai sebaik mungkin. Penguasaan terhadap ilmu dan kemahiran dapat membentuk keperibadian ahli-ahli HALUAN yang lebih mantap dan berstamina. Ruang untuk meningkatkan ilmu sentiasa terbuka kepada kita di hampir 30 buah institusi pengajian tinggi awam,  dan puluhan lagi di institusi pengajian tinggi swasta. Keinginan dan hasrat untuk menjadikan ilmu dan pembelajaran sebagai agenda memperkasa jati diri amatlah digalakkan supaya budaya pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) menjadi ukuran kepada peningkatan diri ahli-ahli HALUAN sebagai sebuah badan NGO Islam di Malaysia.

Ilmu pengurusan, perniagaan, psikologi, sains sosial dan keagamaan boleh dipelajari bagi mengukuhkan penguasaan kita terhadap ilmu-ilmu berkenaan bagi menghadapi realiti di dalam masyarakat. Tabiat membaca, memerhati dan menyelidik boleh dijadikan sebagai satu keazaman. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun, konsep pembelajaran sepanjang hayat telah menjadi kelaziman. Di Malaysia, konsep ini masih lagi baru dan ahli-ahli HALUAN mesti bergerak kehadapan dan menjuarai konsep ini. Fokus kita ialah melihat semua anggota HALUAN berilmu dan bijak berperanan di dalam masyarakat serta menjadi contoh untuk belajar dan menyebarkan ilmu. Galakan ini bertepatan dengan surah Al-‘Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud :

“Bacalah (Wahai Muhammad!), Dengan nama Tuhanmu yang menjadikan, Menjadikan insan daripada segumpal darah, Bacalah: Dan Tuhanmu Maha Pemurah, Yang mengajar insan dengan pena, Mengajar insan yang tidak diketahuinya.”  (Al-’Alaq 96: 1-5)

Budaya memerhati dan menyelidik adalah manifestasi keinginan untuk mengambil tahu perkembangan semasa yang berlaku. Kepekaan terhadap sesuatu isu hendaklah ditambah dan diperkukuhkan supaya setiap konflik, polemik dan hala tuju isu berkenaan dapat difahami. Menyelidik dan memerhati memerlukan latihan yang berterusan supaya ahli-ahli HALUAN dapat membentuk peribadi “multitalent.” Secara tidak langsung, saya yakin, ahli-ahli HALUAN akan menjadi rujukan di kalangan masyarakat setempat.

Namun apa pun bidang keilmuan, samada ilmu konvensional atau agama, yang penting ialah ilmu itu mestilah membawa pemiliknya menjadi orang yang kenal dan dekat dan mengabdikan dirinya dengan pencipta dan pemberi ilmu tersebut iaitu Allah.  Itu ialah suatu yang pasti. Sebaliknya jika ilmu membawa pemiliknya jauh daripada Allah maka sudah pasti ilmu itu ialah ilmu yang tidak boleh dianggap sebagai ilmu. Apa lagi jika sekiranya ilmu itu membawa kerosakan dan kesesatan daripada jalan yang benar, sudah pasti ia terkeluar daripada konsep ilmu yang sebenarnya.

Kualiti Fizikal

Kualiti fizikal yang dimaksudkan ialah kesihatan dan keutuhan organisasi sebagai sebuah persatuan yang berteraskan kepada nilai-nilai Islam. Kesihatan diri dan keluarga adalah prasyarat bagi kelangsungan kejayaan yang berkekalan. Pembangunan keluarga dan masyarakat bermula dengan individu yang berkualiti bagi membentuk kehidupan dan kestabilan sosial. Di sinilah kejelekitan keluarga dan komuniti HALUAN menjadi keutamaan. Individu dan keluarga yang berdaya tahan dengan amalan hidup yang sihat dan melaksanakan prinsip-prinsip hidup Islam akan mempastikan kita mampu dan dapat membida hati-hati di dalam masyarakat.  Ini bertepatan dengan saranan Rasulullah Saw yang mengajarkan kita supaya sentiasa berdoa disetiap hari pagi dan petang yang bermaksud:

”Ya Allah, sihatkanlah tubuh badanku, sihatkanlah pendengaranku dan sihatkanlah penglihatanku” (Al-Banna, Hassan, Al-Matsurat)

