fbpx

Mangsa gempabumi di Padang masih mengalami trauma

Mangsa gempabumi di Padang masih mengalami trauma

Mangsa gempabumi di Padang masih mengalami trauma

Ramai mangsa gempabumi di Padang yang masih mengalami trauma dan bingung, walaupun telah hampir sebulan tragedi itu berlalu.


Keadaan trauma mereka dapat dikesan bilamana ramai daripada mereka yang mengadu masih sakit kepala dan badan, dan ramai kanak-kanak yang sering menangis dan sugul ketakutan.

Demikian menurut ketua kumpulan ke-3 Misi Kemusiaan Padang yang sedang berbakti di lapangan, Sdr Abd Basir bin Abd Ghani. Masih terdapat banyak lagi kampung-kampung terpencil yang belum dimasuki oleh pasukan bantuan. Bagi relawan-relawan HALUAN, mereka masih meneruskan khidmat rawatan pemeriksaan kesihatan secara bergerak dari kampung ke kampung. Seramai 3 orang doktor dari Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) menyertai kumpulan ke-3 ini. Mereka dibantu oleh paramedik dan relawan-relawan HALUAN yang lain dan juga pasukan Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI) dan NGO tempatan.

Selain mengadakan rawatan pemeriksaan kesihatan, pasukan HALUAN ini telah berpecah kepada dua kumpulan bagi mengadakan khidmat kaunseling dan motivasi pemulihan trauma di beberapa buah sekolah rendah yang terpilih dan kampung-kampung terpencil.
 
Menurut Sdr Abd Basir lagi, relawan-relawan HALUAN telah mengadakan ceramah serta berinteraksi secara langsung dengan pelajar-pelajar sekolah. Sambutan dari guru-guru dan murid-murid amat menggalakkan dan baik sekali. “Ramai daripada kalangan pelajar yang rumah mereka telah roboh dan datang juga ke sekolah dengan keadaan yang sangat menyedihkan. Mereka masih bersemangat untuk belajar walaupun rumah mereka telah musnah,” terang Sdr Abd Basir.
 
Relawan-relawan HALUAN membina suasana yang dapat mengembirakan mereka dengan mengingatkan mereka kepada Allah dan sentiasa bersyukur dan meminta pertolongan daripada Allah dengan sabar dan sembahyang. “Segala pengalaman yang ada pada relawan-relawan kita gunakan di sini. Kita adakan beberapa permainan dan ujiminda. Kita juga beri hadiah-hadiah dan ole-ole kepada kanak-kanak. Alhamdulliah dengan cara begini, mereka nampak keriangan dan dapat melupakan trauma dan kesedihan mereka,” kata Sdr Abd Basir lagi.

Semasa pemeriksaan kesihatan berjalan di kampung-kampung, relawan-relawan HALUAN juga akan mengumpulkan pelajar dan kanak-kanak untuk diberi suntikan motivasi dan pembelajaran. Ada anak-anak yang mengalami trauma yang amat teruk hinggakan takut dengan tindakbalas bunyi, hujan dan gelap. Ini adalah kerana semasa gempa berlaku, hari semakin gelap disusuli dengan bunyi yang menakutkan, gegaran yang luarbiasa, bekalan eletrik terputus dan lampu terpadam. Ibubapa mengheret mereka keluar dari rumah dalam keadaan cemas dan basah kesejukan, hingga menggigil ketakutan.
 
“Alhamdulillah usaha yang kami lakukan ini, walaupun kecil, mampu memberi sinar pengharapan, perangsang dan curahan kasih sayang kepada mereka. Dari tampak wajah, mereka merasa sungguh gembira dan puashati atas khidmat yang kami berikan. Moto kami di Padang iaitu ‘Rakyat Malaysia Peduli dan Menyayangi Kalian’ akan diteruskan sekiranya masih mengizinkan.” Itulah curahan rasa hati Sdr Abd Basir yang sedang mengetuai relawan-relawan HALUAN membantu mangsa-mangsa gempa di Padang. 
 
Semoga rakyat Malaysia yang prihatin dan pemurah akan terus membantu usaha mulia ini dengan menghulurkan bantuan bagi kelangsungan misi kemanusiaan ini. Anda boleh menyalurkan bantuan kewangan melalui

Tabung Kemanusiaan HALUAN atas nama ”HALUAN”
Bank Islam Malaysia Berhad
Nombor akaun 14-023-01-002 571-8