fbpx

Mangsa Banjir Kg Kemubu Berpindah Tujuh Kali

Mangsa Banjir Kg Kemubu Berpindah Tujuh Kali

Mangsa Banjir Kg Kemubu Berpindah Tujuh Kali

KUALA KRAI, 9 Jan 2015 — Banjir besar luar jangkaan yang melanda beberapa negeri Pantai Timur baru-baru ini telah memaksa beberapa buah keluarga di Kampung Kemubu, dalam daerah Dabong berpindah sehingga tujuh kali untuk menyelamatkan diri dan harta benda mereka.


Pengalaman mereka berpindah-randah dari satu tempat tinggi ke tempat tinggi yang lain dikongsi oleh Ustaz Suhaizi Ismail, 29, kepada relawan HALUAN Pulau Pinang yang menyantuni kampung ini kelmarin. Ustaz Suhaizi yang bertugas di sebuah sekolah agama swasta di Sungai Ramal, Kajang menceritakan pengalaman ibu dan bapa beliau yang terpaksa melarikan diri daripada banjir yang melanda kampung mereka.

Antara lokasi yang menjadi tempat berlindung daripada banjir pada peringkat awal adalah dewan orang ramai di situ. “Dewan ini merupakan tempat berpindah ibu bapa saya yang ketiga setelah dua tempat sebelum ini dinaiki air,” ujar Suhaizi.

“Sepanjang saya tinggal di sini hampir 30 tahun, tidak pernah air naik di kawasan dewan ini,” jelas Suhaizi.

“Namun kali ini, dewan ini bukan sekadar dinaiki air, bahkan ditenggelami air sedalam lebih 10 kaki,” sambung beliau lagi.

Kesan garisan aras air masih jelas kelihatan di dinding dewan tersebut semasa relawan HALUAN Pulau Pinang tiba untuk memulakan kerja pembersihan di situ.

Penduduk yang tinggal di kawasan rendah turut menjadikan dewan ini sebagai tempat menyelamatkan pakaian, tilam, alatan rumah seperti peti sejuk dan mesin basuh serta perabot mereka daripada ditenggelami air. Namun, segala ikhtiar mereka sia-sia belaka.

“Kami dapati banyak perabot dan alatan rumah yang disimpan di dalam dewan telah rosak dan berada dalam keadaan tunggang langgang,” jelas Encik Kamal Abdullah yang mengetuai pasukan relawan seramai 18 orang daripada HALUAN Pulau Pinang.

Selain daripada banyak barangan penduduk yang disimpan di dewan ini, tanda-tanda tempat ini pernah dijadikan tempat berlindung para penduduk juga dapat dilihat dengan kewujudan alas plastik besar yang digunakan untuk melapik lantai dan juga ‘dinding’ pemisah yang dibuat daripada tikar yang digantung, berkemungkinan bertujuan untuk memelihara aurat para wanita daripada pandangan golongan lelaki.

Adik ‘Bah Merah’

Seorang penduduk yang datang melihat operasi pembersihan dewan yang sempat disapa oleh relawan HALUAN pula mengibaratkan banjir kali ini sebagai ‘adik Bah Merah’ merujuk kepada banjir besar yang melanda negeri Kelantan pada tahun 1926.

Menurut beliau lagi, banjir pada tahun 1967 pun tidak seteruk yang melanda pada kali ini.

Putus Bekalan Elektrik dan Air Paip

Kampung Kemubu telah terputus bekalan elektrik dan air paip sejak dilanda banjir dua minggu yang lalu.

“Banyak wayar dan tiang elektrik perlu dibaiki oleh TNB sebelum bekalan elektrik dapat dipulihkan sepenuhnya di sini,” jelas Ustaz Suzaili kepada relawan HALUAN.

“Saluran air paip utama ke kampung ini turut terputus bersama dengan jambatan besi keretapi yang musnah oleh arus banjir,” sambung beliau lagi.

Para relawan terpaksa membanting kudrat empat kerat sekitar empat jam membersihkan dewan tanpa bantuan peralatan mencuci seperti jet air dan pam air akibat ketiadaan bekalan elektrik dan air bersih.

Tiada Kemalangan Jiwa

Sumber tidak rasmi mengatakan terdapat 38 buah rumah diklasifikasikan sebagai musnah atau tidak layak dihuni, manakala lebih banyak yang mengalami kerosakan dan perlu diperbaiki termasuklah rumah kedua ibu bapa Suhaizi.

Segelintir penduduk yang kehilangan tempat tinggal terpaksa berlindung di bawah khemah-khemah atau menumpang di rumah sanak- saudara. Sebuah keluarga kelihatan menjadikan landasan keretapi yang tidak lagi berfungsi sebagai tapak khemah perlindungan, mungkin kerana tanah di situ lebih tinggi dan mendatar.

Sebanyak 40 buah khemah kanopi sumbangan para dermawan sedang disiapkan oleh sekumpulan sukarelawan dari Selangor dengan dibantu oleh penduduk sebagai penempatan sementara. Walaupun banyak rumah rosak atau musnah dan kebanyakan penduduk terpaksa berpindah randah beberapa kali semasa melarikan diri daripada banjir, tiada kemalangan jiwa dilaporkan di sini sepanjang bencana berlaku.

“Antara sebab tiada kemalangan jiwa adalah kerana terdapat banyak perahu penduduk yang digunakan tidak putus-putus membawa penduduk berpindah,” menurut Suhaizi ketika ditanya oleh relawan.

Kampung Kemubu yang mempunyai lebih 400 buah rumah ini terletak lebih kurang 90 km ke selatan bandar Kuala Krai atau 62 km dari pekan Jeli dan terletak bersebelahan Sungai Galas yang turut melimpahi tebingnya.