fbpx

Membangun Tekad Mendidik Berbakti

Membangun Tekad Mendidik Berbakti

Membangun Tekad Mendidik Berbakti

Organisasi Islam tidak akan mampu membumikan visi dan misi organisasi tanpa adanya semangat juang dan tekad yang tinggi dari kalangan aktivis dan ahlinya.

Islam kuat dan tertegak dengan ahli-ahlinya yang bertekad dan berhati waja, bukan dari kalangan yang suka berehat-rehat, menangguhkan kerja, terbiasa dengan kehidupan mewah dan kesenangan dan tidak mahu bersusah payah. Mana mungkin Islam kan dapat ditegakkan kembali oleh orang-orang sedemikian.

Mari kita mengembara bersama barisan aktivis yang berhati besar dan memiliki tekad yang tinggi di zaman Rasulullah saw. Tekad dan semangat juang yang tinggi yang ditunjukan oleh Abu Bakar ra. ketika berhadapan dengan golongan murtad. Ketika itu beliau berkata dengan tekad yang kuat,
”Demi Allah, aku pasti memerangi orang-orang yang memisahkan solat dengan zakat, kerana zakat itu hak harta. Demi Allah, andai emreka menolak membayar zakat unta dan kambing yang dulu mereka bayarkan kepada Rasulullah saw., aku pasti memerangi mereka kerana mereka menolak membayar zakat tersebut.” (Diriwayatkan oleh Al Bukhari dan Ahmad)

Begitu juga tekad dan semangat juang dari Mus’ab bin Umar ra. amat mengkagumkan kita. Tekadnya yang tinggi sehingga sanggup membuang masa remaja dan kehidupan serba mewah, lalu beralih menjalani kehidupan sukar, miskin dan penuh derita. Mus’ab benar-benar memiliki tekad yang kuat, sehingga akhir hayatnya. Ketika beliau memegang panji perang dalam satu medan peperangan, tangan kanan beliau telah di potong oleh musuh Islam. Lalu beliau memegang panji perang itu dengan tangan kirinya. Tangan kirinya juga terpotong tidak lama setelah itu, namun beliau tetap bertekad mempertahankan panji Islam lantas memegang panji perang dengan kedua lengannya. Kemudian muncullah Ibnu Qumi’ah durjana, menyerang Mus’ab dengan pedang dan akhirnya Mus’ab gugur sebagai syahid.

Mus’ab memiliki tekad yang luarbiasa. Buktinya anda lihat setelah kematiannya. Mus’ab bin Umair yang pada awal kehidupannya sebelum menjadi aktivis Islam adalah seorang anak bangsawan, berharta dan mewah. Namun beliau hanya ada satu baju untuk kafannya ketika meninggal dunia. Jika kaum muslimin menutup kepalanya, kedua kakinya terlihat. Jika kaum muslimin menutup kedua kakinya, kepalanya pula terlihat. Lalu Rasulullah saw. memerintahkan mereka menutup kepala Mus’ab bin Umair dengan daun pohon Idzkhir.

Bagi seorang aktivis Islam, dalam menghadapi cabaran dan realiti masakini di saat Islam sebagai minhajul hayah (sistem hidup) semakin diketepikan dan dagang di hati umat dan manusia, kita perlu memiliki tekad yang tinggi di hati kita laksana air mendidih di periuk dan memotivasinya mengerjakan kerja-kerja besar setiap pagi, petang dan malam. Sehinggalah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tekad kita setanding dengan generasi awal yang di bina oleh Rasulullah saw.

KPI tekad Umair bin Abu Waqqash seharusnya mencabar tekad generasi muda hari ini. Beliau merupakan adik kandung Sa’ad bin Abu Waqqash. Ketika berusia 16 tahun saat perang Badar meletus, beliau tekad untuk menyertai pasukan perang bersama Rasulullah saw. dengan bersembunyi dari penglihatan Rasulullah saw kerana khuatir beliau akan di minta pulang di sebabkan usianya yang terlalu muda. Ketika Rasulullah saw. mengetahui hajat, semangat dan tekad Umair bin Abu Waqqash untuk menyertai perang, baginda mengizinkannya. Umair bin Abu Waqqash pun bertempur, hingga gugur sebagai syahid. (Diriwayatkan oleh Al Hakim dan Ibnu Sa’ad)

Betapa mendesaknya aktivis organsisasi Islam hari ini memiliki tekad yang kuat. Yakinlah, dengan sebuah tekad, mampu merubah sesuatu yang mustahil menjadi rasional dan terus maju ke hadapan, walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan dan halangan. Ayuh kita tatapi lagi reaksi tekad yang kuat dari dua orang sahabat Rasulullah saw. yang mendapat luka serius ketika di perang Uhud. Salah seorang telah berkata:
”Aku dan saudaraku hadir di perang Uhud bersama Rasulullah saw. Kami pulang dari perang tersebut dalam keadaan terluka. Tatkala seorang sahabat memaklumkan kepada Rasulullah saw bahawa pihak muslimin perlu keluar mengejar musuh, aku berkata kepada saudaraku atau ia berkata kepadaku, ’Haruskah kita kehilangan peluang untuk tetap bersama Rasulullah saw dalam medan pertempuran ini?’ Demi Allah kami tidak punyai kenderaan yang membolehkan kami naiki sedangkan kami terluka parah. Tetapi kami tetap keluar bersama Rasulullah saw. dan lukaku tidaklah separah luka saudaraku. Jika ia kelelahan, aku memikulnya dan sesekali ia berjalan sendiri. Kami terus seperti itu, hingga tiba di tempat Rasulullah saw.” (Diriwayatkan Ibnu Ishaq)

Imam Syafi’i berpesan kepada kita semua:
”Istirehat seorang lelaki (aktivis) itu satu bentuk kelalaian”

Begitu pentingnya kita membajai tekad yang kuat. Rasulullah saw. berdoa,

”Ya Allah, aku minta keteguhan dalam semua urusan dan tekad yang kuat di atas petunjuknya.”

Semoga Allah swt mengurniakan kita sekelumit tekad yang kuat untuk terus memikul beban dakwah dan tarbiah yang diamanahkan di atas bahu kita, mendidik dan berbakti dengan tekad yang tinggi.

Allah berfirman yang bermaksud:

”Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin diri dan harta mereka dengan memberi mereka syurga.”

Susunan:
Mohd Razali Maarof
Biro Latihan HALUAN Pusat