fbpx

Membentuk Peribadi Mukmin

Membentuk Peribadi Mukmin

Membentuk Peribadi Mukmin

Yang dimaksudkan dengan peribadi ialah manusia itu sendiri dengan fizikalnya, mentalnya, spiritualnya dan juga akhlaqnya yang berbeza antara seseorang dengan seseorang yang lain.

Dalam tajuk ini tidak akan dihuraikan tentang huraian peribadi secara perbincangan-perbincangan ahli-ahli falsafah dalam ilmu jiwa, tetapi akan diperkatakan pembentukan peribadi Muslim seperti tajuk ini hasil sedutan daripada kitab-kitab para Mujahid Islam yang banyak berjihad dan berkorban untuk Islam.

Peribadi Muslim tidak pernah terkenal dan tidak pernah bersinar di kalangan masyarakat manusia kecuali ianya dibina di atas Tauhid keImanan kepada Allah s.w.t. Peribadi yang tinggi dan mulia ini telah pernah lahir pada suatu kumpulan yang terkenal dengan panggilan Generasi Al Quran Yang Unik (Jillun Qur’anun Farid).

Iaitu generasi sahabat awwalun (pertama) yang dididik, diasuh dan dipimpin sendiri oleh baginda Rasulullah s.a.w semasa hayat baginda. Generasi yang menjalani latihan Tauhid dan Keimanan kepada Allah s.w.t dan kepada prinsip-prinsip keImanan yang lain selama lebih kurang 13 tahun secara praktiknya. Generasi yang menjalani proses keImanan yang mentauhidkan Allah s.w.t dalam ertikata yang sebenar-benarnya, memenuhi sifat-sifat Uluhiyyah dan Rububiyyah dan segala sesuatu yang berkaitan dengannya. Generasi yang ada suatu ketika dahulu, ketika menjalani latihan Tauhid telah diazab dengan berbagai azab dan siksaan serta gangguan malah secara bersatgu semua tenaga Jahiliyyah bagi menghalang dan menghapuskan Nur Iman sebagai asas pembentukan peribadi yang kian hari semakin bersinar dan meningkat dalam usaha pembentukannya. Itu tidak dapat menyekat kemaraannya. Firman Allah s.w.t :

Terjemahannya: “Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya Nya walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai.” ( Surah at Taubah : 32 )

Dari latihan, didikan serta pimpinan junjungan kita Muhammad s.a.w yang berpandukan wahyu Allah s.w.t, al Quran al Karim sebagai sumber pembentukan, maka terbentuklah keperibadian Muslim pada kumpulan pertama para pemuda Quraisy. Kumpulan yang telah dilatih dan dididik sebagai jiwa tauhid tersebut telah tidak lagi terpengaruh atau dipengaruhi oleh nilai tamakkan dunia. Malah cita-cita memenangi keredhaan Allah s.w.t semata-mata. Kumpulan ketika mana mendengar panggilan Iman kepada Allah s.w.t dan kepada Rasul Nya, mereka merasakan kehidupan Jahiliyyah sudah tiada nilai lagi dan tidak lagi memberi kesan terhadap mereka. Jiwa mereka memberontak ketika berada di dalam cengkaman Jahiliyyah. Jiwa mereka tidak sabar-sabar lagi untuk pergi menyahut panggilan Iman kepada Allah s.w.t dan Rasul Nya. Setelah keyakinan tauhid benar-benar menguasai jiwa mereka, mereka terus menghulurkan tangan untuk mengikat janji setia dan penyerahan sepenuhnya dengan lafaz: “Aku bersaksi bahawa Tiada Illah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh Allah.”

