fbpx

Malam Perkongsian Pengalaman dan Penderitaan Gaza di Skudai

Malam Perkongsian Pengalaman dan Penderitaan Gaza di Skudai

SKUDAI, 16hb Jun — SEMENJAK berlakunya tragedi serangan tentera Zionis Israel ke atas konvoi kapal misi kemanusiaan dan keamanan Freedom Flotilla pada 31hb Mei lalu, rakyat Malaysia sudah mula membuka mata dan mengambil berat terhadap isu kemanusiaan di Gaza dan ancaman terhadap Masjidil Aqsa.

Bermatlamatkan untuk memberi pendedahan sebenar keganasan yang berlaku kepada aktivis di atas kapal Mavi Marmara dan juga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu Palestin dan Gaza secara khususnya, Surau Jauharul Muttaqin (SJM) di Taman Mutiara Rini dengan kerjasama HALUAN Palestin, Aqsa Syarif dan juga Syarikat Teguh Ria sebagai penaja utama telah menganjurkan “Malam Perkongsian Pengalaman : Tragedi Mavi Marmara dan Penderitaan Rakyat Palestin di Gaza.” Majlis dimulakan dengan kata alu-aluan daripada Pengacara Majlis pada pukul 9.15 malam. Selepas Imam SJM membacakan doa pembukaan majlis, Yang Berbahagia Timbalan Mufti Negeri Johor, Dato’ M Tahrir Shamsuddin telah memyampaikan sedikit ucapan. Beliau kembali mengingatkan kepada hadirin yang hadir bahawa isu Palestin ini bukan hanya isu kemanusiaan sahaja, tetapi juga isu aqidah. Acara pada malam tersebut diteruskan dengan persembahan nasyid kanak kanak daripada SJM dengan membawakan dua buah lagu iaitu Damai Yang Hilang dan Palestina Tercinta. Para hadirin merasa pilu apabila menghayati bait-bait lirik berkenaan, ditambah lagi dengan nyanyian bersemangat oleh kanak kanak tersebut. Semangat dan kesedaran para hadirin semakin dapat dirasakan apabila seorang wakil daripada SJM membacakan sajaknya dengan penuh penghayatan. Tidak cukup dengan itu, para hadirin juga terkesan dengan saudara Hilal Asyraf mewakili Kelab Siswa HALUAN melalui bait-bait sajaknya yang bertajuk ’Di Bawah Hujan Peluru”.

Selepas itu, majlis diteruskan dengan persembahan visual daripada Aqsa Syarif. Acara kemuncak merupakan sesi perkongsian pengalaman dua orang aktivis kemanusiaan yang turut berada di ata kapal Mavi Marmara ketika kejadian serangan tentera Zionis Israel, iaitu Dr Mohd Arba’ai Syawal daripada HALUAN Palestin dan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus yang mewakili Aqsa Sharif. Kedua-dua ahli panel telah memberikan pelbagai perkongsian yang bermanfaat kepada para hadirin. Dr Arba’ai telah berkongsi pengalaman beliau sebagai peserta konvoi, pengalaman berhadapan dengan tentera Zinonis Israel, dan kisah mereka di tahan dalam penjara Israel. Ustaz Hasanuddin pula mengatakan bahawa terdapat tiga objektif utama misi kemanusiaan tersebut, iaitu untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan, menghentikan embargo dan membuka tembok kematian, serta memberi kesedaran kepada dunia tentang keadaan sebenar yang berlaku di Gaza dan kejahatan Zionis Israel.

Mereka sepakat mengingatkan kepada para hadirin bahawa kita semua wajib untuk membantu sahabat kita di bumi Gaza walaupun hanya dengan bantuan doa. Sebelum majlis ditamatkan, kedua-dua ahli panel turut menyampaikan maklumat tentang projek-projek yang dilaksanakan untuk rakyat Palestin. HALUAN Palestin dengan kerjasama Wisma Putra telah berjaya melaksanakan projek perigi air bersih di Khan Younis dan bantuan pinjaman kredit kepada sebilangan peladang dan ibu tunggal di Gaza bagi membangunkan usahawan kecil dan ekonomi di sana. Selain daripada itu, Aqsa Syarif juga menjalankan program anak angkat, di mana setiap anak angkat memerlukan perbelanjaan lebih kurang 170 USD sebulan. Sumbangan daripada hadirin pada malam tersebut melebihi RM7000. Sepanjang majlis berlangsung terdapat juga gerai-gerai yang menjual bermacam-macam barangan yang dapat membantu kutipan dana untuk Palestin, termasuklah button badgestickers, t-shirt dan tabung. Majlis ditamatkan dengan bacaan doa oleh wakil SJM pada pukul 11.30 malam.