fbpx

Mavi Marmara Suntik Semangat Relawan MBKS2

Mavi Marmara Suntik Semangat Relawan MBKS2

Mavi Marmara Suntik Semangat Relawan MBKS2

Istanbul, Turki, 12 Jun, 2012 — Sejak menjadi mangsa kepada serangan ganas di tengah perairan antarabangsa lebih dua tahun lalu, nama MV Mavi Marmara terus menjadi sebutan kawan dan lawan. Ia menjadi kebanggaan dan simbol perjuangan kepada pencinta keamanan dan igauan ngeri kepada rejim Zionis serta para pemimpinnya.

Setelah tujuh bulan berada di bawah tahanan Zionis Yahudi, kapal Mavi Marmara akhirnya berjaya dibawa pulang ke Turki bersama ratusan kesan dan bukti kejahatan tentera penceroboh, walaupun para pemimpin Zionis telah berusaha memadamkan semuanya. Kini kapal bersejarah ini berlabuh gagah dan megah, bersedia menunggu waktu untuk sekali lagi merentasi lautan luas membela kemanusiaan. Pada 31hb Jun lalu, ratusan alumni Mavi Marmara bersama keluarga mereka bermalam di atas kapal ini, mengisi masa bersama dengan solat tahajjud, tadarus al-Quran, majlis-majlis ilmu – persis apa yang telah dilakukan oleh para relawan pada malam ianya diserang – sempena memperingati genap dua tahun tragedi itu. Perdana Menteri Palestin, Ismael Haniyyeh juga pernah menjadi tetamu kehormat di atas kapal ini pada awal bulan Januari lalu. Mavi Marmara kini benar-benar bersiap sedia meneruskan agenda kemanusiaannya.

Namun, bukan mudah untuk mendapat peluang menziarahi kapal ini. Tawaran dari pemimpin Insani Yardim Vakfi (IHH) untuk menziarahi Mavi Marmara dan meneladani peristiwa serangan itu tidak sekali-kali ditolak oleh empat orang relawan HALUAN yang sedang dalam perjalanan Misi Bantuan Kemanusiaan Syria 2 (MBKS2) ke sempadan Syria-Turki.

“Bila mereka tawarkan kami untuk menziarahi Mavi Marmara, kami terus bersetuju,” kata Dr Baharuddin Suri, Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN Malaysia. Bagi para relawan HALUAN, ini merupakan satu hadiah yang sangat besar sebelum mereka meneruskan penerbangan ke kem pelarian Syria di Antakya. “Kapal ini tidak dibuka kepada umum, jadi walaupun mendapat kebenaran IHH, nama dan maklumat kami terpaksa dihantar untuk melalui tapisan keselamatan terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk,” jelas Dr Baharuddin.

Relawan Mavi Marmara, Husein Chevlei, yang memikul tanggungjawab bersama rakan-rakannya untuk membaik-pulih dan menyiap-sedia kapal ini, telah sudi meluangkan masa mengiringi Dr Baharuddin bersama tiga relawan HALUAN yang lainnya. Menceritakan pengalaman mereka dibawa mengamati kapal tersebut, Dr Baharuddin menyebut, “Sebak dalam hati kami kerana mendapat penghormatan ini, dan kami sesungguhnya berada di atas kapal ini mewakili 12 orang para relawan Malaysia alumni Mavi Marmara. Setiap langkah kami di atas Mavi Marmara diiringi oleh Encik Husein, menceritakan setiap detik kegembiraan, ketenangan dan kecemasan semasa belayar menuju ke Gaza. Semasa mendengar ulasan beliau, kami merasakan seolah-olah berada bersama para relawan Mavi Marmara pada saat kejadian itu. Beliau tunjukkan di mana berlaku tembakan, kesan tembakan dan tempat-tempat di mana setiap syuhada berjuang hingga gugur syahid. Selama hampir satu jam kami dibawa ke setiap ruang dan penjuru Mavi Marmara, akhirnya Encik Husein mengatakan kapal bersejarah ini sudah cukup bersedia untuk belayar kembali ke perairan bagi menerobos sekatan zalim ke atas Gaza, dan bersiap sedia untuk berhadapan dengan musuh kemanusiaan yang zalim, iaitu Zionis Yahudi.”

Para relawan MKBS2 dibawa dari satu dek ke dek yang lain, hinggalah ke dek yang paling atas, sambil diceritakan detik-detik dari mula pelayaran hinggalah mereka ditahan di Ashdod. Di dalam kapal ini, segala peristiwa itu dirakamkan dalam bentuk foto besar yang dipamerkan di mana ianya telah berlaku. Juga terabadi di situ gambar salah seorang daripada lima relawan HALUAN, Dr Mohd Arbaai Syawal sedang merawat mangsa yang tercedera diserang tentera Zionis.

“Ziarah singkat kami ke sini bagaikan menyuntik semangat perjuangan baru untuk kami menyebarkan syariat Islam dan berbakti kepada kemanusiaan,” rumus Dr Baharuddin.

Mereka akan meneruskan penerbangan menuju ke Antakya di selatan Turki yang bersempadan dengan negara Syria. HALUAN akan bekerjasama dengan IHH dan beberapa NGO lain yang bertungkus-lumus membantu pelarian-pelarian Syria yang terpaksa melarikan diri daripada kejahatan rejim pemerintah Syria di bawah Presidennya Bashar Al-Assad.

Sebelum ini, HALUAN telah bekerjasama dengan Al-Saraa Foundation for Humanitarian Relief yang beroperasi di dalam negara Syria dan di kem-kem di negara jiran untuk membantu para pelarian, termasuklah usaha memberi pendidikan kepada anak-anak pelarian di sempadan Turki. HALUAN juga telah menghantar pasukan relawan ke sempadan Syria-Jordan pada bulan Mac lalu bagi menyampaikan bantuan kepada pelarian-pelarian di daerah Mafraq dan Ramsa.

Masyarakat yang prihatin dan terpanggil untuk membantu mangsa-mangsa dan saudara-saudara mereka yang dizalimi ini boleh menyalurkan bantuan melalui akaun khusus untuk misi kemanusiaan iaitu:

Nama akaun: HALUAN
Nombor akaun: 14-023-01-002571-8
Nama bank: Bank Islam Malaysia Berhad

Laporan oleh Sdr. Mohd Nizam Mohamad, alumni MV Mavi Marmara.