fbpx

Melankoli di Penutup JDK Zon Tengah

Melankoli di Penutup JDK Zon Tengah

Melankoli di Penutup JDK Zon Tengah

SHAH ALAM, 31 Dis 2014 – Tiga minggu terasa amat pantas sekali berlalu. Begitulah keluhan am peserta Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) di Zon Tengah anjuran HALUAN Malaysia di hari-hari terakhir mereka bersama.

Rata-rata peserta yang ditemui menyatakan keberatan untuk berpisah dengan rakan-rakan baru yang ditakdirkan bertemu sebumbung demi mencorak kehidupan ambang dewasa. Program tahunan khusus untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini merupakan kali ke-enam dianjurkan. Program yang bermula pada 13 Disember yang lalu itu telah menghimpunkan seramai 42 orang peserta lelaki dan 54 peserta perempuan dari segenap pelusuk negara.

JDK berjalan serentak di tiga zon lagi iaitu di Kelantan, Perlis dan Johor. Memasuki minggu kedua, peserta mengakui ukhuwah dan persahabatan di kalangan mereka semakin erat dengan anjakan minda dan asakan tarbawi daripada abang-abang dan kakak-kakak mahasiswa serta pemuda-pemudi HALUAN. Terasa pilu pula bila waktunya hampir tiba untuk berpisah.

Anak sulung daripada enam beradik, Mohd Amiruddin Arif, 17, terpaksa berhadapan situasi sukar untuk membuat keputusan samada menghadiri JDK atau menyertai kejohanan memanah sirkit kebangsaan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM). Pelajar lepasan Sekolah Sukan Seri Titiwangsa, Kuala Lumpur tersebut bersyukur kerana beliau memilih menyertai JDK atas galakan guru matematiknya. Turut bersama beliau adalah tiga orang rakan sekelas.

“Ia suatu keputusan saat akhir yang saya tidak sesali. Waktu saya mula-mula menjejak kaki di kem Ulu Langat, saya amat berharap untuk dipertemukan dengan rakan-rakan baru yang baik iman dan akhlaknya. Ternyata harapan saya tercapai,” jelas beliau kepada wartawan mediaHALUAN.

“Sebelum ini kita rasa tahap iman kita tinggi walaupun ia sebenarnya rendah. Hampir tiga minggu di sini, banyak yang saya dapat. Antaranya ialah iman kena sentiasa diperbaiki kerana diri kita akan sentiasa diuji.”

“Di luar sana kami selalu terdedah kepada pelbagai suasana maksiat. Semasa berada di sini kami diajar bagaimana mempersiapkan dan mendidik diri untuk menjadi insan yang baik dan mulia di sisi Allah SWT. Saya telah sertai banyak kem dan kursus sebegini sejak di Sabah dulu kerana ayah adalah anggota tentera yang sering kali berpindah, tetapi JDK ini yang paling memberi kesan kepada jiwa saya kerana ia benar-benar menyentuh hati. Ketulusan dan keramahan semua abang dan kakak fasilitator amat membantu kami. Saya mungkin belajar sains sukan ataupun perniagaan di Kolej Teknologi Darulnaim nanti. Dan saya amat menggalakkan siapa saja untuk menyertai kursus JDK ini jika berpeluang.”

Anak bongsu daripada enam beradik, Nurul Munirah Mahmud, 17, dari Shah Alam pula meneruskan legasi abang dan kakak beliau yang pernah menyertai JDK sebelum ini. Remaja cilik yang bercita-cita menguasai bahasa Jepun itu merupakan lepasan SPM dari Sekolah Menengah Ibn Khaldun dekat sini.

“Banyak sangat benda baru saya pelajari. Sebelum ini saya tidak pernah terfikir hendak berkongsi Islam dengan non-Muslims dan menjadi pemimpin yang mempraktikkan tarbiyah. Terasa pendek kursus ini. Banyak sangat ilmu yang hendak disampaikan tetapi pengajar dikekang masa. JDK ini best berbanding kem-kem lain yang pernah saya sertai. Di sini terasa kemesraan sejati sambil ukhwah terbina dengan fasilitator yang tulus, prihatin dan peramah. Lain daripada yang lainlah!” kata Munirah yang menyukai topik perbandingan agama, sukan dan rekreasi, serta fitness fizikal.