Disamping itu Allah sentiasa mengesa kita supaya mempersiapkan segala kekuatan yang ada termasuk kekuatan fisikal dan jasmani dalam rangka menjalankan tugas dan tanggungjawab Rabbani dengan firman Allah dalam Al-Quran yang berfmaksud:

”Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya.” (Al-Anfal 8: 60)

Di Malaysia, masyarakat yang pelbagai etnik menjadikan pembangunan masyarakat lebih kompleks. Ahli masyarakat diikat dengan nilai dan tradisi komuniti masing-masing tetapi dijalin bersama dengan nilai-nilai sejagat yang meletakkan penghormatan kepada perbezaan. Di sinilah ahli-ahli HALUAN wajar melihat ruang dan peluang bagi membentuk misi perjuangan mereka kerana cabaran berhadapan dengan masyarakat yang pelbagai memerlukan stamina diri dan hubungan yang kukuh sesama mereka. Proses memantapkan stamina untuk bersama masyarakat tidak dapat lari daripada amalan penjagaan kesihatan supaya kita kuat bekerja, tidak cepat letih dan melihat masa hadapan sebagai harapan untuk berjaya.

Program-progam bersama seperti perbincangan berkumpulan, ceramah, solat jamaah di masjid dan surau-surau dan majlis-majlis tidak rasmi setempat adalah pengukuh ikatan kekeluargaan sesama ahli dan masyarakat di mana kita berada. Membuat keputusan untuk tidak hadir dan mengasingkan diri dalam setiap program yang direncanakan hanya akan merugikan diri dan organisasi. Seharusnya kita menyedari betapa orang lain terutama musuh-musuh Islam, berlumba-lumba untuk melalaikan masyarakat supaya berpaling daripada Allah swt melalui pelbagai cara. Kebersamaan dikalangan ahli akan memberi kekuatan dan menyuntik daya juang (self-resilient) yang sangat diperlukan.

Kekuatan Hati dan Jiwa

Keredhaan Allah swt adalah pokok atau asas kepada kewujudan dan pembentukan organisasi. Biarpun sesebuah organisasi dibentuk bagi jangka masa pendek atau panjang, ia tetap memerlukan latihan sebagai penggerak kepada pencapaian visi dan misi organisasi tersebut.

Organisasi yang bergerak di atas landasan agama dan dakwah akan menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber rujukan muktabar. Selain itu, idea, saranan dan perjuangan ulama-ulama tersohor juga boleh dijadikan panduan bagi mengukuhkan keupayaan anggota organisasi untuk menghadapi cabaran dan ujian bekerja dijalan Allah Swt. Kejayaan gerakan dan usaha dakwah  amat mengharapkan pemuda-pemuda yang aktif dan sanggup berkorban. Nukilan Imam Hassan al Banna tentang pemuda yang aktif ini sangat menarik iaitu :

“Matanya berjaga ketika orang lain tidur nyenyak. Tekun di pejabat dari asar hingga malam. Di penghujung bulan, sumber pendapatan adalah untuk dakwah. Harta adalah khadam kepada dakwah. Ganjarannya adalah di sisi Allah.”

Melaksanakan kerja-kerja dakwah memerlukan kesungguhan dan pengorbanan kerana dakwah adalah sangat berbeza daripada kerja-kerja yang lain. Pengorbanan untuk Allah Swt dengan mengajak orang ramai kepadaNya dan membuat amal bukanlah satu tugas yang mudah seperti duduk bersantai di tepi pantai sambil makan kacang. Malah pergi ke medan masyarakat dan berhadapan dengan pelbagai karenah mereka.

Usaha-usaha menyeru manusia kepada kebaikan adalah sama seperti kerja-kerja lain, memerlukan sumber perbelanjaan bagi mendokong peranan ahli-ahlinya. Dari mana sumber wang ini diperolehi? Tulang belakang dakwah adalah iman, kemudiannya harta benda. Berkorban atas iman tidak akan ada penyesalan tetapi jika pengorbanan dilakukan kerana harta, pangkat dan lain-lain, akan menjadikan matlamat mencari keredhaan Allah Swt tersasar.

Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini, kemantapan iman dan aqidah adalah teras utama. Kejayaan Islam tersebar ke dua pertiga dunia adalah kerana keyakinan pendakwah dan umat Islam dahulu yang Allah Swt akan merahmati dan memberkati usaha-usaha mereka. Watak yang lahir daripada kesedaran ini adalah sangat istimewa kerana gelaran yang diperolehi ialah mukmin. Orang mukmin sangat istimewa. Merekalah yang menjadi tulang belakang dan duta penyampaian Islam yang cukup agong dan tinggi lagi mulia bagi melebarkan ajaran Islam ke seluruh pelusuk alam. Pandangan yang lebih menarik ialah iman dan harta saling melengkapi serta menjadi alat penyampai kepada rahmat Allah Swt.