Mereka menyerah jiwa raga mereka di bawah perintah Rasulullah s.a.w pada hal mereka mengetahui benar bahawa jiwa mereka diancam, hidup mereka tergugat dan mereka akan menghadapi berbagai kesulitan dan kesusahan untuk sampai kepada matlamat tersebut. Tetapi kumpulan yang dididik dan diasuh oleh Rasulullah s.a.w dengan al Quran al Karim ini memahami dan menyakini akan realiti tersebut. Firman Allah s.w.t:

Terjemahannya : “Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” ( Surah al Ankabut : 1-3 )

Dan dalam firmanNya yang lain;

Terjemahannya : “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu ?. Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah al Baqarah : 214 )

Segala kesulitan, kesusahan dan pahit getir perjuangan dan jihad di Jalan Allah s.w.t yang mereka tempuhi itu tidak sesekali melemahkan Iman mereka. Malah Iman mereka kian bertambah yakin dan bertambah tabah menghadapi apa yang mereka sifatkan sebagai ujian dari Allah s.w.t. Ini dapat dilihat di dalam al Quran al Karim di dalam firman Allah s.w.t:

Terjemahannya: “Dan tatkala orang-orang mu’min melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: Inilah yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul Nya kepada kita. Dan benarlah Allah dan Rasul Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.”( Surah al Ahzab : 22 )

Begitulah Rasulullah s.a.w mengasuh jiwa mereka dengan al Quran al Karim, mendidik hati nurani mereka dengan Iman, mengajak mereka patuhj kepada Allah dalam melaksanakan segala kewajipan yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. Dengan didikan demikian maka kian bertambah tinggilah jiwa dan hati mereka, kita bertambah luhurlah akhlaq mereka dan kian bertambah bebaslah mereka dari kekuasaan kebendaan dan rintihan hawa nafsu yang menyesatkan dan terpancarlah rasa cintakan Allah s.w.t, Pencipta langit dan bumi serta segala sesuatu yang berada di dalamnya. Rasulullah s.a.w juga mengajar mereka bersabar menghadapi kesusahan, mengajar mereka mengawal jiwa mereka yang pernah benar terlatih dengan peperangan semasa Jahiliyyah seolah-olah mereka dilahirkan bersama-sama peralatan senjata. Mereka dhidup di zaman yang tidak pernah sunyi daripada peperangan dan pertumpahan darah, seperti peperangan Basus, Dahit dan peperangan Ghabra. Begitu juga dengan peperangan al Fijar belum lagi sejuk dan masih terasa bahangnya. Tetapi Rasulullah s.a.w melalui asuhan dan didikan al Quran al Karim mengikut proses yang ditentukan oleh Allah s.w.t membendung jiwa peperangan dan semangat kebangsaan dengan arahan baginda yang bermaksud : “Hentikanlah kekerasan dan dirikan solah.”

Maka secara patuh mereka menghentikan peperangan dan kekerasan serta bersabar dalam menghadapi siksaan Kuffar Quraisy. Ini bukanlah kerana lemah dan takut. Sejarah tidak pernah mencatatkan bahawa seseorang Muslim di tahap Makkah pernah mempertahankan diri dari kezaliman Quraisy dengan senjata meskipun ia berkemampuan untuk berbuat demikian.

Inilah suatu sifat kepatuhan dan ketaatan kepada kepimpinan hasil daripada pembentukan Rasulullah s.a.w mengikut proses yang ditentukan oleh Allah s.w.t yang tidak ada tolok bandingnya di dalam sejarah kemanusiaan.

Dengan roh tauhid dan keImanan, dengan pengajaran Nabi yang sempurna, dengan pendidikan yang teliti dan bijaksana, dengan peribadi Rasulullah s.a.w yang luarbiasa dan dengan Kitab suci al Quran al Karim yang dipenuhi dengan mukjizat, maka Rasulullah s.a.w dapat membangunkan kehidupan yang baru kepada Generasi Pertama dahulu dan mengangkat kembali nilai kemanusiaan yang hampir musnah. Kemudian Rasulullah s.a.w meletakkan di tempat yang sewajarnya untuk mengisi hidup baru kepada kemanusiaan.

