fbpx

Manusia Alpa Dengan Sihat dan Lapang

Manusia Alpa Dengan Sihat dan Lapang

Manusia Alpa Dengan Sihat dan Lapang

skh02-01KOTA BHARU, 3 Mac 2014 – Nikmat kesihatan dan kelapangan masa adalah dua anugerah semulajadi Allah SWT yang sering dilupai manusia sehinggalah terlambat untuk membuat pembetulan semula pada diri.

Menurut Yang Dipertua HALUAN Cawangan Kelantan, Ustaz Muhammad Noor Awang Kechik, anugerah percuma yang Allah berikan itu jarang terlintas di benak manusia sebagai sebuah hadiah istimewa. Bahawa tanpa sihat dan lapang, mereka sebaliknya akan sentiasa berada dalam keadaan sakit dan kesesakan waktu. Dalam penyampaiannya bertajuk Dakwah dan Tarbiyah Dalam Sains Kesihatan, beliau berkata sifat yang sengaja lalai tanpa menghargai anugerah Tuhan akan mengundang padah kerana semua kebaikan yang ada pada manusia itu hanyalah pinjaman daripada Allah SWT yang boleh ditarik balik pada bila-bila masa.

“Adalah menjadi kewajipan ke atas setiap perawat Islam memperingati manusia untuk tidak mengabaikan anugerah Allah SWT ini dalam kerja-kerja harian mereka. Perawat harus saling berpesan tentang nikmat ini kepada diri sendiri mahupun pesakit agar kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang Allah katakan telah melampaui batas,” kata beliau kepada para peserta paramedik di Seminar Kebangsaan Sains Kesihatan HALUAN (SKH) 2014 di sini dari 1-2 Mac.

Sebagai perawat Islam, setiap gerak kerja mereka akan dikira sebagai dakwah tidak kira siang ataupun malam. Ini kerana kerja-kerja kebaikan oleh orang yang merawat orang lain tanpa henti adalah amal qawwiy (yang membawa kekuatan) yang berubah menjadi ibadah yang mengundang pahala setiap kali seseorang perawat itu masuk ke arena berkerja.

“Salah satu daripada aspek penerusan kehidupan manusia ialah keperluan kepada kesihatan. Tanpa kesihatan, apa pun tidak akan jadi. Hendak solat pun tidak boleh. Kalau semasa sibuk hingga tidak solat, rugilah nanti kalau kesihatan kita ditarik balik dan hilang peluang untuk bersolat kerana kita kesakitan. Maka berkerja dan beramal ke arah mencapai kesihatan adalah sesuai dengan tuntutan bahkan ia menjadi suatu kewajipan. Islam menuntut umatnya agar sihat,” berkata Ustaz Muhammad Noor yang juga seorang Pengurus Jabatan Pembangunan Insan di Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) di sini.

Sesuatu itu tidak akan jadi sempurna jika mana-mana kewajipan tidak disempurnakan terlebih dahulu, maka menunaikan kewajipan tersebut adalah menjadi wajib untuk mencapai kesempurnaan yang kita hajatkan. Dalam konteks sains kesihatan, aktivis perlu membentuk pasukan-pasukan petugas yang bergerak secara rapi dan tersusun untuk terlebih dahulu berkerja untuk Islam melalui bidang sains kesihatan ini.

“Kena dibentuk kelompok atau kumpulan halaqah sains kesihatan. Kena ada pasukan pemantau (follow-up) untuk kerja-kerja Islam. Kerja-kerja dakwah Islam (amal daawiy) dan kerja tarbiyah (amal tarbawiy) adalah sebahagian daripada kerja-kerja amal qawwiy yang tidak boleh dibuat berseorangan. Kita bukan hanya hendak berikan khidmat rawatan tetapi membentuk masyarakat agar menjadi baik. Manakala kerja yang tidak melahirkan kesedaran Islam dan kelompok-kelompok Islam adalah dikira sebagai amal dhaif. Itulah wawasan yang patut dibawa oleh SKH. Menjadikan bidang kesihatan sebagai medan dakwah dan tarbiyah adalah suatu tuntutan deen dan syarak sebenarnya,” tambah beliau.