“Apa-apa yang kau berikan (kepada orang) dengan riba supaya bertambah banyak harta manusia, maka tiadalah bertambah banyak di sisi Allah. Dan apa-apa yang kamu berikan (kepada orang) kerana menghendaki keredhaan Allah, maka itulah yang berlipat ganda.” (Surah Ar-Rum 30: 39)

Kejayaan membentuk pemuda yang sangat iltizam dalam dakwah bertitik tolak daripada latihan yang diterima. Latihan mampu melerai kelemahan dan meningkatkan kekuatan diri. Tanpa latihan yang berkesan, pembinaan sahsiah diri akan terencat dan merosot. Latihan yang mantap pasti bersumberkan Al-Quran dan Sunnah kerana kedua-duanya tidak mempunyai keraguan langsung.

“Kitab itu (Al-Quran) tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan sembahyang dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan orang-orang yang beriman kepada (kitab) yang diturunkan kepada engkau (Ya Muhammad) dan (kitab-kitab) yang diturunkan sebelum engkau, sedang mereka itu yakin akan adanya (hari) akhirat.” (Surah Al- Baqarah 2:  2-4)

Kejayaan dalam mengajak manusia kepada kebaikan adalah jaminan daripada Allah Swt. Pertolongan sentiasa tiba bagi mereka yang mengajak kepada kebaikan, walaupun usaha yang mereka lakukan ditentang. Pertolongan ini pasti membawa kemenangan kepada mereka.  Yakinlah dengan janji Allah dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Barangsiapa mengangkat Allah, rasulNya dan orang-orang beriman menjadi wali, maka sesungguhnya golongan Allah itulah yang menang.” (Surah Al-Maidah 5: 56)

Memperkasa HALUAN

Bagi menggerakkan hala tuju dan misi mendidik dan berbakti, HALUAN mesti mempunyai ahli-ahli yang berkualiti. Peribadi yang berkualiti dapat berada di dalam masyarakat, bersedia merancang program-program pembangunan dan melihat masyarakat sebagai medan utama untuk pembaikan. Fokus kepada pembinaan ahli yang berkualiti adalah usaha yang berterusan, tidak mengira masa dan tempat. Diamnya seorang ahli HALUAN bukan bererti diam tanpa sebab sebaliknya berfikir, menela’ah dan mengkaji. Aktifnya seorang ahli HALUAN dalam program kemasyarakatan bukan bererti mencari publisiti sebaliknya mencari dan mengenal pasti ruang untuk menggerakkan kerja-kerja mendidik dan berbakti. Dan kesungguhan ahli HALUAN untuk bersama dengan masyarakat bukannya mencari nama atau gelaran sebaliknya ialah satu  menifestasi kefahaman sehingga memberi contoh ikutan Islam sebagai cara hidup secara praktik. Uniknya, ahli-ahli HALUAN ialah mereka boleh bekerja bila-bila masa dan di mana-mana sahaja dibawah naungan Allah Swt.

Namun, ia masih belum cukup untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran yang berada di dalam masyarakat kerana dari sehari ke sehari, cabaran tersebut semakin membesar dan merumitkan.

HALUAN menagih peribadi-peribadi Islam yang intizam dan iltizam bekerja untuk dakwah. Membaiki diri adalah usaha yang dirancang secara berterusan bagi meningkatkan kemajuan diri. Kelemahan dan kekurangan diri hendaklah segera diatasi demi memartabatkan dakwah Islamiah. Memperkasa diri bererti meluaskan horizon pemikiran, mempelajari kemahiran-kemahiran sosial, interaksi dengan pelbagai bangsa, agama dan latar belakang. Ia belajar untuk menguruskan masa, hormati orang lain, menyerlahkan potensi diri yang sebenar dan “building upon your dreams” didalam kerangka keredaan Allah Swt.