“Saya akan syorkan kursus JDK ini kepada siapa saja. Dan saya sasarkan untuk diri saya mengIslamkan sekurang-kurangnya empat orang non-Muslims sepanjang saya di universiti nanti,” jelas beliau penuh yakin.

Arif Daniel Ahmad Zaky, 17, orang Terengganu tetapi kini menetap di Putrajaya. Anak sulung lapan beradik lepasan Sekolah Menengah Kampung Laut, Kuala Terengganu ini meminati subjek sains dan matematik dan juga sukan bola tampar dan ping pong.

“Memang saya tertunggu-tunggu JDK ini setelah kerap diimbasi senior saya sejak di sekolah lagi. Modulnya bagus-bagus mengisi rohani kami. Jasmani boleh cari di luar. Kursus-kursus lain tak mengisi macam yang ini. Yuran RM550 itu terasa terlalu murah pula; content best, makan kenyang, pengisian hebat-hebat belaka,” jelas beliau tersenyum puas.

Ditanya pelan masa hadapan, Arif menjawab, “Kami akan keluar ke medan di mana jahiliyah menanti. Saya ingat pesanan abang fasi[litator]. Kami kena ibarat ikan di laut, tidak mahu dibawa arus kerana kami kini sebagai daie. Bersabar dan bersedia menghadapi segala ujian,” berkata remaja yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang sains pemakanan. Beliau paling menggemari modul sukan dan rekreasi, khidmat masyarakat dan alam kerjaya. “Tiga minggu terlalu singkat. Saya pasti akan merindui kawan-kawan baru saya ini nanti.”

Bekas pelajar SMKA Maahad Hamidiah, Kajang, Fatin Aqilah Mohd Anuar, 17, tidak dapat menyembunyikan perasaan gundah semasa mula-mula tiba di kem pertama di Ulu Langat. Namun kemesraan kakak-kakak fasilitator yang menyambut kedatangan para peserta meleraikan keresahan hati. Anak ke tujuh daripada lapan beradik dari Kuala Pilah ini mengikut jejak langkah abangnya yang pernah menyertai JDK.

“Sangat banyak benda baru yang kami dapat. Tak sangka betul. Saya tidak pernah mendengar tentang Kelab HALUAN Fitrah sebelum ini. Saya sangat teruja apabila dapat tahu bagaimana cara berdakwah kepada non-Muslims. Juga seven survival skills menjadikan saya lebih yakin melangkah masuk ke IPT nanti. Anjakan keagamaan di sini mantap,” jelas beliau yang memilih modul perbandingan agama dan rekreasi sebagai yang paling menyeronokkan.

“Kenapalah sekejap sangat JDK ini? Baru saja kami nak rasa kehangatan ukhwah dengan peserta dan fasilitator kami,” kata beliau yang memasang cita-cita menjadi seorang doktor gigi.

Anak bongsu daripada enam orang adik beradik, Ahmad Ajwad Ghazali, 17, yang berasal dari Kelantan namun kini menetap di Kuantan mula-mula mendengar tentang JDK daripada rakan baik ayahnya. Bekas pelajar MRSM Kota Putra, Besut itu juga mempunyai alumni JDK dalam keluarga iaitu kakak dan abangnya yang kini berada di IPT.

“Abang dan kakak berikan saya buku dan nota JDK mereka. Saya sering bertanya mereka tentangnya dan mereka sangat menggalakkan saya sertai. Pengajian Quran dan sirah membuka minda saya tentang keluasan Islam yang praktikal, semua aktiviti saya sertai tanpa rasa seperti dipaksa. Banyak yang saya dapat imbasi balik suasana kehidupan lampau sebagai tauladan. Di kem inilah saya dapat tahu apa dakwah dan tarbiyah sebenarnya. Memang semua lepasan SPM mesti memasuki JDK,” ujar Ajwad yang bercita-cita menjadi jurutera elektronik perubatan. Beliau meminati modul sukan dan rekreasi, anjakan paradigma, serta kepimpinan masyarakat.

Laporan mediaHALUAN