Hasil dari usaha-usaha Rasulullah s.a.w yang gigih lahirlah peribadi Muslim seperti Abu Bakr as Siddiq yang terkumpul padanya sifat-sifat terpuji. Orang dahulunya tidak pernah menyangka dan tidak pernah disangka akan menjadi orang yang pertama meneruskan amanah Allah s.w.t yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk memimpin manusia ini ke matlamat yang suci murni. Lahir juga peribadi Muslim seperti ‘Umar al Khattab yang dahulunya mengembala unta bapanya, al Khattab, meskipun padanya terdapat sifat-sifat tegas dan berani tetapi tidak pernah menyediakan tapak untuk meletakkan ke tempat yang tinggi dan tiada siapa yang menyangka dengan pimpinan dan didikan baginda Rasulullah s.a.w tiba-tiba ‘Umar muncul menggemparkan alam ketika itu dengan kepintaran dan ketegasannya serta keberaniannya dapat merobohkan singgahsana Kaisar Romawi. Kemudian dapat menegakkan di atas keruntuhan untuk pemerintahan Islam yang dapat mengatasi Romawi dan Farsi di segi pentadbiran dan peraturan dan ditambah pula dengan sifat-sifat wara’, taqwa, tegas dan adil yang menjadi contoh teladan zaman berzaman.

Juga lahir peribadi-peribadi seperti ‘Ali bin Abi Talib, ‘Aisyah, Ibn Mas’ud, Ibn ‘Abbas, Ibn ‘Umar, Zaid bin Thabit, sebagai tokoh-tokoh ulama yang tiada bandingannya dari dahulu hingga sekarang dan mungkin juga di masa akan datang. Mereka ini adalah hasil daripada latihan dan didikan Madrasah Rasulullah s.a.w, maka terpancarlah ilmu pengetahuan daripada tokoh-tokoh tersebut dan kata-kata hikmat lahir daripada mulut-mulut mereka. Mereka bercakap maka seluruh zaman akan terdiam danmereka berkhutbah maka seluruh zaman menunggu-nunggu untuk merakamnya.

Dengan itu lahirlah kumpulan Islam hasil dari didikan Rasulullah s.a.w yang berasaskan Tauhid dan kemampuan mereka dalam bidang ilmu pengetahuan hasi dari pengajian mereka dari sumber al Quran al Karim dan as Sunnah an Nabawiyyah untuk mengepalai dan memimpin manusia ke arah kebaikan yang abadi. Inilah satu revolusi pembentukan peribadi yang luarbiasa dan satu-satunya yang pernah berlaku di dalam sejarah kemanusiaan dan hingga kini revolusi seumpama itu berulang kembali. Revolusi yang menghasilkan kumpulan Mu’min sejati tampil mengepalai kepimpinan alam ke arah kesejahteraan dengan sifat-sifat kepimpinan yang tinggi dan mulia bagi menjamin kesejahteraan dan kejayaan manusia di bawah kepimpinan tersebut.

Sifat-sifat Keperibadian Mereka
Antaranya ialah:-

a. Mereka itu adalah kumpulan pertama atau lebih dikenali sebagai Generasi Al Quran, pendokong kitab suci al Quan al Karim dan Syari’at Allah s.w.t. Mereka itu tidak mencipta undang-undang atau menggubal perlembagaan hidup mengikut kehendak jiwa mereka sendiri. Mereka faham bahawa jiwa tanpa hidayat Islam adalah sumber kejahilan, kesesatan dan kezaliman. Mereka tidak secara teraba-raba memilih jalan hidup mereka dan corak pergaulan mereka. Mereka telah menerima cahaya daripada Allah s.w.t bagi menerangi jalan hidup mereka di kalangan masyarakat manusia, bagi membetul dan memandu manusia ke arah yang selamat. Firman Allah s.w.t :