Para dai’ terdahulu adalah contoh ikutan terbaik tentang pengorbanan, kesunguhan dan daya juang. Dai’ diumpamakan seperti tunas-tunas akar yang sentiasa mencari mata air untuk menggerakkan tumbesaran pokok induk. Tunas-tunas ini akan bergerak dan menjalar tanpa mengenal jemu dan letih, siang dan malam bagi mempastikan induk diperkasakan. Jika tunas-tunas ini berhenti kerana memikirkan penat mencari mata air, tentulah induk akan turut lemah, layu dan akhirnya mati kehausan.

Di atas, pucuk-pucuk muda yang mengintai cahaya juga sangat berperanan. Kesungguhan dan keghairahan pucuk-pucuk ini untuk mencari cahaya matahari adalah lambang jiwa yang ikhlas dan sanggup menempuh rintangan bagi menjana kelangsungan hidup pokok induk. Daun-daun yang matang berperanan membuat makanan melalui proses fotosintesis. Daripada proses ini, pokok induk mampu hidup beratus tahun yang akan datang.

HALUAN juga harus mempunyai tunas-tunas dan pucuk-pucuk yang muda, dinamik dan profesional. Mereka ini mesti dilatih dan diperkasa untuk mencari “mata air” dan “cahaya” supaya HALUAN akan terus subur. Usaha secara terancang, berhikmah dan berorientasikan matlamat mesti dijadikan agenda dalam perancangan program selepas ini. Saya yakin, masyarakat Islam ternanti-nanti sebuah organisasi yang mempunyai peribadi-peribadi yang ikhlas, berjiwa Islam dan menjadi harapan kepada mereka. Inilah masanya yang sangat baik kepada kita untuk mendekati masyarakat. Usahakanlah program-program yang dapat menyentuh hati setiap ahli masyarakat, Islam dan bukan Islam. Siramilah hati mereka dengan rasa ketaqwaan kepada Allah Swt dan pandu mereka ke jalan yang lurus. Masa akan terus berlalu. Kita akan terus bekerja dan berusaha bagi memperkasa HALUAN, menerajui masyarakat.

Strategi Memperkasakan HALUAN

Seperti yang dijelaskan diawal tadi usaha untuk kembali kepada Islam seharusnyalah kembali kepada mencontohi Rasulullah Saw dalam segala perkara termasuk strategi dan kaedahnya (Al-Ahzab 33:21).   Untuk memenuhi keperluan ini terdapat beberapa aspek strategi yang harus di perhatikan.  Mengikut Syeikh Muhammad bin Sholih Uthaimin, 2006, Bekal Juru Dakwah menekankan lima keperluan utama iaitu:

  1. Ilmu
  2. Sabar
  3. Bijaksana
  4. Menghindari persepsi awal
  5. Lapang dada

Namun Dr Ab. Karim Zaidan, 1984, dalam Dasar-Dasar Ilmu Dakwah menekankan TUJUH aspek penting dalam melaksanakan tugas dakwah iaitu:

  1. Ilmi
  2. Iman yang kuat
  3. Berlaku benar
  4. Sabar
  5. Kasih sayang
  6. Merendah diri
  7. Bergaul dan beruzlah

Walau pun aspek dan skop yang dinyatakan oleh ulama-ulama dalam melaksanakan usaha murni ini banyak dan berbagai namun dalam kesempatan yang ada ini kita akan fokuskan kepada satu perkara yang dapat dirumuskan daripada kepelbagaian strategi dan persiapan yang diperlukan iaitu akhlak. Ternyata bahawa kedatangan Rasulullah Saw adalah untuk memperbaiki akhlak manusia sepertimana yang dicontohi oleh baginda Rasulullah Saw sendiri kerana beliau telah dipersiapkan dengan keagongan dan kemulian akhlak sejak dari awal kehidupan beliau sehinggalah menjadi Rasul pilihan seperti yang dijelaskan oleh Al-Quran yang bermaksud:

”Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agong” (Al-Qalam 68: 4)

Dengan demikian dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab organisasi strategi yang asasi ialah mempersiapkan anggota dengan akhlak Islam yang mantap.  S. A. Maududi menyarankan EMPAT Moral Foundation of Islamic Movement iaitu Iman, Islam, Taqwa dan Ihsan.   Al-Quran memaklumkan ketiga-tiga asas akhlak Iman, Islam dan Taqwa dengan jelas dalam satu ayat dengan maksud:

”Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah sebenar-benar taqwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam” (Ali-Imran 3: 102)

Begitu juga Ihsan dijawab oleh Rasulullah Saw apabila ditanya mengenai Ihsan iaitu:

