fbpx

Medik & Paramedik Meriahkan 3M

Medik & Paramedik Meriahkan 3M

Medik & Paramedik Meriahkan 3M

BANGI, 24 September 2013 — Lebih 100 mahasiswa bidang perubatan, pergigian dan paramedik telah menjayakan program sehari Motivasi Minda Medik (3M) siri ke-2 dengan motto “Memperkasakan Semangat Kesukarelawan” pada 22 September lepas di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Program anjuran Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) dengan kerjasama Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) itu berjaya menarik penyertaan yang agak ramai dengan kesukarelawanan menjadi teras perbincangan penglibatan golongan muda tersebut. Mereka terdiri daripada mahasiswa jurusan perubatan, pergigian, farmasi, kejururawatan, fisioterapi, pengimejan perubatan, kesihatan persekitaran, pembantu perubatan dan sebagainya daripada seluruh universiti tempatan dan luar negara yang pulang bercuti.

Peserta membentangkan hasil perbincangan dalam Modul Kesukarelawanan
Program ini diadakan untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan penglibatan mahasiswa Islam dalam aktiviti kesukarelawanan dan bantuan kemanusiaan, selain mendedahkan kepada mereka persediaan perlu sebagai seorang sukarelawan serta memberikan penjelasan tentang peluang-peluang yang tersedia ada untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kesukarelawanan.

Acara bermula dengan bacaan al-Quran dan doa serta ucapan aluan daripada pengarah program 3M, Saudara Muhammad Ihsan Zakaria sebelum diteruskan dengan pembentangan pertama ’10 Noble Characters’ oleh Prof. Madya Dr. Azizan Ahmad, Naib Presiden 3 HALUAN. Beliau menghuraikan lima daripada 10 peribadi mahasiswa cemerlang iaitu jasmani yang kuat, memerangi hawa nafsu, sistematik dalam setiap urusan, menjaga waktu dan bermanfaat kepada orang lain.

Program kemudiannya diteruskan dengan forum bertajuk ‘Surviving Medical School’ yang dikendalikan oleh Saudara Muhammad Ihsan Zakaria dan disertai dua orang panelis iaitu Prof Dr Zamrin Dimon dan Encik Hafiz Norrizan. Prof. Dr. Zamrin Dimon merupakan Pakar Bedah Kardiotorasik di Hospital UiTM Sungai Buloh manakala Encik Hafiz Norrizan adalah seorang ahli farmasi. Adequate knowledge, adequate basic clinical skill, attitude, ability to take responsibility dan working in a team merupakan antara lima tips kejayaan yang dikongsi bersama oleh Prof Zamrin.

Modul Kesukarelawanan diteruskan dengan mendedahkan para peserta tentang persiapan, keselamatan dan kecemasan dalam pelbagai situasi kesukarelawanan samada di luar atau dalam negara. Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberikan beberapa situasi kecemasan untuk dibincangkan. Perbincangan ini turut dibantu oleh doktor-doktor daripada KKH yang berpengalaman dalam program-program kesukarelawanan sebelum dibentangkan dan diulas lanjut oleh para doktor.

Saudara Salim & Nazeer dari Alexandria University
Fatin Faziera, seorang peserta program 3M ketika ditemubual berkata, “Apa yang menarik pada program ini ialah modul kesukarelawanan yang diketengahkan dan perkongsian bersama para doktor dan sukarelawan yang secara tidak langsung, menjadikan sharing moment itu lebih khusus dan sangat terperinci tentang kesukarelawanan itu sendiri, berbeza dengan program lain yang sekadar umum sahaja.”

Mahasiswi perubatan tahun pertama, USIM itu meneruskan lagi, “bagi saya program ini sangat bagus dan sangat membantu saya dalam kerjaya yang akan saya ceburi nanti. Kami didedahkan tentang konsep holistik kesukarelawanan, sesuatu yang baru bagi kami. Dan ia sangat membantu kerjaya doktor disebabkan adanya sesi perkongsian bersama individu-individu yang bukan calang-calang hebatnya.”

Nazeer Mukhlis Zakaria, mahasiswa tahun empat Fakulti Perubatan, Alexandria University menyarankan agar program yang akan diadakan kemudian lebih praktikal dan dapat mengasah kemahiran klinikal, sambil memuji perjalanan program secara keseluruhan yang dianggap cukup baik.

Menurut Salim Rush dan Mohd Rosli yang gembira dapat berkenalan dengan ramai rakan-rakan baru, sesi perkongsian oleh Prof. Madya Dr. Azizan Ahmad sungguh menarik dan membuka minda. Pengalaman merancang program Sunathon pada sesi Modul Kesukarelawanan merupakan sebuah pengalaman baru. Mahasiswa jurusan pergigian dari Alexandria University itu mencadangkan agar lebih banyak sesi soal jawab dibuka selain mengharapkan lebih ramai pembimbing dapat meluangkan masa dalam sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK).

Anis Amni Mustafa, mahasiswi jurusan kejururawatan, PPUM berpendapat program ini sangat menarik kerana memberi lebih pendedahan tentang alam perkerjaan sebagai seorang kakitangan kesihatan pada masa hadapan melalui forum ‘Surviving Medical School’. Beliau turut mencadangkan agar 3M dapat dipromosikan dengan lebih meluas melalui iklan di radio atau televisyen supaya lebih ramai dapat berkongi manfaatnya. Beliau juga berminat untuk mengikuti program ini lagi pada masa depan.


Laporan oleh Nurul Hana’ Mahmud, Setiausaha 3M siri ke-2.

Anis Amni berminat untuk menyertai program ini pada masa akan datang

Fatin Faziera gembira dapat belajar banyak perkara baru