Terjemahannya : ” Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan ditengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-sekali tidak dapat keluar daripada nya?. Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan “.( Surah al An’am : 122 )

b. Mereka tidak memegang kuasa memerintah atau memimpin tanpa menjalani latihan akhlaq dan didikan jiwa. Mereka menghabiskan masa yang panjang menjalani didikan junjungan Muhammad s.a.w, di bawah perhatian baginda yang teliti hingga lahirlah pada peribadi mereka sifat-sifat Zuhud, Wara’, ‘Afah, Amanah, tidak mementingkan diri sendiri, takutkan Allah s.w.t , tidak tamak dan tidak terlalu ghairah terhadap kuasa. Sabda Rasulullahs.a.w yang bermaksud : “Kami demi Allah tidak akan memilih sebagai pemerintah orang yang memintanya atau orang yang terlalu ingin kepadanya . ” Mereka tidak berebut-rebut kepada jawatan tetapi sebaliknya mereka merasa berat menerimanya apabila dilantik, apatah lagi mencalunkan diri mereka untuk jawatan tertentu dan berkempen, berdi’ayah dan membelanjakan wang yang banyak bagi memenangi jawatan tersebut. Apabila mereka dilantik memegang sesuatu jawatan mereka tidak menganggapnya sebagai suatu sumber kekayaan atau keuntungan, tetapi mereka menganggap sebagai suatu amanah yang terpikul di atas bahu mereka atau sebagai ujian daripada Allah s.w.t. Mereka sedar mereka bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t dari sebesar-besar pekerjaan hingga sekecil-kecilnya. Mereka sentiasa mengingati pesanan Allah s.w.t di dalam al Quran al Karim :

Terjemahannya : “Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian daripada kamu atas sebahagian yang lain beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang “( Surah al An’aam : 165 )

c. Mereka faham benar bahawa mereka bukan berkhidmat kepada bangsa semata-mata, mereka bukan utusan bangsa dannegara, berusaha untuk kesenangan dan muslihat bangsa dan negara semata-mata. Mereka faham bahawa mereka bukan dilahirkan untuk mengasaskan Empayar ‘Arab untuk menekmati segala kemewahannya dan bermegah dengan kearabannya atau lahir untuk melepaskan manusia daripada pemerintahan Romawi dan Farsi dengan kekuasaan Arab dan pemerintahan mereka. Tetapi tugas mereka ialah untuk mengeluarkan manusia dari beribadah kepada sesama manusia kepada berubudiyyah kepada Allah s.w.t semata-mata sepertimana yang telah ditegaskan oleh Rabi’ bin ‘Amir utusan tentara Islam kepada Yazdjir yang bermaksud: “Allah s.w.t mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia dari beribadah kepada manusia kepada beribadah kepada Allah s.w.t semata-mata dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia ini kepada yang lebih luas lagi dan mengeluarkan manusia daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam ” Nilai bangsa-bangsa adalah sama sahaja pada mereka. Yang lebih tinggi pada mereka ialah nilai Taqwa kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t :

Terjemahannya : “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakankamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenak mengenal, Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal “( Surah al Hujuraat : 13 )

Sayyidina ‘Umar al Khattab semasa memerintah beliau berkata kepada ‘Amru al As manakala mendapat tahu bahawa anak ‘Amru memukul seorang warga negara Mesir serta bermegah dengan pangkat dan kebesaran bapanya, maka ‘Umar terus bertindak menghukum ‘Amru dan anaknya sekali seraya berkata yang bermaksud :- ” Bilakah kamu mula memperhambakan manusia sedangkan mereka diperanakkan oleh ibu-ibu mereka di dalam keadaan merdeka . “

d. Mereka faham bahawa manusia ini terdiri dari jasmani dan rohani, terdiri dari hati, aqal, perasaan dan juga anggota lahir yang lain. Manusia tidak akan merasa dbahagia, berjaya dan maju secara adil dan saksama selama mana dia tidak diberi bimbingan dan asuhan yang sewajarnya mengikut nilai-nilai Islam yang sewajarnya.