”Bahawasanya engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, maka jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau” (Hadis riwayat Muslim)

Pada masa yang sama kita di peringatklan oleh Allah Swt melalui Al-Quran  yang bermaksud:

”Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa dan bertaqwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal” (Al-Baqarah 2: 197)

Seterusnya, sempena dengan peringatan dan saranan Al-Quran ini dalam perhimpunan kali ini kita akan memberi fokus kepada satu strategi dalam memperkukuhkan akhlak anggota HALUAN kepada persiapan dan bekalan yang asasi iaitu taqwa.  Dalam hal ini Al-Quran menjelaskan Al-Anfal  8: 29; Al-Hadid 57: 28; At-Talaq 65: 2-3.

Berdasarkan ayat-ayat ini Abdullah Nasih ‘Ulwan, 1988, Menuju Ketaqwaan menjelaskan “kita dapati ketaqwaan kepada Allah Azzawajalla adalah merupakan asas gelombang kekuatan, serta asas bagi nur (cahaya) yang menyuluh dan asas bagi pemberian serta sumbangan (pengorbanan).  Seterusnya beliau mengutip kata-kata Syed Qutb: “Inilah dia bekalan iaitu bekalan persedian dan kelengkapan di perjalanan.  Bekalan ketaqwaan yang menghidup, membangkit dan menyedarkan hati, membuahkan didalamnya setinggi-tinggi kesedaran, kewaspadaan dan berhati-hati…. Bahawa hanya ketaqwaan kepada Allah sajalah yang benar ujud dan menjelma di hati, satu petunjuk yang membezakan antara yang benar dan yang batil yang seterusnya menyingkapkan rintangan dan halangan diperjalanan.

Jalan  Menuju Ketaqwaan

Abdullah Nasih ‘Ulwan seterusnya menjelaskan beberapa jalan menuju ketaqwaan termasuk antaranya ialah:

  1. Perjanjian
  2. Muraqabah
  3. Muhasabah
  4. Mu’aqabah
  5. Mujahadah

Program Meningkatkan Ketaqwaan

Bagi meningkatkan ketaqwaan beberapa program berikut perlu dilaksanakan iaitu:

  1. Memperbanyakkan Bacaan Al-Quranul Karim
  2. Mengiringi Nabi Saw dalam Sirah (Perjalanan) yang Harum
  3. Berdamping dengan Orang-Orang yang Terpilih
  4. Sentiasa Mengingati Allah di Setiap Ketika dan Keadaan
  5. Menangis Ketika Bersendirian Kerana Takutkan Allah
  6. Sentiasa Berbekal dengan Ibadat Sunat     

Persiapan individu dan organisasi

Bila membicarakan betapa perlunya sifat taqwa dalam melaksanakan tugas yang mulia dan rabbani ini, organisasi juga harus dipersiapkan.  Disamping persiapan individu sebagai anggota organisasi S.A.Maududi, 1988, Para-Syarat Kejayaan Harakah Islamiah, menjelaskan kelayakan yang perlu ada pada sesuatu organisasi atau gerakan yang memperjuangkan Islam ialah Ikatan Ukhwah dan Kasih Sayang, Al-Syura, Disipliin dan Muhasabah.

HALUAN dan Hubungan Luar

Kerana HALUAN berada dalam satu realiti di Malaysia maka adalah amat penting untuk mengambil kira situasi di Malaysia bagi mempastikan tugas dan tanggungjawab kita dapat dilaksanakan dengan jayanya.  Oleh itu keperkasaan kita tidak seharusnya dilihat dari persektif dalaman semata-mata, malah perlu juga kita meneliti keluar sesuai dengan suasana  dan keadaan.  Jadi amatlah perlu kita membina hubungan kerjasama dan permuafakatan dengan NGO-NGO lain yang mendokong cita-cita yang sama, agar beban yang berat akan dapat dikongsi bersama dimana perlu dan boleh.  Ini tidak terikat dengan NGO didalam negari sahaja bahkan juga dengan NGO luar negara yang mempunyai cita-cita dan inspirasi yang sama. Semoga bantuan Allah akan sentiasa bersama dengan orang-orang yang memperjuangkan deen-Nya.

Begitu juga hubungan yang intim harus dipelihara dengan jabatan-jabatan kerajaan demi melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh bijaksana.  Semoga amanah ini akan dapat dikendalikan sebaik mungkin.  Insya Allah.