fbpx

Mangsa Banjir Temerloh Terima Bekalan

Mangsa Banjir Temerloh Terima Bekalan

Mangsa Banjir Temerloh Terima Bekalan

TEMERLOH, 1 Jan 2015 – Penduduk Temerloh, Pahang yang teruk ditimpa bencana banjir terus menerus disantuni NGO-NGO termasuk daripada Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).


Satu pasukan relawan HALUAN telah menerima arahan daripada Pusat Operasi Banjir Temerloh (POBT) untuk menghantar barang bantuan seperti pakaian, tudung, susu bayi dan lampin bayi ke Pusat Pemindahan SK Batu Kapor.

Manakala satu pasukan lain menghantar barang seperti set makanan, beras, sardin, lampin bayi, tuala wanita dan air minuman ke Kampung Tanjung Besar yang masih belum menerima sebarang bentuk bantuan daripada mana-mana pihak.

Sekumpulan relawan HALUAN dari Kuala Lumpur tiba di Pusat Operasi Banjir Temerloh (POBT) pada jam 12.00 tengahari. Mereka akan mengambil alih tugas pasukan dari Selangor yang telah beberapa hari berada di lapangan.

Tugasan untuk pasukan yang baru tiba bermula sejurus selesai taklimat daripada Pengarah POBT. Dua pasukan telah dibentuk daripada kumpulan relawan ini untuk menyantuni mangsa banjir di Temerloh.

Pasukan pertama yang diketuai oleh Encik Mohd Hafiizh Ghazali bersama lapan sukarelawan ditugaskan mengagih barangan bantuan yang disumbangkan oleh orang ramai melalui HALUAN kepada mangsa banjir di sekitar Kampung Paya Luas. Mereka turut diiringi oleh seorang relawan tempatan Encik Wahid yang membantu memudahkan perjalanan menyampaikan bantuan.

Antara sasaran agihan ialah sebuah pusat masakan yang diurus secara gotong-royong oleh penduduk tempatan. Pusat tersebut berfungsi sebagai tempat memasak makanan untuk seramai 180 orang mangsa banjir di sekitar kawasan Kampung Paya Luas yang terputus bekalan makanan.

Setibanya di lokasi, banyak aduan diterima daripada mangsa banjir yang mengadu dan meminta tambahan barangan keperluan asas diri yang lain. Pasukan hanya mampu menyatakan akan cuba mencari keperluan yang dikehendaki namun tidak dapat memberi jaminan kepada mereka kerana POBT juga sedang mengalami kekurangan bekalan makanan asas.

Seterusnya, pasukan relawan meneruskan misi ke pedalaman kampung bagi menyampaikan bantuan makanan asas termasuk satay sejuk beku separuh masak kepada mangsa banjir yang dianggarkan terdiri daripada 25 buah keluarga.

Pada masa yang sama, pasukan kedua yang diketuai oleh Encik Mohd Hairul Samad bersama tiga orang sukarelawan menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tualang untuk melakukan aktiviti pembersihan.

Di sana, selain membersihkan tandas pelajar dan tandas guru, mereka juga membantu petugas di sekolah tersebut mengagihkan pakaian sumbangan orang ramai kepada mangsa-mangsa di sana.

Pada jam 6.00 petang, sebahagian relawan daripada pasukan pertama kembali ke Kampung Paya Luas untuk menghantar bantuan makanan tambahan termasuk beberapa kotak satay seju beku.

Mereka telah menghantar bantuan tambahan ke pusat pengumpulan makanan mangsa banjir yang dinamakan ‘RCC’. Salah seorang petugas, Ustaz Ruslan benar-benar menghargai kedatangan sukarelawan HALUAN serta menitipkan salam untuk pengurus pengeluar satay tersebut.

Dalam perjalanan pulang ke POBT, mereka sempat menghulur satay sejuk beku yang berbaki kepada sekeluarga mangsa banjir yang berkhemah di tepi jalan bersama empat orang anak perempuan dan dua orang anak lelaki.


Bagi mereka yang prihatin untuk menyumbangkan bantuan boleh terus menghubungi pihak HALUAN di Pusat Operasi Banjir (POB) yang beroperasi 24 Jam di Bandar Baru Bangi di talian 011–31746909 (Encik Izzat Abd Ghani) atau melalui akaun-akaun di bawah ini:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan Kemanusiaan HALUAN 

No Akaun: 562263502611 

Bank: Maybank

Nama Akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN)

No Akaun: 14023010025718

Bank: Bank Islam

* Sila email slip/resit sumbangan ke unit.kewangan@haluan.org.my