fbpx

Mangsa gempa di Padang berhadapan dengan berbagai penyakit

Mangsa gempa di Padang berhadapan dengan berbagai penyakit

Mangsa gempa di Padang berhadapan dengan berbagai penyakit

Kini hampir seminggu relawan-relawan HALUAN mencurah bakti kepada mangsa-mangsa gempa di Padang. Bantuan berbentuk klinik bergerak yang dijalankan sekitar Padang Pariaman sedikit sebanyak dapat menceritakan kisah kecemasan dan penderitaan yang dialami penduduk di sana.


Sudah menjadi kebiasaan bagi relawan HALUAN dalam mana-mana misi kemanusiaan untuk sedaya upaya memahami dan merasai keluh-resah masyarakat. Bagi pasukan ini, mereka menumpang di rumah seorang pemimpin masyarakat tempatan, Ibu Zaiton. Di rumah Ibu Zaiton masih lagi tidak ada bekalan air mahupun elektrik. Alhamdulillah masih ada air telaga untuk di minum dan mandi.

Pasukan HALUAN yang berpengkalan di Bandar Pariaman mengadakan khidmat klinik bergerak di beberapa tempat tumpuan mangsa, seperti di Surau Darussalam, Pusat Kesihatan Masyarakat Sg Limau dan juga perkampungan Sg Rambah. Setiap hari, lebih 100 pesakit mendapat rawatan. Oleh kerana bekalan ubat yang dibawa dari Malaysia sudah kehabisan, mereka mendapat sokongan bekalan ubat dari NGO tempatan, Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI.) Kerjasama dan ikatan persaudaraan yang terjalin sejak tragedi gempa di Yogjakarta beberapa tahun lalu menjadi semakin kukuh dan mesra.

Mangsa-mangsa gempa kini berhadapan dengan berbagai ancaman – dari masalah untuk mendapatkan bekalan asas termasuk makanan, hinggalah kepada penyakit-penyakit berjangkit dan infeksi. Ada tempat-tempat yang berpotensi menimbulkan penyakit leptospirosis, yang ditularkan oleh kencing tikus yang bersarang di bawah runtuhan. Mangsa-mangsa yang membersihkan rumah mereka tanpa perlindungan seperti alas kaki dan sarung tangan terdedah kepada risiko ini. Begitu juga dengan mayat-mayat yang mungkin masih tertinggal di lokasi runtuhan yang boleh menjadi potensi sumber penularan penyakit.

Manakala masalah logistik dan keadaan khemah sementara yang sesak juga menyumbang kepada masalah infeksi. Antara lain, mereka menghadapi masalah infeksi saluran pernafasan, diarea, demam, radang mata, penyakit kulit dan juga infeksi akibat luka terbuka. Tidak kurang juga berhadapan dengan masalah trauma yang menjurus kepada depresi. Itulah yang berlaku kepada mangsa-mangsa di Kabupaten Padang Pariaman.

Kini menjelang hari-hari akhir khidmat mereka di Padang, pasukan yang dipimpin oleh Dr Mohd Arbaai ini terus mencari peluang untuk bersama masyarakat. Mereka juga berkesempatan menghadiri majlis zikir yang diadakan di Masjid Nurul Iman Padang Jajaran.

Keletihan? Mungkin itulah gambaran yang diberikan apabila mereka tidak menghantar berita ke Pusat Koordinasi di Subang Perdana mengikut jadual, kerana tertidur keletihan. Namun keikhlasan dalam berbakti sudah tentu memberi ketenangan dan kepuasan kepada mereka. Kemesraan yang terjalin dengan masyarakat tempatan dan rakan-rakan NGO tempatan memberi kekuatan untuk mereka terus berbakti dalam misi-misi seterusnya, insyaAllah.

Pasukan kedua dari Misi Kemanusiaan Padang dijangka berlepas pada hari Rabu, 14 Oktober. Kepada masyarakat prihatin yang ingin turut membantu usaha murni relawan-relawan HALUAN ini, anda boleh salurkan sumbangan melalui

Tabung Kemanusiaan HALUAN
Bank Islam Malaysia
No akaun 14-023-01-002571-8.

Semoga sedikit sokongan dan keprihatinan akan dapat memberi harapan kepada mangsa-mangsa gempa disamping mendidik keinsafan dalam diri kita sendiri, kerana Al Tabarani pernah meriwayatkan bahawa “Sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling memberi manfaat kepada manusia yang lain.”